Bersediakah Umno Dibedah Siasat Secara Kritikal dan Mendalam?

 

Muqaddimah: Kekalahan Umno di Terengganu mengejutkan. Kelantan pula terus terlepas ke tangan PAS sekalipun Ku Li mengetuai pasukan menawannya semula. Ahli dan penyokong Umno berpaling tadah. Apakah signal dari musibah ini? Di pihak Mahathir, bersediakah untuk mengkoreksi dari dalam diri Umno akan kepincangan yang meloyakan ini. Alternatifnya, satu post mortem terperinci perlu dilakukan segera untuk merawati “penyakit” sebenar Umno hari ini. Soalnya, sangggupkan Umno dibedah siasat secara kritikal dan mendalam? Renungi tangggapan JOSELINE TAN, yang pernah dipampangkan kepada umum melalui New Starits Times, 5 Disember 1999 kira-kira seminggu selepas keputusan pilihanraya ke-10 diumumkan.

 

 

 

Isnin bersamaan 29 November 1999. Waktu Maghrib baru sahaja selesai. Kuala Terengganu mula diselubungi kegelapan. Kira-kira 20 orang wakil rakyat BN berkumpul di banglo Menteri Besar, Wan Mokhtar Ahmad bagi menunggu keputusan pilihanraya yang baru sahaja selesai pada hari itu.

Televisyen besar di ruang tamu kediaman Menteri Besar itu dibuka dengan siaran RTM 1 dan kelihatan Wan Mokhtar tenang menunggu keputusan pilihanraya di televisyen dan juga dari wakil BN di pusat-pusat pengiraan.

Wan Mokhtar pada petang itu memakai baju kemeja T berkolar. Dia tidak menyangka bahawa itulah petang terakhir menjadi Menteri Besar Terengganu setelah berkuasa selama 25 tahun.

Kelihatan mereka yang berkumpul di rumah itu agak ceria, berikutan kempen yang berjalan sebelumnya memihak kepada BN, dan kedatangan pengundi ke pondok panas BN memang mengatasi pondok panas PAS. Beberapa wakil rakyat berkata, mereka menjangkakan beberapa wakil rakyat PAS akan mengalami pengurangan majoriti.

Kira-kira pukul 7.45 malam, telefon bimbit bekas Adun Kijal, Ahmad Said berbunyi dan menerima pangggilan daripada wakilnya di pusat pengiraan undi. Dia diberitahu bahawa pengiraan masih belum selesai dan dia masih mendahului lawannya dengan undi yang kecil. Ahmad Said kelihatan lapang dada dengan laporan itu.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbit Ahmad Said berbunyi lagi dan dia diberitahu, pengiraan undi sudah memihak kepada pembangkang. Keadaan di rumah itu mula tegang apabila Ahmad Said menutup telefon bimbitnya, dan bersuara “saya sudah tewas”.

Keputusan rasmi kekalahan Ahmad Said itu disiarkan melalui televisyen selepas jam 8:00 malam. Ahmad Said dalam keadaan mata yang merah, berada di luar rumah Wan Mokhtar menenangkan penyokongnya yang datang untuk mendapatkan pengesahan. Manakala Wan Mokhtar sibuk membuat dan menyambut panggilan telefon di antara ruang tamu dengan bilik bacaan. Keadaan dalam rumah itu kelihatan agak kelam-kabut.

Akhirnya, kira-kira jam 9:30 malam, setelah mengetahui dia kalah di Cukai, Menteri Besar yang berusia 67 tahun itu berkata, “kita kalah banyak, macam kena sihir.” Jelas kelihatan raut kekecewaan di wajah mereka yang berada di rumah itu, kerana BN Terengganu sudahpun kehilangan sebuah negeri.

Tidak lama selepas itu, terdengar pula berita Ketua Penerangan Umno, Dr. Yusof Noor tewas di Besut. Mereka yang berada di rumah itu mula kelu.

Kekalahan BN di Kelantan dan Terengganu mengejutkan banyak pihak dalam BN. Bukan sahaja bilangan wakil rakyat Umno ramai yang tewas tetapi majoriti undi juga di luar jangkaan terutama di Kelantan.

“Umno perlu merenung diri dengan keputusan pilihanraya kali ini,” kata Naib Presidennya, Najib Tun Razak sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum ke-10 selesai diumumkan. Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, menang tipis dengan kelebihan 241 undi kepada calon PAS, Ramli Mohamed.

PAS merampas 28 daripada 32 kerusi di Terengganu dan 41 daripada 43 kerusi di Kelantan. Selain itu, ia juga bertapak di beberapa buah negari dan berjaya mengurangkan majoriti BN di setiap kawasan.

Berdasarkan kepada pencapaian pilihanraya biasa, kejayaan BN memenangi 148 kerusi dan berhadapan dengan 45 kerusi pembangkang di Parlimen boleh ditafsirkan sebagai kemenangan selesa. Pada pilihanraya 1995, BN melalui pilihanraya dengan keadaan yakin, kerana undi Melayu masih belum teruk berpecah berbanding pilihanraya tahun 1999.

Jika hendak dibuat perbandingan, pilihanraya tahun ini hampir mempunyai kesamaan dengan pilihanraya tahun 1990, yang menyaksikan perpecahan politik Melayu dengan penubuhan parti Semangat 46. Dalam pilihanraya tahun 1990, pembangkang menguasai 53 kerusi Parlimen berbanding BN, 127 kerusi.

Namun pengundi Melayu sebelum ini, yang rata-rata menyokong Umno benar-benar berubah angin. Dengan menjadikan sokongan padu pengundi Melayu dalam pilihanraya sebelumnya sebagai petunjuk, menjadikan Umno bersikap yakin dengan pilihanraya yang baru lalu. Namun  keyakinan itu ternyata meleset.

“Banyak perkara dalaman yang perlu dianalisis selepas ini, tetapi ia perlu dilakukan dengan rasional dan menjauhi unsur-unsur kekecewaan atau emosional,” kata Najib.

“Yang penting kita mesti bermula dengan menghormati keputusan rakyat sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini,” tambahnya.

Prestasi Umno dalam pilihanraya umum lalu menjadi bahan perbincangan di merata tempat, dari warung kopi sehinggalah ke lobi-lobi hotel. “Saya tidak boleh berhenti memikirkan mengenainya biarpun sewaktu saya tidur,” kata seorang Ketua Umno Bahagian.

Setiap anggota Umno mempunyai pandangan dan analisis tersendiri terhadap prestasi parti itu dalam pilihanraya yang baru lalu, dan seperti biasa keadaan menyalahkan orang lain, apabila sesuatu kegagalan berlaku, turut kedengaran kali ini.

Menurut Hassan Harun, tokoh korporat dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dari Kelantan, Umno gagal mengesan perubahan pemikiran yang berlaku ke atas orang Melayu, terutama di kalangan genarasi muda Melayu yang berumur di bawah 40 tahun.

“Kita masih mengandaikan pemikiran Melayu sama seperti dulu,” katanya, biarpun pendidikan yang diterima telah meluaskan ruang lingkup pemikiran mereka, dan tidak lagi berfikiran seperti genarasi ibu bapa dan datuk nenek mereka sebelumnya.

Akibatnya kempen-kempen Umno masih terbawa-bawa dengan corak kempen sebelumnya yang mengandaikan pengundi Melayu tidak akan berani beralih angin.  “Iklan dan kempen keterlaluan dalam televisyen dan surat khabar dikatakan sukar diterima oleh genarasi baru,” tambah Hassan.

Maksud beliau, iklan memburuk-burukkan Presiden Keadilan, Dr. Wan Azizah Ismail di televisyen sukar diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini. Lebih daripada itu,  media arus perdana dikatakan tidak mendapat maklumat atau memahami isu sebenarnya pergolakan yang berlaku, dan kerana itu mereka gagal menjelaskan mesej BN.

“Ramai penonton menutup tv atau mengalihkan ke rancangan lain pada setiap kali kempen pilihanraya disiarkan,” kata Hassan lagi.

Sebelum ini, selepas menerima kekalahan ditangan pembangkang, ramai ahli politik Umno berkata bahawa kekalahan mereka bukan kerana PAS sebuah parti yang kuat, tetapi kerana Umno sudah menjadi lemah. Namun selepas pilihanraya baru-baru ini, PAS membuktikan bahawa mereka menjadi semakin kuat. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Syed Hamid Albar berkata, PAS kini setanding dengan Umno dan BN.

“Mereka sebenarnya meniru teknik kita (Umno)… pergi dari rumah ke rumah dan mendekati pengundi wanita,” kata Syed Hamid. Menurut beliau, PAS juga mempunyai pekerja yang komited dan kedudukan  kewangan yang baik.

Lebih daripada itu, kesatuan pemikiran ahli mereka berkaitan isu Islam dan keupayaan  menguasai masjid serta surau menjadikan PAS lebih mudah memenangi hati orang Melayu. Kelemahan PAS setakat ini, mereka masih belum berjaya mendekati pengundi Cina secara keseluruhan.

Di pihak Umno, nampaknya mereka mula sedar bahawa mereka gagal menguasai dan menjuarai isu sebelum pilihanraya dulu. Tidak seperti pembangkang yang berjaya mengutarakan secara jelas kepada rakyat persoalan tuntutan keadilan, ketelusan pentadbiran, pemulihan demokrasi dan isu pemecatan serta perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Isu-isu berkenaan berjaya merubah pemikiran sebahagian besar orang Melayu seperti kakitangan kerajaan (terutama guru), golongan pertengahan Melayu, golongan profesional, pemuda, pelajar dan penduduk kampung.

Menurut Hassan Harun, bandar Kota Bharu penuh sesak untuk dua malam berturut-turut sebelum hari pengundian, dengan anak-anak muda bermotorsikal mengibarkan bendera PAS. Mereka berarak sepanjang malam.

Memang banyak faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi Umno dalam pilihanraya kali ini,  tetapi yang lebih penting, Umno perlu menyelesaikan beberapa masalah dalamannya terlebih dahulu.

“Saya rasa kita perlu merenung diri selepas ini dan bertanya apa yang sebenarnya berlaku dalam Umno. Kita tidak boleh semata-mata menyalahkan faktor-faktor luaran,” kata Syed Hamid.

Sebagaimana pendapat Najib, bahawa Umno perlu mempersoalkan dirinya dengan satu soalan yang agak keras, bahawa apakah parti itu terlalu sibuk menyelesaikan masalah politik dalaman sehingga mengabaikan usaha-usaha mendekati rakyat secara yang lebih meyakinkan?

Apakah pemimpin terlalu sibuk melayan ahli parti daripada melayan pengundi? Dan apakah pemilihan calon yang bertanding memerlukan penilaian semula? Apakah perlu ditubuhkan satu badan khas memantau prestasi wakil rakyat? Apakah terdapat kelemahan dalam sistem  melaporkan maklumat daripada petugas bawahan parti ke pihak pimpinan? Bagaimana untuk menarik golongan muda, cerdik pandai dan penyokong tradisi yang telah lari supaya kembali kepada Umno?

Umno masih mempunyai kelebihan untuk memperbaiki keadaan kerana perbincangan dalaman parti setakat ini masih berlangsung secara terbuka.

Mungkin selepas berehat daripada menghadapi pilihanraya, Umno dan parti-parti komponen BN yang lain, akan melakukan bedah siasat dengan segera terhadap prestasi parti mereka.

Setiausaha Agung Umno, Khalil Yaakob mengesahkan bahawa dia sedang menyiapkan sebuah kertas kerja untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

“Bersabarlah dulu,” kata bekas Menteri Besar Pahang itu yang agak gelisah kerana negerinya kehilangan lapan kerusi kepada pembangkang dalam pilihanraya lalu. Enam daripadanya ditawan oleh PAS. Pada pilihanraya 1995, pembangkang hanya menang satu kerusi di Pahang iaitu DAP di Triang. Kini PAS telahpun menyatakan hasrat mereka untuk menawan Pahang pada pilihanraya akan datang, selepas menawan Kelantan dan Terengganu.

Perhimpunan Agung Umno Tahun 2000 (Mei ini), diharap akan menjadi sebuah forum yang menyeluruh, selepas Umno Negeri dan Bahagian membincangkan masalah dan melakukan bedah siasat masing-masing.

“Wakil-wakil yang berucap mesti dibenar menyatakan pandangan mereka secara terbuka dan kritikal,” kata Syed Hamid.

Bagaimanapun menurut tokoh korporat Hassan Harun, Umno mesti menjalankan penyelidikan untuk mengetahui bentuk perubahan pemikiran orang Melayu dan bagaimana Umno boleh menarik minat golongan muda menyertai parti itu.

“Umno telah menjalankan kajian seumpama itu sebelum ini… iaitu pada tahun 1969 dan kemudian 1990, dan akhirnya parti itu kekal relevan di jiwa orang Melayu,” katanya.

Namun, tugas melakukan bedah-siasat bukanlah mudah dan mungkin sensitif kepada sesetengah pihak dan individu dalam parti. Adakah Umno bersedia dengan analisis yang sebegitu kritikal dan mendalam?

Dan yang lebih penting apakah parti itu sanggup menelan “pahit” sebagai ubat kepada prestasi mereka di masa akan datang? Namun seperti kata salah seorang pemimpin Pemuda Umno, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, “Umno tiada pilihan lain, melainkan terpaksa melakukannya juga.”

 

IKLAN TERBARU: Dapatkan sekarang dipasaran ISU: Mengapa Takut Haji Hadi? Pada harga RM3.50 senaskah. Eksklusif dari Editor Tarmizi Mohd Jam. Hubungi emeil isu_malaysia@hotmail.com  bagi mendapatkan keterangan lanjut dan buat pesanan. Pengedar dikehendaki segera! Sila lihat promosi pada hampir semua laman web 1, 2 & 3 Ogos 2000 atau kunjungi Laman Jebat 2020.