BINGKISAN SUARA RAKYAT [7]

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT MEMBERI MANFAAT KEPADA SEMUA RAKYAT

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

Apabila rakyat turun untuk berhimpun di Jalan Kebun Shah Alam pada 5 November nanti, negara ini akan menyaksikan satu tiupan baru semangat rakyat untuk bersuara menyatakan apa yang tidak dapat mereka suarakan secara terbuka selama ini. Pada 5 November ini mereka akan bersama-sama berikrar dan menuntut - “Kembalikan Hak Rakyat!!”

Pada hari itu kakitangan awam yang sering disebut juga sebagai kakitangan kerajaan, dan yang malangnya sering disalahertikan sebagai kakitangan kepada Kerajaan Barisan Nasional dan kakitangan pemimpin-pemimpin khususnya UMNO, MCA dan MIC, akan turun. Kakitangan awam yang sering dikongkong dengan peraturan-peraturan yang menyekat kebebasan mereka untuk bersuara dan menyokong reformasi politik dan ekonomi negara akan bersama-sama pelbagai lapisan rakyat melaungkan “Kembalikan Hak Rakyat”.

Pada 5 November ini juga kita akan menyaksikan rakan-rakan daripada angkatan tentera yang tidak bertugas akan turun untuk menyatakan sokongan mereka kepada rakyat untuk menegakkan perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”. Pilihanraya Kecil di Telok Kemang yang lepas membuktikan mereka telah bangkit untuk menyuarakan hak mereka. Pada hari tidak bertugas mereka adalah rakyat Malaysia yang memiliki hak demokratik tulen untuk menyatakan pendirian mereka!

Pada 5 November ini kita akan melihat rakan-rakan di kalangan anggota polis yang tidak bertugas, anak-anak polis serta anggota keluarga polis akan turun bersama-sama rakyat berjuang menuntut “Kembalikan Hak Rakyat” kerana sebahagian besar di kalangan mereka telah sedar bahawa selama ini mereka cuba diperalatkan oleh beberapa kerat pemimpin politik di atas nama keselamatan negara. Sebahagian besar anggota polis mula sedar bahawa rakyat yang mereka sepak, terajang dan belasah dengan cota-cota dan rotan-rotan hingga berdarah ketika menghadiri perhimpunan aman sebenarnya bukanlah musuh negara. Sebaliknya pemimpin-pemimpin yang memunggah harta negaralah sebenarnya yang menjadi petualang dan musuh kepada rakyat.

Pada 5 November ini kita akan menyaksikan rakan-rakan di kalangan tokoh-tokoh korporat dan usahawan akan turun bersama rakyat mendukung perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”. Mereka ini adalah golongan yang tidak mudah diperdaya dengan kemewahan. Mereka bersedia menggadaikan kontrak berjuta-juta ringgit daripada mengkhianati amanah rakyat.

Pada 5 November ini kita akan melihat tuan-tuan guru, para ulama’ dan ustaz-ustaz turun untuk bersama-sama rakyat menyatakan sokongan kepada perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”. Merekalah benteng terakhir umat Islam negara ini untuk menentang keceluparan Dr. Mahathir terhadap hukum-hukum Allah dan sunnah Nabi s.a.w

Pada 5 November ini kita akan melihat tokoh-tokoh agama Kristian, Hindu, Sikh, Buddha dan tokoh-tokoh agama lain akan turun bersama-sama rakyat menyaksikan Perhimpunan 100,00 Rakyat. Mereka sedar bahawa persefahaman agama adalah tunjang penting keharmonian masyarakat Malaysia.

Pada 5 November ini kita akan melihat rakyat daripada berbilang kaum; Melayu, Cina, India, Punjabi, Serani dan lain-lain berhimpun untuk melaungkan “Kembalikan Hak Rakyat”. Perpaduan kaum adalah teras perjuangan “Ke Arah Malaysia yang Adil”

Pada 5 November ini, apabila rakyat bergerak turun ke Shah Alam dari seluruh penjuru negara, secara mendadak urusan dan hal-ehwal perniagaan akan melonjak naik. Stesyen-stesyen minyak akan sesak dan jualan minyak petrol akan meningkat, stesyen-stesyen bus dan teksi akan dibanjiri penumpang dan jualan tiket serta tambang teksi secara keseluruhan meningkat, perhentian-perhentian rehat, khususnya R&R di Lebuhraya PLUS akan sibuk dengan pelanggan untuk berhenti makan dan minum. Umumnya pada hari tersebut, para peniaga dan pengusaha akan mendapat manfaat daripada urusan jual beli yang melibatkan 100,000 rakyat Malaysia.

Pada 5 November ini juga, memandangkan kebanyakan rakyat yang hadir ke Perhimpunan 100,000 Rakyat akan menggunakan lebuhraya, bayangkanlah berapa besar jumlah kutipan tol di tol-tol utama NKVE, PLUS, ELITE dan KESAS!. Ringkasnya, Perhimpunan 100,000 Rakyat memberi juga manfaat kepada perniagaan para kroni!

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat juga telah membuat keputusan untuk mengutuskan surat jemputan kepada semua Ahli Parlimen yang sedang menghadiri Persidangan Parlimen sekarang ini. Mereka menjadi Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat bagi kawasan masing-masing. Mereka bukan wakil rakyat kepada pengundi-pengundi mereka sahaja. Mereka adalah wakil seluruh rakyat di kawasan mereka. Ini termasuk Ahli Parlimen Kubang Pasu. Oleh itu apabila rakyat datang dari seluruh negara untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat, maka selayaknyalah wakil-wakil rakyat mereka juga turut serta bersama-sama mereka.

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

AJK: Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com
Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi
Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat
24 Oktober 2000