BINGKISAN SUARA RAKYAT [9]

25 Oktober 2000

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

APAKAH FAKTOR KRITIKAL BAGI MENDAPATKAN BILANGAN INI?

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman  

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,  

Bilangan 100,000 rakyat bukannya satu bilangan yang kecil, terutamanya bila kita bercakap tentang satu bilangan yang bersedia berkumpul di Kuala Lumpur atau Selangor. Namun bilangan seperti ini pernah dicapai di Kuala Lumpur. Bilangan rakyat mencecah 100,000 atau lebih telah berhimpun di Masjid Negara dan Dataran Merdeka pada 20 September 1998. Pada hari itu Sdr Anwar Ibrahim masih bersama-sama kita. Kata orang bilangan 100,000 atau lebih akan mudah dicapai jika Anwar berada “di luar”.

Namun sejarah juga menyaksikan bilangan melebihi 100,000 juga telah dicapai ketika Anwar sudah berada “di dalam”. Ini berlaku pada 27 September semasa pelancaran GERAK, yang buat pertama kali membariskan PAS, DAP, PRM dan 14 buah NGO dalam satu barisan untuk menentang penggunaan ISA pada awal Ops Dalil. GERAK adalah hasil inisiatif pimpinan tertinggi PAS dan pelancaran tersebut diadakan di Markas Tarbiah Taman Melewar Gombak.  

79. Baru-baru ini juga dalam Kempen Sumpah Keramat II anjuran Pemuda keADILan, bilangan antara 30,000 hingga lebih 50,000 telah dapat dicapai. Bilangan ini berlaku di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bahkan, perhimpunan yang dianjurkan baru-baru ini di Kedah telah berjaya menghimpunkan bilangan rakyat yang dianggarkan mencecah 100,000. 

80. Apa sekalipun faktor kejayaan bagi mendapatkan bilangan ini, dengan tidak memperkecilkan pentingnya sumbangan kaum lain, faktor sokongan orang Melayu di negeri-negeri majoriti Melayu adalah penting bagi mendapatkan bilangan yang besar dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November nanti. 

81. Apa juga faktor kejayaan lain, dengan memperakui sumbangan keADILan, DAP, PRM dan NGO-NGO lain, sokongan pucuk pimpinan tertinggi dan ahli-ahli PAS adalah faktor kritikal untuk mendapatkan bilangan 100,000 dalam perhimpunan ini kelak.

82. Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat yakin, dengan isu royalti minyak di Terengganu dan isu air di Kelantan yang akan disentuh oleh Presiden PAS, Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam ucapannya di perhimpunan tersebut, puluhan ribu ahli dan penyokong PAS seluruh negara akan turun mendengar amanat beliau di Jalan Kebun. 

83. Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat juga yakin dengan menjemput Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta barisan pimpinan kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan yang akan bersama-sama melaungkan perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”, rakyat dari seluruh negara, khususnya dari Kelantan dan Terengganu akan beramai-ramai turun menyertai perhimpunan ini.  

84. Namun, Jawatankuasa Dasar juga yakin bahawa peratusan terbesar daripada bilangan 100,000 ini mesti didapati dari Kuala Lumpur dan Selangor sendiri. Sekali lagi kita percaya bahawa gabungan usaha pimpinan, ahli dan penyokong PAS dan keADILan dengan diperkukuhkan oleh DAP, PRM dan NGO-NGO lain di Kuala Lumpur dan Selangor adalah satu-satunya faktor terpenting untuk mendapatkan bilangan 100,000 ini, insya’ Allah. “KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

Hj. Saari Hj. Sungib AJK Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.  

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com 25 Oktober 2000