Berita Harian Singapura, Khamis:6/7/2000


Perwaja:RM76j 'ghaib' dikesan di tiga negara

MELAKA -- Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengesan pengaliran RM76 juta ($33.7 juta) yang disembunyikan di beberapa bank luar negara dalam siasatan kes selewengan Perwaja Steel Sdn Bhd.
Pada mulanya, wang itu dipindahkan ke Hongkong dan kemudian ke Jepun sebelum ke Switzerland, menurut laporan akhbar The Sun semalam.

BPR mengambil keterangan daripada beberapa pihak tempatan dan luar negara. Ia juga menghubungi kedutaan tiga negara itu bagi membantu memeriksa akaun bank terbabit.

Pengarah Bahagian Siasatan BPR, Encik Abdul Razak Idris, berkata mereka berharap akan dapat menyelesaikan siasatan beberapa bulan lagi.

"Dalam kes Perwaja Steel ini, kita tidak melihat (menyiasat) kepada kerugian RM2.9 bilion itu kerana ia mungkin berpunca daripada salah pengurusan atau sebagainya.

"Kita lebih melihat (menyiasat) kepada pembayaran RM76 juta kepada orang-orang tertentu di Jepun yang menimbulkan tanda tanya," katanya selepas merasmikan seminar pegawai BPR Zon Selatan.

BPR memulakan siasatan terhadap kes Perwaja Steel pada Oktober 1996 selepas didakwa berlaku penyelewengan sehingga menyebabkan syarikat keluli itu menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM2.9 bilion.

"Setakat ini, BPR belum mengenal pasti siapa penerima wang itu tetapi kita mengetahui beberapa orang yang disyaki terbabit.

"Apabila siasatan selesai kelak, kita akan tahu sama ada pembayaran wang tersebut dilakukan secara ikhlas (bona fide) ataupun wujudnya pecah amanah," kata beliau lagi.