Cili Api 166
(31hb Januari 2001)

Mengapa Heboh Tentang Bintang?

Cili Api geli geman campur rasa mual mengikuti telatah sesetengah media dan
pemimpin UMNO tentang penarikan bintang kebesaran dua orang ahli Exco PAS
oleh Sultan Kelantan. Media dan pemimpin ini bukan main lagi hendak membela
Sultan Kelantan sambil memberi amaran, terutama sekali kepada pemuda PAS.

Kata mereka tidak patut pihak PAS membuat cadangan hendak meminda
Perlembagaan bagi membataskan keistimewaan raja dan memberi kata dua supaya
pihak Sultan menjelaskan dalam seminggu berhubung penarikan bintang itu.
Tidak cukup dengan menimbulkan Akta Hasutan, mereka ungkit pula tentang adat
resam Melayu. Hebat, hebat sungguh!

Cili Api masih ingat benar, kira-kira lapan tahun lalu, apabila berlaku
krisis perlembagaan, yang melibatkan UMNO dengan sultan-sultan, macam-macam
yang telah dilakukan oleh menteri perdana dan juga media perdana. Mereka
tuduh raja-raja zalim, rasuah dan membazir. Mereka tuntut supaya diambil
tindakan untuk menyekat raja-raja supaya tidak boleh bermaharajalela. Mereka
hasut sesetengah golongan supaya mencabar kedudukan Sultan Kelantan dan
menuntut beliau diganti dengan yang lain.

Pada masa itu tidak siapa pun di kalangan mereka yang mengambil hirau 
tentang Akta Hasutan. Cili Api memang bersetuju dengan sesetengah tuduhan
serta tuntutan mereka terhadap raja-raja itu. Bahkan Cili Api lebih setuju
jikalau Sultan itu betul-betul dijadikan lambang saja, tidak lebih dari itu.
Dan kalau hendakkan lambang, mengapa sembilan? Mengapa tidak cukup dengan
satu saja?

Selepas selesai lentam lentum dari krisis perlembagaan, nampaknya kedudukan
raja-raja tidak berubah sangat, selain daripada pindaan Perlembagaan untuk
membentuk Mahkamah Khas bagi membicarakan Sultan, jikalau perlu. Tetapi yang
lebih aneh sekali ialah perubahan di kalangan pihak-pihak yang menuduh dan
menentang raja-raja itu.

Mereka kata raja zalim, tapi mereka lebih zalim lagi dengan menggunakan
polis dan mahkamah yang dikuasai. Mereka tuduh raja-raja membazir, akan
tetapi mereka lebih membazir lagi, membina mahligai dan projek-projek mega
yang membazir dengan menggunakan wang rakyat. Mereka tuduh raja-raja
korupsi, akan tetapi korupsi mereka sendiri lebih teruk lagi. Bahkan dalam
segala hal mereka lebih feudal.

Sebenarnya Cili Api merasa pelik mengapa pihak PAS merasa kecewa Sultan
Kelantan menarik balik pingat dua orang anggota Exco itu. Sepatutnya mereka
bersorak gembira. Sepatutnya semua Exco dan pemimpin PAS yang menerima
bintang itu pulangkan saja bintang mereka. Itu Ketua Pemuda PAS Pasir Mas,
jangan buat heboh saja hendak pulangkan bintang yang telah diberikan.
Pulangkan sajalah tanpa lengah-lengah.

Buat Apa hendak dipuja bintang di dada pemberian raja, manakala sudah ada
banyak bintang di langit yang dianugerahi Allah?

Cili Api