Oleh Pena Suasa

 

Lagi Kisah BPR

 

SEHARI dua ini, akhbar-akhbar pro pemerintah sibuk mengucapkan tahniah kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana tangkapan dan pendakwaan terhadap Pegawai-pegawai JPJ dan orang tengah yang terlibat dalam mengeluarkan ‘lesen terbang’.

Ketua pengarah BPR juga nampaknya terkehadapan dalam beberapa kenyataan di media massa kononnya ada lagi yang mahu ditahan dan sebagainya, menunjukkan seolah-olah BPR benar-benar serius membanteras rasuah di negara ini.

Rakyat dibuaikan dengan cerita ini, yang mahu mengambarkan kononnya di Malaysia rasuah memang tidak akan subur.

Jika rakyat masih ingat, 20 Julai lalu, BPR juga membuat serbuan dan tangkapan dalam ‘ops puspa’ terhadap tonto, pemeriksa kenderaan dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Seramai 88 tonto dan 36 pemeriksa kenderaan ditahan.

Hebat sungguh. Lepas Puspakom, JPJ pula yang kena. BPR nampaknya serius dalam usaha membasmi rasuah.

Tetapi, mengapa ‘ikan-ikan bilis’ sahaja? Bagaimana dengan siasatan terhadap Perwaja? Bagaimana dengan Tan Sri Eric Chia? Apakah BPR tidak tahu, Perwaja kerugian 10 billion (10 ribu juta) dan mash mengumpul kerugian di bawah Equal Concept yang diterajui Maju Holding RM340 juta (sehingga 1998). Mengapa BPR tidak mampu menyiasat, menahan dan seterusnya mengadapkan orang-orang yang terlibat di mahkamah?

Apakah ia melibatkan Perdana Menteri? Atau, Eric Chia memang kawan rapat Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang menyebabkan BPR tidak ada kemampuan menyusahkan penyiasatan? Atau BPR memang tidak menyiasat kerana ‘ada arahan’ dari Perdana Menteri supaya tidak meneruskannya?

Rakyat juga disajikan dengan kisah Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman yang mempunyai wang RM100,000 di laci pejabatnya ketika menjadi Ketua Pengarah EPU, Jabatan Perdana Menteri. Mengapakah Ketua Pengarah BPR ketika itu, Dato’ Shafiee Yahaya dihalang dari meneruskan siasatan ke atas wang tersebut?

Rakyat Malaysia perlu bertanya diri masing-masing, sampai bilakah Barisan Nasional (BN) mesti diberi peluang memerintah negara?

Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri masing-masing, bila lagi mereka hendak memangkah BN dalam pilihan raya.

Rakyat Malaysia perlu bertanya diri masing-masing… sampai bila mereka harus dipermainkan oleh media massa kebangsaan yang sentiasa membuai rakyat dengan cerita-cerita ‘khayalan’ yang seolah-olah mengambarkan BPR hebat kerana bertindak ke atas JPJ, bertindak ke atas Puspakom dan bertindak ke atas ikan-ikan bilis?

Hari ini, rakyat Malaysia boleh membaca media massa kebangsaan tetapi usah mempercayainya. Rakyat Malaysia yang menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 43 harus lebih matang, lebih tegas dan lebih faham permainan media massa yang di belakang mereka ada manusia bernama Zainuddin Maidin, Abdullah Ahmad (Kok Lanas) dan budak-budak hingusan yang mendabik dada kononnya menjadi wartawan dan editor.

Rakyat Malaysia perlu membaca media massa kebangsaan kerana ada berita sukan. Media massa kebangsaan juga ada berita luar negeri tetapi jangan percaya apa yang mereka laporkan mengenai Indonesia. Mereka cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia, jika berani membuat perubahan, nantinya akan jadi seperti Indonesia, yang lebih sengsara dari zaman Suharto.

Pergorbanan itu perlu dibayar dengan harga yang mahal. Biarlah rakyat Indonesia membayar sedikit harga kepada perjuangan mereka daripada membenarkan Suharto terus mengaut kekayaan negara dan menghidupkan nepostime dan kronisme.

Bayarlah walau berapa harganya. Perubahan perlu dibuat di negara kita. Beritahu kepada Perdana Menteri; “CUKUPLAH, DR. MAHATHIR!” (PS).