RASUAH: SIAPA BERANI TANGKAP MAHATHIR?

Komentar: TARMIZI MOHD JAM

 

Tidak ada media cetak ataupun elektronik di negara ini yang berani meletakkan diri Mahathir sebagai orang yang mesti disensasikan “perlakuan” buruknya terhadap sejarah politik tanahair. Harakah menyiarkan secara besar-besaran “perlakuan” buruk Mahathir itu dengan menjadikan tajuk utama berita.

Media arus perdana, Berita Harian, Utusan Malaysia, TV3, RTM, NTV7 dan lain-lain media dokongan kerajaan, cuba menggelapkan “perlakuan” buruk Mahathir itu dari diketahui oleh rakyat secara rasmi. Mereka tidak lagi ghairah memutar-belit atau memegakan “perlakuan” buruk yang sensasi itu kerana sudah diikat oleh tuan-tuan mereka.

Mahathir tentunya selamat dari dimalukan. Media pula tidak teragak-agak untuk membungkus apa sahaja  “perlakuan” buruk Mahathir itu dalam gebar selimut mereka. Harakah yang hanya menemui pembacanya setiap  dua kali sebulan, sudah dianggap tidak mengasak dan menyenak Mahathir.  Tidak banyak berita baru dan terkini, dapat dilontarkan kepada pembaca dalam keadaan “peristiwa” bergerak pantas dalam masa yang amat singkat.

Pendedahan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya Isnin lalu (12 Jun 2000) terhadap “perlakuan” buruk Mahathir amat mengejut dan menggemparkan negara. Mahathir kata Datuk Shafie, telah mengarahkan beliau menutup siasatan rasuah terhadap bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.

Mahathir telah memanggil Datuk Shafie ke Pejabat Perdana Menteri pada bulan Jun 1998 dan memarahi beliau kerana menggeledah Pejabat Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, JPM dan memperolehi wang tunai sebanyak RM100 ribu ringgit. Sejurus selepas itu, Mahathir mengarahkan sisatan terhadap kes itu ditutup.

Tindakan politik yang berani ini, didorong oleh rasa “sakit hati” Mahathir terhadap Timbalannya pada waktu itu, Anwar Ibrahim. Mahathir menuduh “kununnya” arahan untuk menyiasat Ali Abul Hassan itu dibuat oleh Anwar untuk memerangkap “orang-orangnya” (Mahathir).

Datuk Shafie menafikan, tindakan itu adalah atas arahan Anwar. Tetapi, katanya lagi, ia dibuat setelah mendapat beberapa aduan terhadap diri Ali Abul Hassan dan beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai badan yang mengawasi segala kegiatan jahat yang berupa rasuah. Datuk Shafie kesal dan amat kecewa (disillusioned) terhadap perbuatan keji Mahathir yang melanggar etika, membaham piagam kerajaan, menodai undang-undang dan meliwat amanah rakyat yang diputuskan di parlimen; dengan beliau melindungi secara terang-terangan pelakuan rasuah, yang amat ditentang oleh negara.

Lakonan Mahathir sekali lagi “terpancar” dibenak kepala kita. Pada hari Perhimpunan Agung Umno dulu, kini dan  selamanya, Mahathir dengan wajah yang lembut, waras, pemalu, hampir warak dan gigih dalam perjuangan, mengajak para perwakilan, ahli-ahli Umno dan rakyat negara ini, untuk menendang politik wang dan memasung rasuah. Katanya, rasuah adalah musuh negara sama macam dadah yang boleh merosakkan Umno, kerajaan dan rakyat.

Rupa-rupanya, lakonan dengan kesan bunyi itu, membungkus satu cerita berkenaan “rasuah elit” kalangan pemimpin tertinggi kerajaan. Ali Abul Hassan ibarat janggut dengan dagu bagi Mahathir. Antara Ali dan Mahathir sudah tentu mempunyai kaitan dan ikatan yang memiliki seribu kepentingan dalam jawatan masing-masing. Unit itu, bukanlah Unit Perancang Keluarga atau Unit Pusat Universiti, yang hanya bertindak menyelaras suatu urusan yang tidak mendatangkan “fulus”.

Unit Perancangan Ekonomi, JPM tentu sekali satu unit yang dikawalselia oleh Mahathir sendiri dalam mengagihkan segala projek pembangunan dan ekonomi negara. Kaitan ini amat penting dalam membangunkan projek-projek dibawah “pengswastaan” negara.

Mahathir seperti keterangan yang dibuat oleh Datuk Shafie  adalah “tertuduh” yang patut dihadapkan kemahkamah untuk diadili. Tuduhannya amat nyata, jelas dan terang bersabit penyalahgunaan kuasa, melindungi perasuah serta menghalang perjalanan proses keadilan.

Dan ini adalah kesalahan mengikut Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta Pencegahan rasuah 1997. Natijah dari sabitan yang cukup jelas inilah, maka media arus perdana yang sudah dikepung oleh tuan-tuannya menjadi “buta” mata dan “pekak” telinga mereka. Mata pena mereka tiba-tiba tumpul dan patah. Dakwah bertaburan. Kamera TV terlingkup dan pemacar radio,  tembuk dan tembus dari menerima gelombang.

Sudah jelas lagi bersuluh. Akhbar-akhbar dan media elektronik negara ini memejamkan mata dan menumpulkan pena apabila “perlakuan” sumbang ini datangnya dari jenama paus nombor wahid negara. Mahathir tidak boleh disentuh. Siapa berani “menyumbat” Mahathir dalam media cetak dan media elektronik arus perdana, maka “tungggang-langganglah” periuk nasi mereka dan tamatlah “rezeki” mereka.

Anwar Ibrahim dalam laporan polisnya di Balai Polis Jalan Stadium (No. 14752/2000) pada 13 Jun 2000 telah menggesa BPR dan pihak polis agar memulakan siasatan terhadap kes ini. Kes “perlakuan” buruk Mahathir terhadap kedaulatan undang-undang. BPR dan Polis adalah badan yang diamanahkan untuk memikul undang-undang dan melaksanakannya tanpa pilih pilih kasih barang sedikitpun.

Imej polis dan BPR akan menjadi lebih tercemar sekiranya mereka terus berlengah dan berlengah dalam membuat sebarang siasatan. Kedua badan ini, tidak ada pilihan lain, melainkan meneruskan siasatan kerana bukti dan keterangan sudah ada di depan mata. Jika, Mahathir telus dan tidak campur tangan dalam siasatan ini, nescaya, “perlakuan” buruk ini akan dapat ditamatkan dan pesalah akan menikmati hukuman.

Apakah ini akan berlaku? Dan mungkinkah Mahathir akan mencipa “Perkara Kesembilan Ajaib Di Dunia” dengan membenarkan siasatan itu dibuat terhadap Ali Abu Hassan dan dirinya sendiri. Tidak mungkin? Nahi, nahiiii, nahiiii

Polis dan BPR pada kali ini, pastinya akan membuktikan kepada rakyat betapa mereka akan bertindak secara matang dan professional dalam menghadapi sebarang kes. Kenyataan itu dibuat secara umum. Ini membawa makna, termasuklah kes yang jika dilakukann oleh seorang kepala negara, dalam negaranya.

Mahathir sudah terlalu kebal. Bukan sahaja tidak lut dek undang-undang malah tidak siapa berani “meratahnya” dalam Perhimpunan Agung Umno pada Mei lalu. Setelah imuniti Raja-Raja Melayu ditumpaskan, Mahathir memiliki kekebalan yang agak luar biasa. Peguam Negara dan badan kehakiman yang berada dibawah ketiaknya juga memberikan input yang ajaib bagi menyalut badannya yang sememang kebal itu. Apatah lagi, BPR dan Polis.

Penyerahan bidang kuasa kepada Pak Lah untuk menjaga Kementerian Dalam Negeri, tidak banyak membantu untuk mengembalikan imej polis dalam meyakinkan rakyat terhadap isu-isu yang menyabitkan ikan-ikan kelas jerung dan paus ini.

Mampukah Pak Lah menggunakan “kebijaksanaan” di KDN itu, untuk menyumbang sedikit kekuatan bagi membenarkan Mahathir disiasat dan diselongkar. Giliran Pak Lah, untuk membuktikan “ketelusannya” kepada rakyat, mungkin jauh panggang dari api. Inilah masanya, Pak Lah menunjukkan “jasa” dan “bakti” pada Mahathir. Siasatan tidak mungkin berlaku jika Pak Lah tidak setuju. Jika Pak Lah berminat untuk menunjukkan “ketelusan” itu, maka riwayat politiknya dan cita-cita meganya untuk menggantikan Mahathir bukan sahaja menemui jalan buntu, tetapi bantut dan mati meragan.

Kata Anwar Ibrahim,  sudah mnejadi rahsia umum bahawa laporan polis, keterangan, tuduhan bukti yang dikemukakan sebelum ini terhadap PM itu, Menteri-Menteri naungannya, akan diketepikan dan disudutkan disatu sudut. Tindakan keras dan tegas, dipasungkan kepada musuh-musuh politiknya.

Pendedahan berani Datuk Shafie Isnin lalu, mengukuhkan lagi hujah dan bukti betapa selama ini, kata Anwar, Mahathir adalah perasuah besar dan pelindung utama perasuah besar yang lain. Mahathir tidak malu mencemuh segala kegiatan rasuah tetapi dalam selimutnya penuh terpalit “tahi-tahi” rasuah yang busuk dan membusukkan.

Mampukah pula Peguam Negara meluncur ke depan Mahathir untuk mendapatkan keterangan? Keyakinan rakyat agak tipis untuk membolehkan Peguam Negara bertindak secara professional terhadap Mahathir, tuannya. Kedudukannya, tidak jauh berbeda dengan BPR dan pihak polis. Tersepit dan terjepit. Terkangkang dan dikangkang.

Mahu tidak mahu, boleh tidak boleh, pihak polis, BPR dan Peguam Negara harus berani mendepani isu ini. “Perlakuan” buruk Mahathir mesti ditamatkan segera melalui tindakan undang-undang negara. Mereka tidak boleh membiarkan diri mereka terus terperangkap dengan arahan perasuah dan membelakangkan hokum dan undang-undang.

Sesuatu perlu dilakukan segera bagi meyakinkan rakyat terhadap penyiasatan, kewibawaan dan imej pasukan penyiasat, pendakwa bahkan juga badan kehakiman negara yang sudah dicemar dan tercemar.