Oleh PENA SUASA

 

Ketua Pengarah BPR pertahan PM

 

KETUA Pengarah BPR, Dato’ Ahmad Zaki Husin mengatakan kebebasan Badan Pencegah Rasuah menjalankan tugas dan siasatan tidak pernah terjejas akibat teguran, kritikan dan nasihat mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya dalam hubungan beliau dengan Dr. Mahathir lebih setahun, beliau mengakui Perdana Menteri ada memberi nasihat, teguran dan kritikan, tetapi ia tidak sedikit pun mengganggu tugasnya.

“Cuma nasihat, teguran dan kritikan beliau akan dipertimbangkan dan saya membuat keputusan mengikut apa yang dikehendaki undang-undang.

“Dalam perjumpaan sebelum ini, Perdana Menteri sentiasa menegaskan faktor penyiasatan BPR adalah sensitif, sebab itu perlu berhati-hati dan bertindak secara profesional kerana ada keadaan yang mana BPR cuba digunakan sesetengah pihak yang mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Kenyataan ini dikeluarkan di Langkawi ketika seluruh negara digemparkan dengan usaha Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional membuat aduan polis berdasarkan kenyataan bersumpah bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafie Yahaya.

Ahmad Zaki nampaknya cuba mempertahankan Perdana Menteri kononnya BPR masih merupakan badan berwibawa sedangkan hakikatnya, dia hanya bertindak berdasarkan siapa yang Perdana Menteri “arahkan”.

Tidak ada yang terlepas kalau itu kehendak PM dan jika tidak cukup bukti, ia boleh dicari kemudian. Tetapi jika seseorang itu mahu dilindungi oleh PM, termasuk Ali Abu Hasan Sulaiman, sehingga kini BPR bukan lagi Badan Pencegah Rasuah sebaliknya Badan Penggalak Rasuah yang terkenal.

Ahmad Zaki usah bimbang kerana selama dia bekerja dengan Dr. Mahathir dia boleh selamat tetapi di depan Allah nanti, dia tidak boleh memberi apa-apa alasan yang pernah digunakan untuk menjawab di media massa.

Media massa Malaysia yang siang malam menyerang parti-parti pembangkang betul-betul menikus dalam soal aduan polis yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim lakukan terhadap kenyataan Dato’ Shafie.

Walaupun polis kata fail siasatan sudah dibuka dan bermakna siasatan sudah bermula, tetapi rakyat Malaysia boleh melihat apa kesudahan cerita ini selagi Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Dia akan mengarahkan Polis menyembunyikan kes ini dan BPR tidak akan menyambung siasatan itu selagi Ahmad Zaki yang mahu mengampu Dr. Mahathir kekal sebagai Ketua Pengarah.

Sebenarnya bukan sekali Ali Abul Hasan buat kerja “ambil” duit yang disangsikan sumbernya ini tetapi disebabkan dia “ada persamaan darah” dengan Zainuddin Maidin (ZAM) dan Dr. Mahathir, dia akan selamat. Dia akan diselamatkan oleh media khususnya Utusan Malaysia dan dia akan diselamatkan oleh Dr. Mahathir. Tiada siapa berani menyiasatnya selagi tiada lampu hijau dari Dr. Mahathir. Maknanya, dia ada imuniti dan Dr. Mahathir juga akan terus kebal kerana “imuniti” Raja-Raja Melayu sudah diambilnya.

 

habis