BINGKISAN SUARA RAKYAT [3]

21 Oktober 2000

 

KEMBALIKAN HAK RAKYAT UNTUK BERHIMPUN SECARA AMAN

 

 

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

18.Perhimpunan 100,000 Rakyat yang pada mulanya dirancang untuk diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu sebuah kemudahan awam untuk rakyat, terpaksa diadakan di sebuah tempat milik persendirian, iaitu di satu tapak tanah seluas tiga ekar di Jalan Kebun, Bandaraya Shah Alam. 

19.  Setelah dua kali gagal mendapatkan Stadium Nasional Bukit Jalil, pihak Jawatankuasa telah membuat permohonan untuk menggunakan Stadium Merdeka di Kuala Lumpur. Apabila pihak Stadium Merdeka dimaklumkan tujuan menggunakan stadium tersebut adalah untuk mengadakan perhimpunan rakyat, pihak Stadium Merdeka menyatakan stadium tersebut sudah mendapat tempahan penuh hingga ke hujung tahun ini.

20.  Seterusnya Jawatankuasa membuat tempahan rasmi secara bersurat untuk menyewa Stadium Shah Alam. Sehingga semalam, 20 Oktober 2000, pihak pengurusan Stadium Shah Alam menyatakan bahawa permohonan tersebut telah dikemukakan kepada pihak atasan dan tiada keputusan yang telah dibuat.

21.  Usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat untuk menyewa tiga stadium utama di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ini jelas membuktikan bahawa pihak penganjur mencerminkan hasrat rakyat untuk mengadakan perhimpunan di tempat-tempat awam yang memang disediakan untuk kemudahan rakyat.

22.  Walau bagaimanapun, setelah gagal mendapatkan tempat awam dalam suasana rakyat terlalu berhajat untuk mengadakan perhimpunan raksasa bagi menunjukkan solidariti mereka, Jawatankuasa penganjur membuat keputusan untuk terus menganjurkan perhimpunan tersebut di Markas Parti keADILan Bahagian Shah Alam di Jalan Kebun.

23.  Tempat tersebut telah diamanahkan oleh seorang ahli keADILan untuk dimanfaatkan sebagai Markas keADILan Bahagian Shah Alam. Ini bermakna, tempat tersebut adalah hak milik persendirian dan juga markas sebuah parti yang sah berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan menurut Akta Pertubuhan.

24.  Sebelum ini sudah banyak ceramah politik dan perhimpunan diadakan di tempat tersebut. Semua majlis yang dijalankan di tempat tersebut berjalan secara teratur dengan para penyokong menunjukkan disiplin yang tinggi serta memberikan kerjasama bagi menjamin keselesaan dan keselamatan orang ramai.

25.  Dalam semua majlis umum yang diadakan di markas tersebut, anggota-anggota polis hadir bagi mengawal dan memerhatikan perjalanan program. Sehingga kini tiada laporan tidak positif yang diterima oleh penganjur daripada pihak polis.

26.  Pada masa yang sama, kemeriahan ceramah-ceramah politik yang dianjurkan di tempat tersebut telah menghidupkan suasana harmoni pelbagai lapisan masyarakat di samping memberi manfaat kepada para peniaga-peniaga kecil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi mereka.

27.  Kerjasama petugas-petugas di kalangan warga parti-parti Barisan Alternatif serta para reformis telah memberi mereka cukup pengalaman untuk mengawal lalu lintas serta keteraturan perjalanan perhimpunan yang dihadiri oleh puluhan ribu penyokong.

28.  Jalan keluar masuk yang tidak sesak, bahu jalan yang agak luas serta tempat letak kereta yang mencukupi di kawasan berhampiran dengan markas tersebut yang diperkukuhkan dengan bilangan petugas yang mencukupi berserta rakyat yang berdisiplin tinggi adalah faktor penting bagi menjamin Perhimpunan 100,000 Rakyat akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur. 

29.  Dengan itu, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat memberi jaminan bahawa perhimpunan ini akan berjalan dengan baik, selamat dan selesa. Tiada sebab mengapa ada  pihak yang cuba menghalang perhimpunan ini daripada diadakan.

30.Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat menyeru agar kita semua menegakkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beramai-ramailah hadir ke Perhimpunan 100,000 Rakyat!

 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

AJK :

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com

Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

 

21 Oktober 2000