BINGKISAN SUARA RAKYAT [2]

20 Oktober 2000

 

JAWATANKUASA DASAR 100,000 RAKYAT DAN SERUAN MENYOKONG “PERNYATAAN BERSAMA PRINSIP-PRINSIP DEKLARASI RAKYAT”

 

 

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

12.Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat ditubuhkan hasil persetujuan dan permuafakatan di kalangan aktivis parti-parti politik, NGO, reformis dan karyawan dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 2 Oktober 2000. Mesyuarat tersebut mengesahkan sokongan bagi meneruskan usaha untuk menganjurkan Perhimpunan Rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dirancang pada bulan September oleh Jawatankuasa Bulan Reformasi Parti keADILan Nasional.

13. Pengesahan sokongan itu bukan sahaja merupakan penegasan para aktivis parti politik untuk memantapkan permuafakatan Barisan Alternatif, tetapi juga ia meneguhkan semangat setiakawan seluruh reformis, karyawan serta para aktivis NGO untuk meneruskan perjuangan bersama-sama menegakkan keadilan di bawah panji-panji besar keluarga dan warga reformasi Malaysia.

14.Mesyuarat pada 2 Oktober yang dihadiri oleh 37 orang aktivis parti-parti politik, NGO, reformis dan karyawan tersebut telah melantik seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 10 orang sebagai ahli Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat.

15.Ahli-ahli Jawatankuasa Dasar terdiri daripada aktivis-aktivis PAS, keADILan, PRM, DAP, SUARAM, JIM, ABIM, reformis dan karyawan.

16.Bagi memperluaskan sokongan rakyat terhadap gerakan reformasi, adalah menjadi hasrat Jawatankuasa Dasar agar lebih banyak aktivis NGO dan aktivis reformasi terlibat dalam menjayakan Perhimpunan 100,000 Rakyat. Di atas dasar ini, Jawatankuasa Dasar telah meluluskan satu “Pernyataan Bersama Prinsip-prinsip Deklarasi Rakyat” untuk pengesahan (endorsement) daripada parti-parti politik, NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

17.“Pernyataan Bersama Prinsip-prinsip Deklarasi Rakyat” disertakan bersama di bawah. Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat menyeru seluruh parti politik, NGO serta individu-individu yang berjuang untuk mengembalikan hak rakyat di negara ini untuk memberi sokongan kepada pernyataan ini.

 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

AJK :

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com

Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

 

20 Oktober 2000

 

                                               

PERNYATAAN BERSAMA PRINSIP-PRINSIP DEKLARASI RAKYAT  

Sempena

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

 5 November 2000 - Jam 2.30 hingga 5 ptg

di Markas KeADILan, Jalan Kebun, Shah Alam/Kelang

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT

Menyedari bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan rakyat adalah penentu masa depan negara;

Menginsafi bahawa usaha untuk mengeratkan perpaduan rakyat, perpaduan nasional yang tulen adalah teras kepada keadilan dan kebenaran;

Memahami bahawa hanya sistem yang menghormati suara rakyat demi keadilan dan kebenaran adalah sistem yang dapat mengembalikan hak rakyat;

Mengakui hanya kerajaan yang telus, jujur, amanah dan bersikap adil terhadap rakyat, negara dan kepentingan semua dapat mengembalikan demokrasi negara yang kian terhakis.

Dalam keadaan negara yang :-

Mempunyai kepimpinan diktator yang menafikan rakyat mengamalkan hak mereka dan mengakibatkan krisis politik paling teruk dalam sejarah negara apabila seorang Timbalan Perdana Menteri dipecat dengan begitu kejam dan hina;

Masih mengalami krisis ekonomi serta penyelewengan kuasa dan pemunggahan kekayaan yang membebankan rakyat tetapi menguntungkan kepentingan kroni dan segelintir mereka yang rakus kuasa serta kekayaan;

Sedang mengalami keruntuhan sistem sosial yang ketara akibat pengabaian dan penetapan prioriti yang tidak mengikuti keperluan rakyat sebaliknya hanya untuk kepentingan segelintir hinggakan instrumen kerajaan juga disalahgunakan dan rasuah menular;

Berterusan berlaku pencabulan hak asasi dan menyimpang daripada hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia terutamanya dalam mengamalkan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara aman dan berpersatuan;

Mempunyai sistem pemerintahan yang telah memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan media yang membawa kepada penghakisan kepercayaan rakyat; 

Maka kerana itu rakyat diseru untuk :-

Bangkit menyatakan hak kebebasan untuk bersuara tanpa sekatan dan tanpa ancaman yang membantut kebebasan minda dan idea;

Bangun bersatu padu menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman pimpinan rakus yang bermaharajalela mencemar hak rakyat dan membebankan ekonomi negara;

Bersama memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap kebebasan sistem kehakiman dan perundangan;

Berdiri teguh menuntut hak mendapat maklumat yang telus melalui media yang bebas dan bertanggungjawab;

Berganding bahu menegaskan hak rakyat bahawa pemimpin-pemimpin kerajaan adalah mereka yang memegang amanah dan mesti dipertanggungjawabkan kepada rakyat;

Bersatu padu memerdekakan jiwa daripada penindasan dan kezaliman sistem dan pimpinan korup kepada sistem yang membangun keinsanan jiwa-jiwa ke arah ciri-ciri kemanusiaan yang unggul. 

Dengan itu

Rakyat diseru untuk berazam dan berikrar bagi :-

memastikan pengembalian hak sebenarnya kepada rakyat;

memastikan pimpinan yang korup dan tidak bertanggungjawab dinyahkan;

memastikan pimpinan yang bertanggungjawab dan memperjuangan keadilan, kebenaran dan hak rakyat dibebaskan dan ditempatkan sebagai pemimpin sebenar rakyat;

memerdekakan rakyat daripada belenggu sekatan dan ancaman palsu kerajaan untuk menyatakan suara rakyat melalui perhimpunan dan demonstrasi aman;

meneruskan perjuangan REFORMASI menegakkan kebenaran dan keadilan serta menghapuskan kezaliman.

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

Pengerusi:          Hj. Saari Hj. Sungib (keADILan)

Tim Pengerusi   Dr. Hatta Ramli (PAS),

AJK:    

Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 

Pernyataan Bersama ini diedarkan untuk mendapatkan pengesahan (endorsement) daripada Parti-parti Politik, NGO dan individu-individu. Pengesahan (endorsement) boleh dibuat melalui:

            Emel                  100000Rakyat@justice.com

            Faks                  03-457 8902

            Pos                   Sekretariat Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat,

                                    No. 42, Jalan 6, Taman Sri Ukay, 68000 Ampang.

Contoh Pengesahan NGO

Kami <nama NGO> mewakili <bilangan> ahli menyokong penuh pernyataan ini.

Tandatangan: ……………….                                                  Tarikh: ……………

Contoh Pengesahan Individu

Saya <nama penuh> No. K/P <no. kad pengenalan> menyokong penuh pernyataan ini.

Tandatangan: ……………….                                                  Tarikh: ………………