BINGKISAN SUARA RAKYAT [8]

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT : BAGAIMANA RAKYAT MENDAPAT MAKLUMAT TENTANG PERHIMPUNAN BERSEJARAH INI?

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

Bagi tujuan memberitahu dan memobilisasi rakyat untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat, Jawatankuasa Dasar telah mencetakkan dan mengedarkan 100,000 naskhah “Pernyataan Bersama Prinsip-prinsip Deklarasi Rakyat” dan 400,000 nota pengumuman (flyers) dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Sebanyak 20,000 poster akan dilekatkan di tempat-tempat awam seluruh negara.

Sementara itu, iklan dan makluman berita dalam akhbar Harakah juga akan disiarkan minggu ini. Dijangkakan lebih 300,000 naskhah akan diterbitkan dan ukuran bacaan media meletakkan setiap naskhah akhbar akan ditatap oleh lima orang pembaca. Ini bererti kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia akan menatap dan membaca iklan dan makluman tentang Perhimpunan 100,000 Rakyat pada minggu ini.

Dalam masa yang sama, pengumuman dan perkembangan Perhimpunan 100,000 Rakyat ini juga disiarkan melalui kumpulan diskusi internet pelbagai organisasi dan parti politik serta laman-laman web pro-reformasi. Laman-laman reformasi Mahafiraun 2020, Mahazalimtwo dan FAC mengeluarkan makluman tentang perhimpunan ini setiap hari bermula 19 Oktober hingga 4 November ini.

Berkenaan saluran internet, terdapat kira-kira 1 juta rakyat negara ini yang mempunyai akses langsung kepada internet. Umum menyatakan bahawa kira-kira 70-80% pengguna internet adalah peminat laman-laman web pro-reformasi!. Ini bererti 700,000 hingga 800,000 rakyat Malaysia melayari laman-laman reformasi sekurang-kurangnya pada kadar 3 kali seminggu.

Dalam masa yang sama, kajian menunjukkan bahawa bagi setiap individu yang mempunyai akses kepada internet akan menyebarkan maklumat yang diterimanya melalui internet kepada sekurang-kurangnya tiga orang lagi rakan lain. Ini bermakna, dengan anggaran 700,000 – 800,000 pengguna internet pro-reformasi, maka makluman dan perkembangan tentang Perhimpunan 100,000 Rakyat ini sebenarnya diketahui oleh kira-kira 2.5 juta orang rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti politik seperti PAS, keADILan, DAP, PRM, PSM serta pemimpin-pemimpin NGO seperti SUARAM, Persatuan Ulama Malaysia, ABIM, JIM, ALIRAN, JUST, LRC dan lain-lain juga akan membuat kenyataan berkenaan Perhimpunan 100,000 Rakyat ini dan menerbitkannya dalam media masing-masing.

Serentak dengan itu, pemimpin-pemimpin PAS, keADILan, DAP, PRM dan NGO-NGO akan memaklumkan serta menyeru rakyat untuk menyertai perhimpunan ini dalam ceramah-ceramah mereka di seluruh negara. Kempen “Gerakan Mengembalikan Hak Rakyat” yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda keADILan ke seluruh negara adalah wadah penting barisan penceramah keADILan, PAS, PRM, DAP dan NGO-NGO memberitahu kepada rakyat tentang Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November ini.

Dalam masa yang sama, rakan-rakan reformis, karyawan, OKT dan bekas tahanan ISA terus berbual-bual dengan rakan-rakan di kedai-kedai kopi, warong-warong malam, stesyen bas dan LRT serta di tempat-tempat awam lain tentang Perhimpunan 100,000 Rakyat ini. Melalui saluran tidak formal ini dianggarkan sebilangan besar orang awam mendapat makluman dan terdorong untuk menyertai perhimpunan ini.

Tidak ketinggalan juga tok-tok lebai dan imam-imam yang berbual-bual dalam kumpulan-kumpulan jamaah kecil tentang Perhimpunan 100,000 Rakyat selepas mereka selesai menunaikan solat isya’ di masjid dan surau di desa dan di kota. Semoga Allah memberkati perbualan kalian tok-tok imam sekalian!

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

AJK: Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com
Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi
Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat
24 Oktober 2000