BINGKISAN SUARA RAKYAT [12]

27 Oktober 2000

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT 

12. BAGAIMANA MENDAPATKAN BILANGAN TERSEBUT? 

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

Bagi mendapatkan 100,000 rakyat, Jawatankuasa Dasar menggunakan kaedah 80/20. Kaedah ini bererti 80% dari 100,000 rakyat bagi Perhimpunan 100,000 Rakyat terdiri dari warga Kuala Lumpur dan Selangor. Berdasarkan prestasi Pilihanraya Umum November 1999, Barisan Alternatif mendapat 217,000 undi di Kuala Lumpur dan 385,000 undi di Selangor. Ini bererti penyokong reformasi ekonomi dan politik negara yang terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan Pilihanraya Umum lalu adalah seramai 600,000 orang Bagi mendapatkan 80,000 orang bererti kita hanya perlu mendapatkan 13% daripada keseluruhan jumlah penyokong Barisan Alternatif di kedua buah negeri ini. Jika diukur di segi peratusan, maka usaha untuk mendapatkan 80,000 rakyat dari Kuala Lumpur dan Selangor bukanlah satu tuntutan yang membebankan jika diambil kira prestasi jentera Barisan Alternatif, NGO-NGO dan reformis di kedua negeri ini.


109.Berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh Barisan Alternatif di Kuala Lumpur dan Selangor, Jawatankuasa Dasar juga menetapkan agar Selangor memobilisasi 50,000 rakyat dan Kuala Lumpur pula memobilisai 30,000 rakyat.

110.Mengambilkira 17 kawasan Parlimen di Selangor, maka setiap Bahagian atau Kawasan PAS, keADILan, DAP, PRM serta para reformis hendaklah menggerakkan sekurang-kurangnya 3,000 orang dari setiap Bahagian atau Kawasan ke perhimpunan tersebut. Dalam masa yang sama, kawasan-kawasan yang berhampiran seperti Klang, Kuala Langat, Kapar, Subang Jaya, Petaling Jaya, Sepang dan seumpamanya perlu menggerakkan penyokong ala kempen pilihanraya agar ramai yang turun ke Jalan Kebun pada tarikh tersebut.

113.Demikian juga jika diagihkan 30,000 rakyat di 10 kawasan Parlimen Kuala Lumpur, setiap Bahagian atau Kawasan PAS, keADILan, DAP, PRM dan para reformis hanya perlu mendapatkan 3,000 orang penyokong untuk turun menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat.

114.Bilangan ini jika dirancang dan digerakkan secara sistematik bukanlah satu bilangan yang terlalu besar memandangkan keupayaan parti-parti politik Barisan Alternatif dan para reformis menyusun dan menggerakkan jentera dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

115.Jawatankuasa Dasar percaya kerjasama yang erat di kalangan warga Barisan Alternatif beserta strategi yang betul, kita akan sama-sama berjaya menggerakkan 50,000 rakyat dari Selangor dan 30,000 rakyat dari Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November ini, insya’ Allah.

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”
Hj. Saari Hj. Sungib
Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat
Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com
Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com