BINGKISAN SUARA RAKYAT [4]

22 Oktober 2000

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

BUKTI ILTIZAM DAN KEKENTALAN SEMANGAT RAKYAT

 

 

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

31.Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November ini akan bermula pada pukul 2:30 petang. Jika tidak mendung atau hujan, biasanya cuaca pada masa itu amat panas. Mungkin masih panas terik. Biasanya petang Ahad hari cuti seperti ini, terutamanya jika panas terik, duduk atau tidur sahaja di rumah adalah lebih baik!.

32. Namun di atas kesedaran untuk mengembalikan hak rakyat, para pendukung keadilan yakin bahawa rakyat tidak keberatan sedikit pun untuk turun pada hari tersebut dengan tujuan mendukung perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”

33. Sejak tercetusnya reformasi yang dilaungkan oleh Sdr Anwar Ibrahim pada September 1998 dahulu lagi, rakyat sudah biasa berkorban bersusah payah untuk menghadiri perhimpunan demi perhimpunan. Mereka berhimpun untuk mendengar pesanan dan amanat daripada para pemimpin alternatif yang mereka yakini berjuang “Ke Arah Malaysia yang Adil”.

34. Kali ini sekali lagi rakyat akan berhimpun, walaupun di bawah pancaran cahaya matahari yang terik, di tengah-tengah terang siang hari bagi mendedahkan wajah-wajah mereka tanpa takut dan gentar dikenali oleh golongan tertentu, semata-mata untuk membuktikan sokongan mereka kepada satu perjuangan untuk “Kembalikan Hak Rakyat”

35. Kali ini rakyat dari seluruh pelusuk negara, dari utara dan selatan, dari timur dan barat Semenanjung Malaysia akan berhimpun di Jalan Kebun Shah Alam dengan tujuan terlibat dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat. Perhimpunan ini akan dicatatkan dalam sejarah negara sebagai satu perjuangan untuk membuktikan bahawa “Suara Rakyat Suara Keramat”

36.Kali ini rakyat dari seluruh pelusuk negara jauh dan dekat akan turun ke Shah Alam dengan menaiki keretapi, kapal terbang, bus, kereta, motosikal, berbasikal dan berjalan kaki untuk bersama-sama dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat dengan satu tujuan, iaitu menjadi agen pencipta sejarah negara dalam satu perjuangan untuk “Kembalikan Hak Rakyat”

37. Kali ini rakyat yang sudah biasa berhimpun dalam ceramah-ceramah umum pada waktu malam dengan wajah-wajah mereka terlindung daripada kamera-kamera golongan tertentu sudah bertekad biarlah wajah-wajah mereka “ditangkap” oleh kamera-kamera sulit itu. Peduli apa itu semua demi perjuangan untuk “Kembalikan Hak Rakyat”

38. Dengan itu Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh lapisan rakyat yang memiliki iltizam yang tinggi dan semangat juang yang kental untuk bersama-sama mencipta sejarah berjuang “Ke Arah Malaysia yang Adil” dan “Kembalikan Hak Rakyat” dengan menghadiri perhimpunan ini.

39. Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat menyeru agar seluruh rakyat membuat persediaan awal di segi persiapan perjalanan untuk menghadiri perhimpunan bersejarah ini.

40. Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat juga menyeru kepada para ulama dan seluruh muslimin dan muslimat untuk berdo’a dan bersolat hajat agar Allah menjadikan cuaca pada hari bersejarah tersebut aman dan nyaman kepada seluruh rakyat yang datang dengan penuh keikhlasan demi perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”. Semoga hari tersebut kita semua diliputi oleh Allah dengan sakinah, ketenangan dan kekuatan.

 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

AJK :

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com

Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

 

22 Oktober 2000