BINGKISAN SUARA RAKYAT [11] PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

KENAPA RAKYAT KUALA LUMPUR DAN SELANGOR AKAN SEKALI LAGI MENJAYAKAN PERHIMPUNAN BERSEJARAH INI 

Rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi 

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa bilangan 100,000 rakyat adalah satu bilangan yang besar. Tugas mengumpulkan 100,000 rakyat untuk berhimpun di sesuatu tempat pada sesuatu masa yang sama di Kuala Lumpur atau Selangor adalah satu tugas yang berat. 

Namun seperti dinyatakan sebelum ini, dalam era reformasi yang dicetuskan oleh Sdr. Anwar Ibrahim pada 20 September 1998 dan era GERAK yang dipimpin oleh Presiden PAS Dato’ Fadzil Mohd Noor pada 27 September 1998, bilangan 100,000 bukanlah satu bilangan yang mustahil untuk dihimpunkan sekali lagi pada 5 November 2000, insya’ Allah. Dengan kehadiran tokoh-tokoh pemimpin utama parti Barisan Alternatif; YB Dato’ Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden keADILan, Sdr. Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM kita percaya keinginan rakyat dari seluruh Kuala Lumpur dan Selangor untuk berhimpun dengan bilangan seramai 100,000 masih tetap utuh dan teguh.

 Dalam perhimpunan kali ini bukan hanya empat orang tokoh ini sahaja yang diketengahkan, bahkan tokoh-tokoh utama Barisan Alternatif di kalangan YB-YB ahli-ahli Parlimen, YB-YB ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pemimpin-pemimpin NGO, tokoh-tokoh reformis dan karyawan serta seluruh rakyat jelata buat pertama kalinya akan berhimpun di tempat dan masa yang sama. Inilah julung-julung kalinya suatu perhimpunan seumpama ini berlaku dalam sejarah reformasi negara. 

Untuk menyerikan perhimpunan bersejarah ini, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat telah mengundang YB Dato’ Hassan Ali untuk menjadi Pengacara Majlis, Al-Fadhil Al-Ustaz Dr. Badrul Amin memimpin doa munajat dan Sdr. Ezam Mohd Noor mengetuai bacaan ikrar Deklarasi Rakyat. Dengan keempat-empat pemimpin tertinggi menyampaikan amanat di tengah-tengah pelbagai krisis ekonomi dan politik negara yang bertitik tolak dari pusat kuasa negara; iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya Selangor, pastinya akan menjadikan Perhimpunan 100,000 Rakyat suatu perhimpunan yang tidak boleh berlalu demikian sahaja tanpa pembabitan aktif rakyat yang bermastautin di kawasan pusat kuasa tersebut. 

 

98.Di atas dasar ini kita percaya seperti 20 September 1998 di Masjid Negara/Dataran Merdeka dan 27 September 1998 di Pusat Tarbiah PAS Taman Melewar, rakyat Kuala Lumpur dan Selangor akan membanjiri Jalan Kebun pada 5 November ini. Bahkan merekalah yang akan menjadi bilangan terbesar di kalangan 100,000 rakyat ini. 

99.Pada hari itu juga rakyat Selangor akan mendengar pendirian pimpinan tertinggi Barisan Alternatif tentang keputusan Dr. Mahathir untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. 

100.Pada hari bersejarah tersebut juga rakyat Kuala Lumpur akan mendengar apakah implikasi terhadap ekonomi dan perniagaan di Kuala Lumpur apabila Putrajaya yang belum mampu menjanakan sumber ekonominya sendiri dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran terus Dr. Mahathir.

101.Dalam perhimpunan 5 November ini juga rakyat Selangor akan mengetahui kenapa YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz sanggup dihadapkan ke mahkamah di atas halangan Menteri Besar Selangor Dr. Mohd Khir Toyo menghalang tokoh agama yang cukup berwibawa seperti Tok Guru untuk menyampaikan ceramah berkenaan Islam di surau dan masjid di seluruh Selangor.

102.Pada 5 November di Jalan Kebun rakyat Kuala Lumpur juga akan sedar bahawa peluang mereka untuk menghadiri ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama yang berwibawa tidak lama lagi akan hapus selagi mana tokoh-tokoh agama tersebut tidak mahu berpihak kepada dasar dan pandangan Dr. Mahathir. 

103.Pada hari itu juga kita bakal menyaksikan rakyat dari Sabak Bernam dan Kuala Selangor setiap seorang akan membawa sebiji kelapa. Kelapa-kelapa ini akan mereka longgokkan di Persimpangan Kebun, Shah Alam. Tindakan mereka adalah sebagai satu protes terhadap kerajaan pimpinan Dr. Mahathir yang tidak sedikit pun membela nasib para pekebun kelapa di Selangor apabila harga kelapa jatuh kini ke paling rendah, iaitu 2 sen sebiji. 

104.Di antara pukul 2:30 petang hingga 5:00 petang pada 5 November ini rakyat Kuala Lumpur akan diberitahu kenapa masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan-kawasan perumahan mereka dan kenapa masalah penempatan setinggan masih tidak dapat diatasi sehingga sekarang walaupun Dr. Mahathir mendabik dada berbangga dengan Kuala Lumpur yang memiliki antara bangunan tertinggi di dunia. 

105.Wahai rakyat Selangor dan Kuala Lumpur!, turunlah ke Jalan Kebun, pukul 2:30 petang hingga 5:00 pada 5 November ini. Tegakkanlah hak anda. Bersama-samalah kita teruskan perjuangan untuk “Kembalikan Hak Rakyat”. 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT” 

Hj. Saari Hj. Sungib 

Pengerusi, 

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat 

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com 

Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com