Oleh Pena Suasa

 

Benci melata, sayang bertompak

 

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad benar-benar keliru, antara takut kepada Tun Daim Zainuddin dan bimbang kemerosotan sokongan rakyat.

Apabila dia melantik Dato’ Mustapa Mohamad sebagai Penasihat Kementerian Kewangan, jawatan itu dikatakan sebagai “arahan” Daim kepada Dr. Mahathir kerana Mustapa memang “disediakan” untuk menjadi Menteri Kewangan.

Malangnya, dia kalah pilihan raya. Ramai lagi yang kalah, tetapi mereka tidak diarahkan oleh Daim kepada Dr. Mahathir supaya dilantik ke sebarang jawatan. Berbeza dengan Mustapa, dia kalah sekali pun, Daim mahukan dia berjawatan, maka Dr. Mahathir perlu memberikannya jawatan. Bahaya bagi Dr. Mahathir jika tidak patuh kepada arahan Daim.

Apabila sampai musim pemilihan Umno, Mustapa sekali lagi diberikan jawatan. Kali ini, selepas dia menang kerusi MT Umno, dia dilantik pula menjadi Ketua Penerangan. Jawatan itu sebelumnya disandang Dato’ Dr. Yusof Noor, bekas Menteri dan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang paling lembab pernah dilahirkan dalam politik negara ini. Yusof Noorlah salah seorang menteri pertama yang dilantik menjadi Exco selepas menjadi menteri kabinet. Seorang lagi, Napsiah Omar. Kedua-dua mereka memang lembab dan tidak berkeupayaan.

Tiada siapa yang mempertikaikan perlantikan Mustapa sebagai Ketua Penerangan. Ada yang berpendapat, Dr. Mahathir memang merasakan Mustapa layak memegang jawatan itu dan mampu memberi penerangan kepada ahli-ahli Umno khususnya di peringkat akar umbi, mengenai ekonomi Malaysia.

Sayangnya Dr. Mahathir pada Mustapa mungkin kerana “ketakutan” yang amat sangat beliau kepada Daim.

Tidak lama kemudian, Dr. Mahathir mengumumkan perlantikan Mustapa menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Jawatan ini sebelumnya disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Disebabkan Tengku Razaleigh disebut-sebut mampu mengancam kedudukan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, melalui Daim dan Mustapa, Dr. Mahathir terpaksa meminggirkan Tengku Razaleigh dari jawatan itu. Daim memang buat kerja untuk memastikan Abdullah “slow” Badawi selesa bagi memudahkannya “menunggang” belakang Abdullah “slow” Badawi yang lemah ini. Kedudukan Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan cukup “menakutkan” Daim dan Abdullah “slow” Badawi.

Dato’ Annuar Musa turut kecewa kerana dia sendiri dua kali terlepas peluang untuk menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan. Dulu, ketika Dr. Mahathir sendiri menjadi pengerusi, Annuar adalah timbalannya.

Sebaik sahaja Dr. Mahathir melepaskan jawatan itu, Annuar mengharapkan dia dilantik tetapi tidak terjadi. Sebaliknya, Dr. Mahathir melantik Tengku Razaleigh. Kini, selepas mengenepikan Tengku Razaleigh, Dr. Mahathir masih tidak menonjolkan Annuar, sebaliknya memberikan jawatan penting itu kepada Mustapa.

Kata orang Kelantan, “benci melata, sayang bertompok.” Dr. Mahathir tidak habis-habis bencikan Tengku Razaleigh. Dia juga mahukan Abdullah “slow” Badawi turut membenci Tengku Razaleigh kerana bimbang jika Tengku Razaleigh kuat dan boleh menang jawatan Timbalan Presiden, bermakna kedudukannya sebagai Presiden sudah sampai ke penghujung.

Hari ini, politik Malaysia dikuasai Dr. Mahathir dengan “arahan dan telunjuk” Daim. Mustapa adalah “pelakon” utama, di samping Abdullah yang menjadi “kuda” Daim. Tidak mustahil, Perlembagaan Malaysia dipinda untuk meletakkan semula Mustapa sebagai Menteri seterusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tujuannya, menyekat kemaraan Tengku Razaleigh.

Perkiraan Dr. Mahathir dan Daim ini sebenarnya tidak menjangkau kepada perkiraan rakyat Malaysia yang mahukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak sedar, Barisan Alternatif (BA) sudah bersedia melonjakkan sesiapa sahaja sama ada Anwar, Ustaz Fadzil Noor atau Dr. Syed Husin Ali.

Kuatkan saf dan teruskan perjuangan. Peluang para pemimpin BA melonjak menjadi Perdana Menteri tidak mustahil seperti mana Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang mampu menjadi Menteri Besar Kelantan dan Terengganu.

Biarkan Dr. Mahathir dan Daim berkira-kira kerana mereka mahu menghabiskan usia tua masing-masing dalam kekeliruan yang amat payah.

Nantinya, mereka boleh duduk sekamar “besi” berketua Dr. Mahathir dan pengikut setia, Daim, Aziz Shamsuddin dan Mustapa yang banyak “merubah tarikh” beberapa keputusan yang pernah dibuat oleh Daim ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum DS Anwar. Tarikh-tarikh itu diubah untuk “menyalahkan” DS Anwar kononnya melakukan sesuatu yang tidak Islamik seperti meluluskan lesen judi dan sebagainya.