BINGKISAN SUARA RAKYAT [6]

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT : PERSEDIAAN RAKYAT MENGHADIRI PERHIMPUNAN BERSEJARAH

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

Dengan peta arah dan panduan yang telah diberikan dalam siri lepas, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat berharap anda sekalian dapat membuat perancangan yang teliti dan teratur untuk menghadiri perhimpunan bersejarah tersebut

Untuk makluman anda sekalian, tempat perhimpunan itu hanya sekitar 1 km dari persimpangan keluar ke Kg. Jawa/Jalan Kebun dari Lebuhraya KESAS. Pihak penganjur dan aktivis PAS, keADILan, DAP, PRM, NGO-NGO dan para reformis sekalian akan memasang bendera dan lambang masing-masing sepanjang persimpangan tersebut hingga ke tempat perhimpunan.

Bagi melicinkan perjalanan program, kami menganjurkan agar anda:
(1) Makan tengahari sebelum sampai ke tempat perhimpunan
(2) Solat zuhur atau jama’ qasar zuhur dan asar bagi yang bermusafir
(3) Membawa sedikit bekalan makan dan minum khasnya yang membawa anak-anak (pastikan bekalan air diisi hanya dalam botol plastik)
(4) Membawa bersama bekalan ubat khasnya yang berpenyakit lelah/penat atau asma
(5) Memakai topi atau kep untuk mengelak panas terik
(6) Membawa payung atau baju hujan
(7) Membawa alas atau lapik duduk
(8) Tidak membawa banyak wang tunai
(9) Tidak memakai banyak barang kemas bagi wanita
(10) Tidak membawa dokumen penting
(11) Tidak membawa sebarang senjata tajam, kayu, besi atau botol kaca
(12) Tidak membawa bahan-bahan yang mudah terbakar
(13) Pastikan yang membawa kenderaan sendiri menguncinya di tempat letak kereta
(14) Pastikan anda tidak tinggalkan barang-barang berharga dalam kereta anda
(15) Hadkan membawa satu kad kredit sahaja jika perlu
(16) Pastikan anda membawa kad pengenalan anda
(17) Pastikan setiap orang membawa duit syiling 50 sen atau RM1; atau wang kertas RM2

Bagi memeriahkan perhimpunan ini, anda diminta: (1) Memakai baju, topi dan lencana yang melambangkan sokongan anda kepada parti-parti Barisan Alternatif serta NGO-NGO yang mendukung reformasi
(2) Membawa bersama bendera parti-parti PAS, keADILan, DAP, PRM dan bendera serta lambang-lambang NGO-NGO
(3) Menyematkan di pakaian anda lencana pro reformasi seperti “Free Anwar”, “Mansuhkan ISA”, “Kembalikan Hak Rakyat”, “Lawan Tetap Lawan”, “Nyah Mahathir” dan lain-lain lagi yang menggambarkan suara rakyat
(4) Membawa bersama kain-kain rentang yang menggambarkan perjuangan untuk Kembalikan Hak Rakyat seperti “Kembalikan Wang Royalti kepada Rakyat Terengganu”, “Mahathir!. Jangan Persendakan Rakyat Kelantan”, “Bebaskan Anwar”, “Suara Rakyat Suara Keramat”, “Rakyat Hakim Negara”, “Tegakkan Demokrasi Tulen”, “Rakyat Bersatu Tidak Dapat Dikalahkan”, “Merdekakan Rakyat daripada Penindasan Mahathir”, “Sokong BA - Ke Arah Malaysia yang Adil” dan lain-lain.

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat juga menyeru rakyat agar tidak membawa terlalu banyak barang yang mungkin perlu dilupus selepas digunakan. Ini bertujuan untuk mengelakkan sampah dan barang buangan yang terlalu banyak. Anda diminta memberi kerjasama untuk membawa balik semua barang yang anda bawa ke tempat perhimpunan seperti botol plastik, kertas surat khabar dan lain-lain.

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada para aktivis dan rakyat sekalian yang akan datang membawa bendera, lambang dan kain-kain rentang hasil inisiatif dan sumbangan wang ringgit mereka sendiri. Jawatankuasa Dasar juga mengucapkan penghargaan di atas kerjasama yang akan diberikan oleh rakyat bagi menjamin keteraturan perjalanan program serta keselamatan dan kebersihan tempat perhimpunan.

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

AJK: Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com
Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi
Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat
23 Oktober 2000