CILI API 164
(18hb Januari 2001)

ROMBAKAN KABINET

Setelah media membuat heboh dan spekulasi, Perdana Menteri Dr M @ Cek Det akhirnya tidak merombak kabinet dengan erti kata sebenar. Dia cuma menambah bilangan atau menaikkan pangkat kroni-kroninya dalam kabinet saja.

Jikalau Cek Det mengharapkan apa yang dilakukannya boleh memulihkan imej buruk beliau dan kabinetnya atau menambahkan sokongan kepada BN, sorrylah! Itu Shahrizat baik ditengok saja daripada didengar. Yang seorang lagi itu tidak baik ditengok dan juga tidak elok didengar.

Barangkali wanita pun susah hendak mendengar Sharizat dengan penuh yakin. Apa sebab? Dia ini selalu saja berubah cakap mengikut keadaan. Macam dia berubah pakaianlah; sekejap pakai tudung sekejap buka tudung, mengikut kumpulan yang dicampurinya.

Itu …. Siapa dia, siapa dia? Bekas Jeneral itu …… Datuk Zainal? Zainal Abidin? Agaknya orang UMNO sendiri tidak kenal siapa dia sebenarnya dan apa khidmatnya selama ini kepada UMNO. Orang seperti Muhammad Mat Taib tentu hot macam mana orang seperti ini dipilih dan dia ditinggalkan.

Cili Api tidak percaya beliau ini akan lebih berkesan daripada Mid Man, yang digantinya, untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dengan memeperalatkan agama Islam. Jemaah di Masjid Negara selalu meluat mendengar khutbah Jumaatnya yang sering “mengangkat” (Cili Api tidak hendak guna perkataan “membodek” sebab kurang manis). Lebih ramai lagi yang bosan apabila khutbah sama disiarkan melalui TV.

Zam anak Maidin? Tak payah komenlah. Siapa tak tahu dia? Agaknya dia diletakkan dalam Kementerian Penerangan untuk menguatkan lagi peranan kementerian itu sebagai Kementerian Pembohongan. Nampaknya Cek Det pun tidak begitu percaya dengan Zam. Itu sebab dia tidak beri Zam pangkat lebih daripada Setiausaha Parlimen. Kesian!

Cek Det terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!

KARPAL HENTAM RUSTAM

Karpal Singah, Timbalan Presiden DAP memang selalu buat komen akhbar menghentam orang lain, tanpa usul periksa cerita sebenar perkara yang dikomennya. Semasa pilihanraya kecil Lunas dulu dia hentam Dr Wan Azizah, berasaskan berita yang dibuat-buat dan diputar belit oleh NST. Kini dia hentam Rustam pula tanpa membaca artikel yang ditulis Rustam dalam Berita keADILan.

Cili Api tidak hairan jikalau orang seperti Zainuddin Maidin, Ong Tee Keat atau Wee Chee Keong berbuat begini. Tapi Karpal?

Nampaknya sekarang ini Karpal lebih kuat menghentam pemimpin-pemimpin dari parti kawannya daripada menghentam Cek Det dan pemimpin BN yang lain. Apa sudah jadi Karpal? Ada apa-apa ke? Macam mana kalau anggota atau pemimpin parti kawan hentam pemimpin DAP nanti?

Cili Api lebih suka melihat kritik-mengkritik membina yang dibuat secara persahabatan.

Cili Api