Teks Perbahasan Belanjawan 2001,
Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh
Pada 8 November 2000

Ucapan mengenai belanjawan atas kesihatan dan
kepahitan masyarakat orang asal Sarawak dan kaum India

Rancangan Kesihatan Untuk Rakyat
--------------------------------

Dalam Belanjawan 2001, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.76 bilion untuk pembinaan beberapa hospital dan 452 klinik yang baru. Persoalan kita sekarang ialah apakah rakyat kita memerlukan hospital yang baru? Hospital Selayang yang digelar sebagai hospital IT yang paling moden di Asia Tenggara hanya digunakan sebanyak 50% sahaja selepas ia dibuka sebanyak satu tahun. Pada masa yang sama, satu hospital baru, iaitu Pandan Hospital juga akan dibina dalam dua tahun yang akan datang. Sebab utama kesemua hospital ini tidak digunakan dengan sepenuhnya adalah kerana kekurangan kakitangan perubatan di hospital-hospital tersebut. Pakar perubatan ini meninggalkan hospital samada disebabkan gaji yang rendah, kerja yang berat ataupun keadaan kerja yang kurang memuaskan.

Selain daripada faktor tersebut, peruntukan elaun kepada para kakitangan perubatan dalam Belanjawan 2001 sebenarnya adalah tidak mencukupi dan jauh berbeza daripada pendapatan pakar kakitangan perubatan di hospital swasta. Salah satu sebab kerajaan tidak memperuntukkan lebih wang dalam aspek ini mungkin kerana peruntukan tersebut tidak akan mendatangkan manfaat kepada
kroni-kroni pemimpin BN, yang mana telah berbaris panjang untuk menunggu kontrak pembinaan hospital kerajaan. Walhal pembiayaan untuk peningkatan upah kakitangan perubatan kerajaan tidak mendatangkan manfaat kepada kroni-kroni tersebut.

Banyak pihak merasa hairan bahawa kerajaan memberi peruntukan untuk melengkap semua hospital dengan sistem maklumat Total Hospital Information System ataupun THIS. Sistem tersebut telahpun diadakan di Hospital Selayang, tetapi THIS tidak menunjukkan keupayaan untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanaan dari segi mengubati ataupun penjagaan pesakit. Di samping itu, sistem tersebut juga tidak mendatangkan kebaikan kepada kakitangan perubatan ataupun meringankan kesakitan pesakit berkenaan. Sekiranya kita mengambil contoh di Hospital Selayang, sistem tersebut tidak tidak menyelesaikan masalah baris menunggu yang panjang oleh pesakit "outpatients" dan farmasi di hospital tersebut.

Sistem tersebut memerlukan pakar IT untuk menjalankan "maintenance"nya yang mana juga memakan kos perbelanjaan yang banyak. Kami ingin tahu, adakah sebab kerajaan untuk mengadakan THIS di semua hospital adalah demi memberi naungan dan manfaat kepada segelintir kroni kerajaan? Alangkah baiknya sekiranya kerajaan menghapuskan peruntukan untuk THIS kerana ia tidak bermanfaat kepada kakitangan dan pesakit langsung.

Tuan Yang diPertua, saya ingin mengambil kesempatan  untuk membangkitkan suatu kes yang memalukan yang berlaku di Hospital Selayang, iaitu kematian seorang pesakit India, Raja Simmasalam pada 13 Julai 2000 selepas menjalani lima pembedahan apendisitis di Hospital Selayang.

Raja Simmasalam menjalani pembedahan apendisitis yang makan masa enam jam di Hospital Selayang pada 8 Mei 2000, pada keesokan harinya, beliau diberitahu oleh doktor bahawa ususnya sudah dipotong semasa pembedahan. Kecuaian doktor ini menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital dan dibedah sebanyak empat kali lagi kerana kesakitan yang tidak tertahan.

Apa yang sedih adalah, apabila Menteri Kesihatan melawat Hopsital Selayang pada 8 Julai 2000, si-mangsa dimandikan secara terburu-buru oleh jururawat sebanyak tiga kali sehingga air sabun pun dialir masuk ke dalam tubuh badannya melalui luka di bahagian dada yang telah dijalani pembedahan. Selain itu, banyak kain pembalut dan kapas juga dimasukkan ke dalam bahagian
apendisitis di badannya demi menghentikan pengaliran darah dan najis daripada bahagian luka itu. Malangnya kesemua persediaan ini sia-sia sahaja kerana YB Menteri tidak menziarahinya, tetapi memberitahu media bahawa Raja Simmalam dijaga dengan baik oleh pakar doktor dan badannya sedang berpulih.

Sikap pihak hospital dan Menteri Kesihatan enggan membalas surat aduan daripada keluarga si-mangsa dan membisu terhadap kematiannya adalah amat tidak bertanggungjawab.

Memandangkan Hospital Selayang yang makan perbelanjaan sebanyak RM540 juta ini merupakan satu-satunya hospital IT di Asia Tenggara, Dewan yang mulia ini harus membahaskan perkara ini dan diberitahu kenapakah hospital elektronik penuh yang pertama di Malaysia ini gagal untuk menangani pembedahan apendisitis yang biasa?  Apakah ini menunjukkan kejatuhan taraf
perubatan dan kemahiran doktor di negara kita? Kerajaan haruslah menubuhkan suatu jawatankuasa khas untuk menyiasat kes kematian tersebut dan mengumumkan laporan perubatannya kepada orang ramai. Di samping memikul tanggungjawab penuh ke atas kematiannya dengan memberi pampasan yang adil dan saksama kepada keluarganya.

Pengorbanan Raja Simmasalam ini menunjukkan peruntukan yang banyak diberi untuk pembinaan hospital baru ataupun sistem maklumat adalah tidak cukup. Apa yang amat diperlukan sekarang adalah pakar perubatan yang unggul di hospital- hospital kerajaan. Kerajaan haruslah memberi lebih peruntukan dan insentif untuk mengekalkan para kakitangan perubatan yang berbakat di hospital kerajaan demi memberi perubatan yang baik kepada para pesakit, terutama golongan yang miskin.

Skima Insuran
-------------

Dalam Rancangan Malaysia Kelima daripada 1986 ke 1990, suatu dana keselamatan kesihatan kebangsaan telahpun dicadangkan. Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima, kerajaan menyatakan akan menjalankan suatu kajian feasibility dalam perkara tersebut. Akhirnya, dalam Rancangan Malaysia Ketujuh, kerajaan mengumumkan perlaksanaan Skima Pembiayaan
Kesihatan Kebangsaan. Memandangkan Rancangan Malaysia Kelapan akan dijalankan dalam tempoh dua bulan, tetapi semuarakyat Malaysia masih menunggu-nunggu kajian ataupun rancangan berkenaan dengan insuran kesihatan kebangsaan, khususnya Dana Keselamatan Kesihatan Kebangsaan (National Health Security Fund), yang seiring dengan operasi yang berjenis SOCSO. Rakyat perlu tahu macam manakah rancangan tentang penubuhan dana tersebut? Adakah ia akan dijalankan seperti apa yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ketujuh? Sekiranya terdapatnya dana tersebut, apakah maklumat perincinya? Macam manakah tentang pengiraan premium?  Adakah skim ini berdasarkan cukai ataupun upah? Adakah ia dikira mengikut kadar progresif, iaitu mereka yang berpendapatan tinggi membayar peratusan yang lebih tinggi daripada golongan yang berpendapatan rendah. Adakah semua warganegara dan penduduk diliputi tanpa kira umur, bekerja ataupun tidak bekerja dan kelas sosial? Adakah sumbangan supplementary daripada pencukaian progresif untuk meliputi golongan yang tidak mampu membayar premium? Apakah perkhidmatan yang akan diliputi oleh skima kesihatan tersebut? Dan apa yang penting sekali adalah siapakah yang akan menentukan struktur dan kadar Dana Keselamatan Kesihatan Kebangsaan tersebut? Adakah ia akan dilaksanakan sebagai suatu institusi bukan demi keuntungan dengan penyertaan tokoh-tokoh yang berkesan dan mempunyai kredibiliti?

Kami menyeru kerajaan untuk mendedahkan skima pembiayaan penjagaan kesihatan kebangsaan dan memberi masa dan peluang kepada orang awam untuk memberi maklumbalas sebelum ia diinstitusikan. Ini adalah penting memandangkan kerajaan tidak memberi peruntukan yang memuaskan kepada bidang perubatan, insuran kesihatan demi keuntungan dan pertubuhan pengurusan kesihatan telahpun bergerak dengan rancaknya dalam kebelakangan ini. Misalnya, CEUPACS mengumumkan suatu skima yang direka untuk bekerjasama dengan insuran swasta untuk ahli-ahlinya, yang bermaksud CEUPACS kehilangan keyakinan terhadap
perkhidmatan kesihatan kerajan. Manakalan KWSP juga telah mengumumkan lima juta ahli aktifnya boleh menggunakan sebahagian daripada simpanan mereka untuk skima insuran kesihatan swasta yang berdasarkan risiko, ia juga telah mengadakan perkongsian dengan Life Insurers Association of Malaysia (LIAM). Pengumuman tersebut menunjukkan kerajaan BN telah menjalankan satu dasar de facto dalam isu pembiayaan kesihatan kebangsaan yang bergantung pada insuran kesihatan yang berdasarkan keuntungan, bersama dengan dana kebajikan perubatan dan dana amanah untuk pesakit yang miskin.

Kita semua tahu tentang masalah insuran kesihatan yang berdasarkan risiko, iaitu orang yang amat memerlukan penjagaan kesihatan dinafikan perlindungan. Misalnya, dalam sesetengah kes, pesakit yang mempunyai risiko yang tinggi, iaitu mereka yang lebih tua dan mempunyai sejarah perubatan keluarga mengenai sesetengah penyakit yang kronik akan dinafikan langsung. Misalnya, dalam skima LIAM-KWSP, seseorang yang berumur 35 tahun hanya membayar RM347 setahun sebagai premium untuk jumlah perlindungan RM100,000 untuk 35 penyakit kritikal, tetapi premium tersebut akan naik secara progresif sehingga mengikut umur seseorang, apabila seseorang mencapai umur 65-70 tahun, dia akan membayar premium tahunan sebanyak RM20, 034 setahun.

Pengalaman di luar negeri menunjukkan sistem insuran kesihatan yang didominasi oleh syarikat swasta akan mengakibatkan peningkatan kos dan premium. Pada akhirnya, sebahagian besar daripada populasi di negara kita pun akan menjadi tidak diliputi oleh insuran dan tidak dapat menikmati penjagaan kesihatan, manakala kerajaan akan terpaksa mengeluarkan wang yang
banyak untuk menginsurkan golongan yang tua dan "indigent".

Kami ingin menyeru kerajaan menghentikan kelulusan kesemua insuran kesihatan yang berdasarkan risiko swasta, termasuk mereka yang telahpun dilancarkan, sehingga skima pembiayaan kesihatan kebangsaan diadakan.  Kami juga membantah penglibatan insuran yang bertujuan untuk mengaut keuntungan komersial dalam skima pembiayaan kesihatan kebangsaan. Kerajaan harus faham bahawa masalah kesihatan rakyat tidak harus bersandarkan pada penswastaan sektor kesihatan awam secara berterus-terus, daripada peruntukan,pembiayaan dan malah penggubalan peraturan dan undang-undang. Kerajaan tidak harus mencuci tangan daripada tanggungjawabnya sebagai pemberi perkhidmatan kesihatan. Sebaliknya, ia haruslah berusaha untuk memulihkan sektor awam kesihatan dengan penyuntikan personnel, sumber dan keinginan untuk meningkatkan morale dan motivasi supaya penjagaan kesihatan akan terus dinikmati atas asas keperluan. Sektor awam yang berkesan dan viable adalah
penting sebagai benchmark untuk kualiti dan ia harus dijadikan sebagai penyemak harga yang kompetitif terhadap sektor swasta yang yang menekankan harga yang terlampau tinggi.

Saya menyokong cadangan Ahli Berhormat Parit Puntar untuk menubuhkan Majlis Kesihatan Kebangsaan yang bertindak sebagai pengantara di antara rakyat dan kerajaan. Majlis tersebut haruslah diwakili oleh perwakilan rakyat yang berpengaruh dan berkelayakan, supaya mereka boleh memberi nasihat tentanga prioritiy kesihatan kebangsaan, standard dan peruntukan dan perbelanjaan, criteria untuk peruntukan sumber, insentif untuk sektor swasta bukan demi keuntungan, penjadualan yuran untuk sektor swasta dan public dan kajian semula tentang perkhidmatan kesihatan yang telah diswastakan dan dikorporatisasikan.

Penganiayaan Terhadap Orang Asal Sarawak
----------------------------------------

Dalam Belanjawan 2001 ini, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk pelbagai program untuk masyarakat Orang Asli, selain itu, kerajaan juga menekankan tentang kepentingan untuk menjaga alam sekitar dalam Belanjawan ini. Walau bagaimanapun, saya merasa kesal kerana kerajaan tidak memberi peruntukan dan menyentuh tentang kebajikan dan hak kehidupan Orang Asal di Sarawak. Pada akhir bulan Oktober tahun ini, suatu rombongan Orang Asal Sarawak datang ke Semenanjung Malaysia untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara mengenai masalah keganasan Pasukan Polis Hutan dan juga
masalah yang dihadapi oleh mereka, tetapi kesalnya  kedua-dua mereka enggan bertemu dengan rombongan Orang Asal Sarawak yang datang dari jauh ini, dan mereka hanya sempat bertemu dengan pemimpin Barisan Alternatif dan juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Masalah yang dihadapi oleh mereka ialah masalah berkaitan dengan hak tanah, iaitu hak ke atas tanah adat asal (NCR) dan hak-hak sebagai warganegara seperti pemilikan kad pengenalan, pendidikan, kesihatan, kemudah-kemudahan asas seperti air paip dan perumahan. Syarikat balak dan pemaju tanah samada pihak kerajaan mahupun swasta sentiasa menimbulkan masalah bagi mereka melalui pencerobohan hak NCR tanah dan hutan mereka. Di samping itu, kerajaan telah membuat pindaan terbaru ke atas Kanun Tanah yang bercanggah dengan hak NCR Orang Asal Sarawak.  Akibatnya, hak NCR ke atas tanah dan hutan Orang Asal semakin merosot dan tidak mendapat pengesahan daripada kerajaan pusat dan negeri. Kehidupan mereka semakin terjejas dan keselamatan mereka terancam oleh keganasan dan kekerasan daripada syarikat balak dan perladangan serta Pasukan Polis Hutan.

Saya ingin menarik perhatian di Dewan yang mulia ini terhadap kes-kes pencerobohan hak NCR Orang Asal di Sarawak yang berlaku di Ulu Baram, Ulu Niah dan Bakong di Miri, dan juga kawasan yang terjejas oleh Borneo Pulp dan Paper Mill. Tanah Orang Asal ini dirampas oleh syarikat-syarikat besar untuk tujuan pembalakan ataupun penanaman kelapa sawit.  Rayuan perwakilan Orang Asal Sarawak adalah seperti berikut:

i) Semua lesen syarikat yang beroperasi di kawasan tanah NCR ditarik balik dengan segera supaya mereka tidak lagi beroperasi dalam kawasan tanah NCR mereka;
ii) Hak-hak dan kebebasan mereka untuk bersuara, memilih, pendidikan dan kesihatan diiktirafkan oleh kerajaan;
iii) Memberi pengesahan dan jaminan kepada hak tanah NCR dengan pindaan kepada seksyen 5 Kanun Tanah Sarawak 1958, iaitu:

· memberi pengiktirafan kepada hak NCR Orang Asal mengikut adat asal mereka sejak turun temurun;
· memberi pengiktirafan dan jaminan pemilikan dan/atau hak penggunaan tanah Orang Asal mengikut adat asal; dan
· hak tanah NCR Orang Asal tidak boleh dihapuskan tanpa kebenaran atau persetujuan secara sukarela pemilik atau pengguna tanah itu.

iv) Memansuhkan seksyen 90(B) Ordinan Hutan 1953 (pindaan 1993) yang digunakan oleh pihak Polis untuk menangkap dan menakut-nakutkan Orang Asal;
v) Membuat siasatan terperinci tentang masalah-masalah Orang Asal, contohnya kesalahan dan tuduhan erhadap seseorang anggota PPH yang merogol seorang budak perempuan di Ulu Baram pada tahun 1993 dan kes 19 orang daripada Ulu Niah yang dituduh membunuh; dan
vi) Menyiasat dan memberhentikan dengan segera kes-kes di mana syarikat mengupah samseng untuk mengugut dan mengancam nyawa dan keselamatan orang kampong.

Banyak masyarakat negara maju di dunia ini telah semakin giat melancarkan pergerakan untuk mempertahankan hak dan kebajikan Orang Asli dan Orang Asal masing-masing. Kerajaan Persekutuan tidak harus berpeluk tubuh terhadap masalah yang dihadapi oleh Orang Asal Sarawak. Tuntutan Orang Asal Sarawak terhadap tanah, air yang bersih, tanah adat, budaya, bahasa dan tuntutan yang lain haruslah dihormati dan dibela oleh kerajaan. Mereka haruslah dilihat sebagai warisan dan kebanggaan kepada masyarakat dan negara kita.

Masalah Pendidikan dan Kebajikan Orang India
--------------------------------------------

Selain daripada Orang Asal Sarawak, Belanjawan 2001 juga tidak menyentuh tentang mengadakan peruntukan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan sesetengah masyarakat India yang tersisih daripada arus pembangunan dan juga masalah pendidikan mereka. Mengikut statistik, terdapatnya 520 sekolah Tamil di Malaysia di mana 200 mungkin akan ditutup. Kebanyakan sekolah Tamil tersebut adalah kekurangan perlengkapan yang asas dan dalam keadaan yang teruk, seperti tiada perpustakaan yang sesuai, di samping kerusi dan meja yang rosak. Selain itu, kualiti guru di sekolah Tamil tersebut juga adalah kurang memuaskan. Keadaan ini menyebabkan ramai pelajar India mempunyai keyakinan diri yang rendah. Para pelajar ini juga kurang sihat kerana kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang miskin. Adalah sedih di mana masyarakat kaum India tidak diambil berat oleh kerajaan dalam rancangan pembangunan kerajaan.  Saya ingin menyeru kerajaan supaya untuk mengadakan suatu perbekalan baru untuk tujuan:

· Memberi sokongan penuh kepada semua sekolah Tamil dan memperbaiki taraf infrastruktur dan sistem sokongan sekolah-sekolah tersebut, seperti mengadakan perpustakaan, perlengkapan audio-visual, komputer dan sebagainya;
· Membekalkan guru-guru yang berkelayakan ke sekolah-sekolah Tamil tersebut dengan gaji yang lumayan;
· Memberi elaun kepada pelajar yang papa miskin untuk mendapat makanan yang berkualiti dan barang keperluan, seperti baju seragam sekolah, kasut dan sebagainya untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Dasar Luar Terhadap Burma
-------------------------

Sidang International Parliamentary Union (IPU) yang ke-104 yang diadakan di Jakarta meluluskan usul untuk mengutuk 16 negara atas layanan mereka terhadap parti pembangkang, yang mana termasuk Malaysia dan Burma.

Saya ingin menyeru kerajaan BN supaya mengkaji semula dasarnya terhadap Burma. Tibalah masanya bagi kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan yang lebh gigih untuk menggalakkan dan malah menganjurkan dialog tiga parti di Burma dan membuka "deadlock" di negara itu. Kerajaan tidak boleh selalu menggunakan alasan "Constructive Engagement" untuk mengelakkan isu yang penting di rantau ASEAN ini, tetapi sebaliknya, sekiranya kita ingin mendapat pengiktirafan dan pujian daripada masyarakat antarabangsa dari segi isu kemanusiaan, maka kita harus juga menunjukkan sikap yang sama terhadap berpuluh-puluh juta rakyat di rantau ini, khususnya Burma.
 

-  Teresa Kok  -