BINGKISAN SUARA RAKYAT [14]


29 Oktober 2000

“MOOD” RAKYAT MENUNTUT PENGHAPUSKAN ISA DI KAMUNTING AKAN DITERUSKAN PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT


Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman


Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,


Alhamdulillah, lebih 5,000 rakyat dari utara dan selatan telah berhimpun di Kem Tahanan Kamunting dari pagi hingga tengahari tadi, 29 Oktober 2000. Deklarasi menuntut penghapusan ISA dibacakan bersama. Belon mansuhkan ISA dilepaskan dan kemudian rakyat berarak di jalan raya dari kem tersebut menuju tempat ceramah, Markaz PAS Kawasan Taiping.
Ucapan-ucapan yang disampaikan oleh para pemimpin bekas tahanan ISA cukup menaikkan semangat rakyat untuk terus menuntut ISA dihapuskan. Gema takbir “Allahu Akbar”, laungan “Reformasi” dan seruan “Hidup Rakyat” tidak putus-putus berkumandang menunjukkan “mood” rakyat yang cukup tinggi untuk meningkatkan perjuangan “Kembalikan Hak Rakyat”.
Perhimpunan di Kamunting juga menunjukkan “mood” rakyat yang amat tinggi untuk memperjuangkan hak mereka untuk berhimpun secara aman. Berceramah dan mendengar ceramah tanpa sebarang sekatan.Sekiranya laungan mansuhkan ISA yang dilakukan oleh sejumlah 5,000 rakyat di Kamunting sudah cukup bagi Dr. Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi menjadi bingung, bayangkan apakah akan berlaku sekiranya 100,000 orang rakyat secara serentak melaungkan seruan “Hapuskan ISA”, dalam keadaan seruan tersebut dirakamkan oleh puluhan wartawan tempatan dan luar negara.
Dengan “mood” yang sudah terbina, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat menyeru rakyat yang hadir di Kamunting dan rakyat seluruh negara untuk turun ke Jalan Kebun pada 5 November untuk kita sama-sama melaungkan tuntutan “Hapuskan ISA”.
Bagi menyahut seruan perjuangan yang suci ini, saya mengajak saudara-saudara semua untuk membulatkan azam dan membetulkan niat kita. Tujuan kita turun ke Perhimpunan 100,000 Rakyat adalah untuk meningkatkan gelombang kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan berusaha untuk “Kembalikan Hak Rakyat”. Tidak ada kepentingan bagi mana-mana individu mahupun mana-mana kumpulan selain daripada membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat di negara ini.
Bagi saudara-saudara yang beragama Islam, saya ingatkan agar kita ikhlaskan hati kita semata-mata kerana Allah. Kita berhimpun dan bersurai pada 5 November ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah. Keredaan Allah kita cari kerana kita mahu membebaskan rakyat dan negara kita daripada kezaliman. Sebagai umat Islam kita sedar bahawa berjuang menentang kezaliman adalah suatu tugas yang dituntut oleh Allah. Dengan itu berhimpun dan berkumpul untuk membulatkan tekad menentang kezaliman adalah satu jalan untuk mendapatkan keredaan Allah.Dengan itu saya menyeru umat Islam yang akan hadir ke Perhimpunan 100,000 Rakyat membersihkan hati kita, memperbaiki amal ‘ibadah kita dan memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah. Semoga perjuangan kita berjaya. Amin.
Bagi saudara-saudara yang sudah biasa dengan amalan sunat puasa Isnin dan Khamis, saya sarankan agar sedaya upaya jika tiada uzur dan halangan, puasalah Isnin dan Khamis dalam minggu sebelum kita berhimpun pada 5 November di Jalan Kebun. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua.

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT” 

Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat
Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.
Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com
Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com