Demonstrasi Petani di Kompleks Bernas, Raya Ketiga dan Wisma Negeri, Raya Keempat

Oleh Ahmad Lutfi Othman.

Gejolak reformasi yang dulunya berlegar di Lembah Klang, kemudian merebak ke Lunas, kini meluas ke kawasan Perdana Menteri sendiri, Kubang Pasu. Pesawah, yang sebahagiannya baru ditimpa musibah banjir baru-baru ini, sedang berdepan masalah lebih besar apabila kilang-kilang padi mengenakan potongan yang lebih tinggi ke atas padi-padi mereka. Dan bayaran tambahan bagi 100kg padi telahpun dipotong lebih dari separuh.

Lambakan padi yang tidak dapat dijual dengan baik ini dikatakan berpunca dari tindakan Bernas yang mengimport terlalu banyak beras dari luar sehingga mengakibatkan pesawah padi tempatan kerugian besar. Soalnya, bagaimana mungkin pihak pengurusan Bernas langsung tidak tahu menahu tentang kouta yang sepatutnya diimport. Bernas dari segi ini hanya memikirkan keuntungan pihak mereka semata-mata meskipun kepentingan pesawah terjejas teruk.

Justeru, pesawah padi di kawasan MADA sudah sepakat untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati mereka secara terbuka, biar semua pihak terbabit dapat mendengarnya. Agak malang apabila pesawah padi tidak mempunyai persatuan untuk menyalurkan segala keresahan dan masalah yang dihadapi mereka kepada pihak lebih atas.

Namun, kita tidak harus lupa keberanian petani Kedah apabila mereka dianiaya atau diabaikan. Bukankah Kedah pernah menyaksikan demonstrasi petani besar-besaran menuntut kenaikan harga padi dan subsidinya? Sebelum itu, pada 1974, Baling pernah digegarkan petani juga.

Dan jangan lupa, pesawah padi ini akan turun berdemonstrasi lagi pada hari Sabtu, raya ketiga, pada hari Jumaat, di depan Kompleks Bernas, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Dan esoknya, Sabtu, 30 Disember, petani-petani ini akan turun ke depan Wisma Negeri, Alor Setar, bagi menyuarakan tuntutan yang sama. Menurut seorang petani yang ditemui di Tunjang: "Kami pun nak reformasi sama, baru Mahathir dengar. Selama dia jadi wakil rakyat kami sejak 1974 lagi, apa yang Mahathir buat kepada petani dan pesawah seperti kami."

"Mahathir hanya ambil berat kroninya di KL. Kalau balik Kedah pun, dia hanya suka melawat Langkawi dan projek besar yang sama sekali tidak membabitkan petani. Apa dia ingat kami orang susah di kampung-kampung ini tak tahu menilai apa yang dibuatnya selama ini?" tambahnya lagi sambil marah-marah.

Menurut sumber-sumber di Arau, Perlis, Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim dikatakan mempunyai pengaruh dan kepentingan besar dalam Bernas. Meskipun beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan, tetapi kroninya difahamkan menguasai syarikat beras ini. Sesungguhnya pengurusan tertinggi Bernas wajar dirombak ekoran kegagalan mereka memperjuangkan nasib petani dan pesawah miskin.

HIDUPKAN REFORMASI PERTANIAN!




"DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI!
HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"