13 Jun 2000,Berita Harian Singapura

'Dr M arah hentikan siasatan'

Saksi dakwa pegawai yang disiasat BPR kemudian dilantik jadi gabenor bank pusat
KUALA LUMPUR -- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, secara peribadi telah mengarahkan agensi pencegah rasuah untuk menggugurkan siasatan berhubung seorang pegawai yang kemudian dilantik gabenor bank pusat, menurut seorang saksi semalam.

Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, Encik Shafee Yahaya, memberi keterangan bagi pihak peguambela dalam perbicaraan liwat mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Encik Shafee berkata kejadian itu berlaku pada Jun 1998 -- tiga bulan sebelum Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar -- selepas BPR menyerbu pejabat pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan menjumpai sejumlah wang yang besar.

Pengarah EPU pada ketika itu ialah Encik Ali Abu Hassan Sulaiman, namun namanya tidak disebut di mahkamah.

Encik Ali Abu, yang kini sudah bersara, dilantik gabenor bank pusat pada September 1998 selepas gabenor sebelumnya -- yang dilihat rapat dengan Datuk Seri Anwar -- meletakkan jawatan pada 28 Ogos.

Pada 1 September 1998, Dr Mahathir memperkenalkan kawalan modal dan ke esokan harinya memecat Datuk Seri Anwar.

Encik Shafee, yang disoal oleh peguam Datuk Seri Anwar, Encik Christopher Fernando, berkata Dr Mahathir memanggilnya selepas serbuan itu "dan beliau dimarahi".

"Beliau bertanya: 'Kenapa kamu berani menyerbu pejabat kanan pegawai saya?'

"Saya terkejut. Saya menjawab: 'Ini berdasarkan aduan rasmi dan saya menjalankan tugas saya secara rasmi'."

Encik Shafee berkata Dr Mahathir menuduhnya "cuba memfitnah" pegawai itu.

"Saya menjawab beliau silap dan sebagai seorang Islam adalah berdosa besar untuk saya memfitnah sesiapa. Perdana Menteri kemudian bertanya sama ada Anwar meminta saya menyerbu pejabat itu?

"Saya kata, 'Tidak, ia berdasarkan aduan rasmi'."

Selepas Dr Mahathir menegurnya, Encik Shafee telah menutup kes itu.

"Saya amat kecewa dan memberitahu isteri saya bahawa saya mahu meletakkan jawatan tetapi beliau menasihati saya supaya menamatkan kontrak saya," ujarnya. -- AFP.