Edar Borang Keahlian Dalam Kampus UPM , Bukti UMNO Semakin Terdesak

Selepas membaca laporan berita yang bertajuk "UMNO didakwa edar borang ahli di UPM" saya merasa terpanggil untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan yang di lakukan oleh tunggak utama parti komponen Barisan Nasional tersebut.

Seperti yang dilaporkan oleh editor laman web Malaysiakini iaitu Fathi Aris Omar mengenai pengedaran borang keahlian UMNO secara meluas di Fakulti Pendidikan dan beberapa kolej kediaman di Universiti Putra Malaysia.

Selain daripada itu pelajar-pelajar yang menyertai atau mengisi borang keahlian parti tersebut akan dijanjikan "senang untuk mendapatkan pekerjaan" selepas mereka tamat pengajian nanti. Pelajar-pelajar yang mengisi borang keahlian tersebut juga tidak dikenakan sebarang yuran keahlian.

Disamping itu menurut laporan Fathi Aris Omar lagi , semua pelajar yang mengisi borang keahlian parti tersebut juga akan dibawa oleh pihak UMNO untuk satu lagi pertemuan ketika majlis berbuka puasa yang akan diadakan di sebuah hotel mewah berhampiran dengan UPM pada 19 Disember 2000 ini.

Adakah ini semua dilakukan untuk menyogok para pelajar supaya bersama mereka yang semakin tenat untuk menghadapi penolakan rakyat kepada mereka pada waktu ini? Selain daripada itu , adakah lawatan Dr. Mahathir ke UPM pada 15 November 2000 ini adalah rentetan daripada siri-siri pertemuan beliau dengan beberapa kelompok pelajar dari beberapa IPTA tempatan sebelum ini untuk memburuk-burukkan lagi parti pembangkang?

Setelah kekalahan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini kepada calon daripada Parti Keadilan Nasional , UMNO dan Barisan Nasional kelihatan seperti semakin takut untuk menghadapi gelombang kebangkitan rakyat yang seperti sudah tidak dapat dibendung lagi.

Pergolakan dalam parti itu sendiri kelihatan semakin ketara selepas kekalahan di Lunas baru-baru ini.Jadi kelompok pelajar yang dirasakan memainkan peranan dalam membangkitkan semangat rakyat untuk melawan kezaliman , rasuah dan penyelewengan kuasa oleh mereka ( baca : Barisan Nasional ) harus didekati.

Selain daripada itu kesan daripada penaklukan pelajar-pelajar daripada Gerakan Islam juga amat ditakuti. Pokok pangkalnya sekarang tindakan UMNO untuk menyogok pelajar harus ditentang oleh mahasiswa habis-habisan.

Ini adalah kerana tindakan bodoh parti pemerintah itu akan merosakkan golongan pelajar yang ketika ini masih lagi menuntut ilmu dan kebenaran di universiti. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) juga yang dipinda oleh Menteri Pelajaran pada 1975 itu "melarang keras penglibatan pelajar dalam mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja diluar kampus tanpa sebarang keizinan bertulis daripada Naib Canselor".

Sekyen 15 dalam AUKU juga menyatakan bahawa sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh didenda tidak lebih daripada RM 1000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-dua sekali.

Soalnya sekarang mengapakah pihak HEP UPM boleh meluluskan perkara-perkara yang ternyata memburukkan imej universiti tersebut yang seharusnya menjunjung akta yang ternyata tidak relevan itu.

Apakah ini bukti bahawa pihak HEP UPM ternyata bersekongkol dengan pemerintah untuk mngekalkan lagi hegemoni mereka? Mengapa pula kalau ada pelajar yang didapati terlibat dengan parti pembangkang ataupun dengan Gerakan Reformasi akan dikenakan tindakan yang keras?

Tindakan UMNO yang memberikan ganjaran mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan kepada mana-mana pelajar yang bersedia untuk mengisi borang keahlian parti itu juga membuktikan lagi amalan kronisme yang selama ini didakwa oleh rakyat diamalkan oleh mereka.

Pokok pangkalnya isu ini harus ditentang oleh MPPUPM dan semua pihak yang merasakan ketidakadilan telah berlaku di dalam kampus UPM itu. Pensyarah-pensyarah yang sedar akan perkara ini juga harus memainkan peranan yang aktif dalam mempertahankan kebebasan akademik di universiti tersebut.

Jikalau perkara-perkara seperti ini dibiarkan begitu sahaja , nescaya harapan untuk melahirkan mahasiswa yang berkualiti akan musnah begitu saja. Mahasiswa yang seharusnya tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik akan menjadi alat kepada parti-parti politik didalam kampus.

Kebajikan mahasiswa tidak lagi terjamin kerana pelajar-pelajar yang dikongkong oleh parti politik luar akan sibuk memperjuangkan agenda parti didalam kampus daripada memperjuangkan nasib dan kebajikan pelajar itu sendiri.

Kemudian pelajar tidak akan lagi menjadi suara hati kepada rakyat banyak yang teruk ditindas oleh pihak pemerintah.Mahasiswa tidak akan lagi dipandang sebagai kelompok yang bebas daripada kepentingan-kepentingan politik.

Mahasiswa UPM harus sedar tentang kesan negatif yang akan menimpa pelajar-pelajar UPM kalau perkara seperti ini terus dibiarkan. Majlis Perwakilan Pelajar yang diberikan mandat oleh mahasiswa UPM untuk mewakili suara hati mereka harus menentang perkara ini habis-habisan supaya kesan-kesan negatif yang akan menimpa mahasiswa UPM dapat dielakkan.

Selain daripada itu NGO atau mana-mana badan yang mendokong kebebasan akademik juga harus bersama-sama memperjuangkan isu ini kerana isu ini adalah isu rakyat banyak. Universiti dibina hasil daripada darah dan titik peluh rakyat yang wajib membayar cukai kepada pemerintah.

Mahasiswa seharusnya berkhidmat untuk rakyat bukan kepada parti-parti politik yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.Inilah masanya untuk mahasiswa membuktikan kepada rakyat yang selama ini mendakwa mahasiswa lesu dan telah disogok oleh parti-parti politik.

Mahasiswa seharusnya sedar bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam menjana arus perubahan yang positif dinegara ini. Bagaimana mahasiswa yang dikatakan akan menjadi bakal pemimpin negara jikalau isu-isu kebajikan mereka sendiri tidak terjamin.

Oleh itu semua pihak yang sedar tentang perkara ini seharusnya memainkan peranan dalam memastikan kebebasan akademik para pelajar ini akan lebih terjamin.Tindakan yang radikal dalam menagani isu ini harus diambil supaya kejayaan akan dapat tercapai.

Amin Iskandar

(amin_iskandar@hotmail.com)