Tindakan ADUN Umno Beranang mudahkan lagi usaha BA menawan semua kerusi DUN dan Parlimen Hulu Langat

KAJANG: Penyokong-penyokong pembangkang di sekitar bandar Kajang menyifatkan peristiwa seorang pesara Jabatan Perdana Menteri, Jaafar Mohd Arif, yang diacu pistol oleh ADUN Beranang, Ahamad Kuris Mohd Nor, sebagai peristiwa biasa, yang menandakan kehancuran dalam Umno semakin dekat.

Kuris didakwa berbuat demikian selepas dihalang Jaafar daripada melalui kawasan tanah milik isterinya, di Kampung Bt 15, Bukit Kundang, Hulu Langat, 26 Februari lalu. Kuris bersama rombongannya dalam perjalanan ke rumah seorang penyokong kuatnya dalam siri kempen untuk mendapatkan pencalonan dari cawangan-cawangan Umno untuk menentang ketua bahagian Umno Hulu Langat, Dr Zainal Abidin Ahmad.

"Umno tidak dapat lagi menyembunyi barah besar dalam parti itu. Perselisihan dalaman parti sudah bertukar menjadi budaya samseng, yang pastinya akan membawa padah kepada Umno. Perbuatan ADUN Beranang itu adalah petanda jelas bahawa yang pemimpin Umno seolah-olah seorang gangster," kata seorang guru dari Bandar Baru Bangi, yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Saya tidak terperanjat dengan peristiwa main-main pistol dalam Umno. Bukankah sejarah Umno dipenuhi dengan adegan pembunuhan, seperti yang berlaku kepada Datuk Taha yang dibunuh Datuk Mokhtar Hashim," ujar Karim Muhamad, 45 tahun, seorang peniaga. "Tidak sah namanya Umno kalau tidak ada pergaduhan, samseng, tumbuk-menumbuk. Hanya kerana media Umno tidak menyiarkan bagaimana buruknya ahli-ahli Umno merebut jawatan dalam pemilihan bahagian April depan. Kalau suratkhabar bebas menyiarkan keburukan Umno itu, seperti yang dilakukan Ahamad Kuris, bungkus Umno dibuatnya pada 2004 nanti," tambahnya.

Sementara itu, beberapa pelajar universiti tempatan yang ditemui turut berkongsi pandangan yang sama: "Lagi ramai ADUN Umno macam Ahamad Kuris, lagi cepat Umno menemui ajalnya. Yang lebih penting, bagi kami, Umno tidak lagi relevan, khususnya untuk orang Umno. Pemimpinnya berfikiran kuno dan memikirkan kekerasan boleh menundukkan musuh-musuhnya."

Bagi seorang aktivis PAS setempat, pimpinan tertinggi Umno tentunya tidak akan membawa isu Ahamad Kuris ini ke peringkat lebih tinggi, manakala media Umno pula akan menyembunyikan adegan memalukan ini dari pengetahuan umum. "Imej Umno yang sedia buruk akan terus bertambah buruk. Budaya samseng dalam Umno sudah terserlah. Dan kita akan memberitahu rakyat supaya menolak pemimpin seumpama itu. Ahamad Kuris sebenarnya tidak layak menjadi ADUN, dan patut meletakkan jawatan jika terbukti beliau bersalah."

Rakannya turut mengulas: "Tindakan mengacukan pistol oleh ADUN Umno Beranang itu sebenarnya menyenangkan lagi kerja kami untuk merampas semua kerusi di Hulu Langat, sama ada kerusi DUN Beranang dan Dusun Tua, ataupun kerusi Parlimen Hulu Langat sendiri."

Kini, PAS menguasai kerusi DUN Kajang, dan berusaha keras untuk melengkapkan kemenangan ke atas dua lagi DUN, manakala keADILan lebih menumpukan tenaga untuk merebut kerusi Parlimen Hulu Langat.