1:15pm, Tue: Saya tidak mengerti mengapa perpaduan
begitu
ditonjolkan sebagai satu matlamat yang murni. Seolah-olah tidak ada
yang lebih penting daripada perpaduan. Segala-galanya harus
diketepikan untuk mencapai perpaduan.
Pada hakikatnya perpaduan bukanlah tujuan yang mutlak. Bergantung
pada keadaan tertentu, perpaduan boleh jadi berguna, boleh jadi
tidak berguna. Bahkan ada masanya ia membawa bahaya. Kalau
perpaduan tersebut bertujuan menghapuskan rasuah, mendesak agar
kebebasan kehakiman dipulihkan semula, ia sudah tentu baik.
Tetapi kalau perpaduan untuk membantu diktator yang bakal
tumbang supaya kembali bertenaga, ia sudah tentu tidak berguna.
Kalau perpaduan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan kaum
bukan Melayu, ia sudah tentu berbahaya.
Kadangkala perpecahan itu tidak dapat dielakkan. Seperti perceraian,
ia suatu yang paling dibenci tetapi kalau pasangan suami isteri
tersebut hidup seperti dalam neraka, maka lebih baik bercerai.
Bukanlah matlamat tersebut untuk mencapai perpecahan tetapi
dalam proses untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, perpecahan
terpaksa berlaku.
Seseorang yang mengkaji sejarah tentu sedar bahawa kalau tidak
ada perpecahan, mungkin tidak akan muncul nasionalisme Melayu.
Nasionalisme Melayu mula muncul dengan perpecahan di kalangan
umat iaitu munculnya perbezaan antara Kaum Muda dan Kaum Tua.
Kaum Muda adalah golongan ulama muda yang ingin membawa
reformasi (istilah ketika itu ialah islah) di kalangan umat Melayu.
Mereka dipengaruhi pemikiran-pemikiran pembaharuan yang dibawa
oleh reformis seperti Jamaludin al-Afghani, Muhammad Abduh dan
Rasyid Ridha.
Mereka menganjurkan pintu ijtihad dibuka semula agar pemikiran umat
menjadi dinamis, tidak beku atau jumud; justeru itu dapat menangani
segala masalah baru yang muncul dengan kedatangan zaman moden.
Mereka juga menganjurkan segala khurafat dan bid’ah dibanteras dan
menyeru umat supaya kembali kepada al-Quran dan sunnah.
Di satu pihak yang lain, Kaum Tua mempertahankan taklid, iaitu
mengikut sahaja segala pendapat imam mazhab-mazhab yang lalu.
Segala masalah telah diselesaikan oleh imam-imam besar ini. Tidak
mungkin akan muncul ulama yang boleh menyaingi kepintaran Imam
Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafie atau Imam Ahmad Hambal.
Pintu ijtihad telah ditutup.
Cengkaman sikap dan pemikiran Kaum Tua begitu kuat kerana
jawatan mufti, kadi dan imam di kampung-kampung dikuasai oleh
mereka sehingga Kaum Muda terpaksa berhempas-pulas untuk
memecahkan kejumudan tersebut.
Idea baru sentiasa ditentang
Berlaku perdebatan dan polemik antara dua golongan ini. Saya yakin
dalam polemik -polemik tersebut ada banyak sumbangan positif, ada
juga yang negatif dan tentunya yang remeh.
Namun begitu buat pertama kalinya umat Melayu terdedah kepada
pemikiran baru. Dari segi sosial, pertembungan antara pemikiran baru
dengan pemikiran lama tersebut menyebabkan berlaku
pulau-memulau. Di kampung-kampung, ada masjid dan surau Kaum
Muda dan ada masjid dan surau Kaum Tua.
Dalam mana-mana masyarakat sekalipun idea-idea baru akan
ditentang oleh golongan lama. Akan berlaku pertentangan antara
pemikiran baru dengan pemikiran lama. Pertentangan ini sering
mempunyai dimensi sosial dan politik terutamanya apabila idea-idea
tersebut mencabar pengaruh atau kepentingan golongan yang
berkuasa.
Inilah yang berlaku apabila Galileo mengemukakan teori kosmologi
yang berpusatkan matahari. Beliau ditentang oleh pihak gereja yang
berpegang pada teori kosmologi yang berpusatkan bumi. Berlaku
pertentangan antara sains dengan gereja di Eropah.
Dan pertentangan ini merupakan peristiwa yang amat penting bukan
sahaja dalam sejarah Eropah tetapi juga dalam sejarah umat
manusia. Ia merupakan satu batu tanda dalam sejarah kemajuan
pemikiran manusia. Jika tidak berlaku perpecahan dan pertentangan
tersebut, tidak akan muncul zaman moden.
Memang perpecahan dan persaingan pendapat akan menyebabkan
ketegangan. Kestabilan dan ketenangan akan tergugat. Tetapi
masyarakat yang terlalu mementingkan kestabilan dan ketenteraman
akan menjadi jumud dan beku. Masyarakat yang meletakkan
perpaduan sebagai matlamat nombor satu selalunya tidak mencipta
sejarah.
Masyarakat tersebut tidak punya sumbangan terhadap kemajuan
umat manusia. Masyarakat tersebut akan dilupakan kerana ia adalah
masyarakat yang sedang tidur dan dibuai mimpi. Apabila berlaku
pertentangan dan perpecahan, mata dunia akan mula memandang
kepadanya kerana ia adalah tanda masyarakat tersebut telah bangun
daripada tidur.
Mengapa Itali abad ke-15 begitu dikagumi? Ia bukanlah sebuah
negara yang bersatu-padu. Bahkan negara itu penuh konflik dan
pertentangan. Dengan konflik dan pertentangan tersebut, muncul
idea-idea baru, muncul humanisme yang mencipta zaman - dikenali
Renaissance. Tenaga kreatif keluar mencurah-curah. Tidak
pernahdisaksikan ledakan kreatif seperti itu.
Leornado da Vinci, Michealangelo mencipta revolusi dalam bidang seni
dan cita rasa aestetika, Michiavelli membawa pembaharuan dalam
sains politik, Dante mengangkat loghat daerah, loghat Itali, tatkala
masyarakat menggunakan bahasa Latin, untuk menghasilkan syair
agung Comedia Divina.
Umno antikemajuan berfikir
Dalam sejarah Islam, zaman tamadun Islam paling produktif dan paling
banyak memberikan sumbangan terhadap umat manusia ialah tatkala
umat Islam penuh dengan konflik dan pertentangan. Konflik antara
golongan Mu’tazilah dan Ahli Sunnah wal Jamaah, konflik antara
al-Ghazali daripada mazhab kalam dengan Ibn Sina yang mewakili
mazhab falsafah bukan sahaja penting dalam sejarah umat Islam
tetapi juga penting dalam sejarah dunia.
Umat Islam tidak lemah dengan pertentangan ini, sebaliknya
pemikirannya menjadi maju. Pemikiran-pemikiran ini kemudiannya amat
berpengaruh di Eropah. Umat Islam mundur apabila pintu ijtihad
ditutup, tidak ada lagi pemikiran baru dan tidak ada yang
bertentangan.
Apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Umno dan media
massa arus utama mencanangkan perpaduan Melayu dan
mengetepikan segala isu lain seperti rasuah, demokrasi, kebebasan
institusi kehakiman, mereka ini sebenarnya ingin membantutkan
kemajuan fikiran umat Melayu.
Kerana terlalu kepingin untuk bersemuka dengan PAS, pucuk pimpinan
Umno membatalkan debat antara Hishammuddin Hussein dan Mahfuz
Omar.
Jelas Umno antikemajuan berfikir. Mana ada masyarakat yang boleh
maju tanpa perdebatan. Dengan ketidaksediaannya untuk berdebat,
jelas betapa jauhnya Umno telah mundur kebelakang dari segi
pemikiran politik.
Perdebatan bukanlah perkara baru di Malaysia. Dalam tahun 1969,
berlaku perdebatan terbuka mengenai kebudayaan antara parti
Gerakan dengan DAP. Gerakan diwakili oleh Dr Syed Naguib al-Attas
dan DAP diwakili oleh Lim Kit Siang.
Universiti sering menganjurkan debat antara pemimpin-pemimpin
politik dari parti kerajaan dan pembangkang. Bahkan penulis ketika
menjadi pemimpin pelajar di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM)
pernah menganjurkan debat tiga penjuru antara Ketua Penuda Umno
(waktu itu Suhaimi Kamarudin), Ketua Pemuda PAS (Mustafa Ali) dan
wartawan (Subky Latif).
Suhaimi tidak perlu merujuk Presiden Umno waktu itu Tun Hussein
Onn (bapa Hishammuddin) untuk berdebat dengan Mustafa. Bahkan
debat di universiti-universiti pada zaman itu begitu lumrah.
Walhasil jika umat Melayu ingin terus maju, ia harus menerima
perpecahan sebagai suatu realiti yang tidak dapat dielakan. Ia adalah
asam garam kemajuan. Persoalannya adalah, bagaimana untuk
menguruskan perpecahan tersebut.
Islam meletakkan prinsip toleransi sebagai prinsip untuk menangani
perbedaan dan perpecahan agar tidak berlaku zalim-menzalimi,
tindas-menindas khususnya daripada golongan majoriti terhadap
golongan yang menganut fahaman minoriti.
Ketegangan kreatif prasyarat kemajuan
Ataupun, jangan terjadi golongan yang pandangannya mendapat
sokongan pemerintah boleh menggunakan kuasa rasmi itu untuk
menghapuskan fahaman atau aliran pemikiran yang menjadi
saingannya.
Keadaan ini berlaku pada zaman Maharaja Cina yang pertama, Shih
Huang Ti. Perdana Menteri beliau dipengaruhi oleh faham legalis
(faham hukum) yang mendapat saingan daripada aliran pemikiran
Kung Fu Tze.
Shih Huang Ti, orang pertama yang menyatukan Cina, dihantui oleh
cita-cita untuk menyatupadukan Cina, bukan sahaja dari segi wilayah
tetapi juga dari segi pemikiran kerana perpecahan dalam pemikiran
juga akan menyebabkan perpecahan wilayah.
Maka beliau mengarahkan semua buku ajaran Kung Fu Tze dibakar
dan 400 sarjananya ditanam hidup-hidup.
Dalam sejarah pemikiran moden, Alexis de Tocqueville mengemukan
konsep “tyranny of the majority,” kecenderungan golongan
terbanyak untuk menindas golongan minoriti. Justeru itu demokrasi
yang telah matang mempertahankan dan melindungi pendapat dan
hak golongan minoriti.
Golongan majoriti, sebesar mana jumlahnya sekalipun, tidak punya
hak untuk menindas golongan minoriti, menggugat hak asasi, hak
politik dan hak kebudayaan mereka.
Perpecahan yang berlaku sekarang sebenarnya merupakan
persaingan positif antara parti-parti politik. Perkembangan ini baik
untuk demokrasi, kemajuan berfikir, dan kreativiti bukan sahaja di
kalangan umat Melayu bahkan juga seluruh rakyat Malaysia.
Memang ada ketegangan, tetapi ia adalah ketegangan kreatif yang
merupakan prasyarat kemajuan. Mereka yang bingung dengan
perpecahan sekarang adalah orang jumud kerana mereka menghadapi
kesukaran untuk menanganinya. Mereka gagal melihat apa-apa yang
positif daripada perpecahan ini.
Tetapi 20 tahun dari sekarang, generasi baru Malaysia akan membuat
kesimpulan bahawa zaman perpecahan yang dilalui sekarang adalah
titik peralihan kepada “the making of Malaysian manhood” -
pembentukan Malaysia sebagai satu bangsa yang yakin dan berani,
bangsa yang berani bertentang mata dengan kebenaran dan hakikat,
bangsa yang telah memerdekakan dirinya daripada ketakutan,
momokan dan mitos.
KHALID JAAFAR adalah Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Dasar
(IKD). Beliau pernah bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada
bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selama lebih 10
tahun dan kini mengendalikan risalah rasmi parti, Berita Keadilan.
Last modified:Tuesday January 16, 1:18 pm