BINGKISAN SUARA RAKYAT [1]

19 Oktober 2000

 

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT – “KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

 

 

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

 

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

1.Bagi meningkatkan gelombang perjuangan mengembalikan hak rakyat, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat akan menganjurkan Perhimpunan 100,000 Rakyat pada hari Ahad 5 November 2000 bertempat di Markas keADILan, Jalan Kebun, Shah Alam

2.Perhimpunan akan diadakan dari pukul 2:30 petang hingga 5:00 petang.

3.Perhimpunan 100,000 Rakyat ini diadakan bagi meneruskan aspirasi rakyat untuk berhimpun secara aman setelah pihak berwajib menafikan hak mereka untuk berhimpun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Bulan Reformasi, September lalu.

4.Perhimpunan 100,000 Rakyat juga membuktikan kecekalan dan ketabahan rakyat untuk mempertahankan hak untuk terus berhimpun secara aman di mana-mana sahaja setelah dinafikan hak untuk menggunakan Stadium Nasional yang dibina untuk rakyat dengan menggunakan wang rakyat.

5.Perhimpunan 100,000 Rakyat yang bertemakan “Kembalikan Hak Rakyat” bertujuan untuk menggembleng perpaduan seluruh peringkat rakyat bagi menuntut hak mereka yang semakin terhakis di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr. Mahathir Mohamad.

6. Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November ini akan mendengar amanat daripada semua pimpinan tertinggi parti-parti Barisan Alternatif yang terdiri daripada YB Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor (Presiden PAS), YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden keADILan), Sdr. Lim Kit Siang (Pengerusi Kebangsaan DAP) dan Dr. Syed Husin Ali (Presiden PRM).

7.Perhimpunan 100,000 Rakyat akan menjadi wadah bagi memperkenalkan pemimpin-pemimpin NGO dan para reformis, bekas tahanan ISA dan para OKT yang terus teguh pendirian bersama-sama mendukung perjuangan mengembalikan hak rakyat serta memperjuangkan reformasi politik dan ekonomi di negara ini

8.Perhimpunan 100,000 Rakyat akan menyaksikan para pemimpin di kalangan barisan pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Barisan Alternatif, Pesuruhjaya-pesuruhjaya, Ketua-ketua Perhubungan, Ketua dan Pengerusi parti-parti Barisan Alternatif di peringkat Negeri, Kawasan dan Bahagian serta cawangan-cawangan turut hadir untuk bersama-sama orang ramai berjuang bagi mengembalikan hak rakyat.

9.Perhimpunan 100,000 Rakyat juga akan menyaksikan pelepasan belon “Merdekakan Rakyat”, pelancaran sepandok gergasi “Bebaskan Anwar” dan usaha mendapatkan tandatangan rakyat di atas kain rentang sepanjang satu kilometer.

10.Kemuncak Perhimpunan 100,000 Rakyat adalah pelancaran “Kempen Nyah Mahathir” berserta dengan pelancaran logo dan sepandok gergasi “Nyah Mahathir”.

11.Perhimpunan 100,000 Rakyat akan diakhiri dengan bacaan “Deklarasi Rakyat”.

 

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

 

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi,

Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

 

AJK :

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

 

Emel Sekretariat: 100000Rakyat@justice.com

Emel Pengerusi: abuurwah@mailandnews.com

 

19 Oktober 2000