Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan [1]

"Jangan takut". Itulah kata-kata yang selalu disebut oleh suami saya kepada saya dan anak-anak. Malah itulah antara pesanan terakhir suami saya kepada kami sebelum polis membawanya pergi pada petang 10 April lalu. Kami iringi pemergiannya sebagai seorang pejuang dengan laungan 'RE FOR MA SI!!!' sehingga kereta putih yang membawanya hilang dari pandangan mata kami.

Hari ini dan setiap hari yang berlalu, kami dapat rasakan kekuatan dan keberanian untuk terus berjuang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.Sudah berminggu-minggu suami saya sibuk menguruskan persiapan untuk menyediakan Memorandum Rakyat dan juga hari penyerahannya kepada SUHAKAM. Kami sekeluarga sama-sama membantu beliau apa yang boleh tanpa sedikitpun merasa ia satu yang salah. Tetapi apabila polis menyerbu rumah kami pada petang 10 April, saya masih menaruh harapan bahawa mereka tersilap langkah. Jadi saya kuatkan hati dan saya pandang tepat ke arah muka setiap polis yang masuk ke dalam rumah kami petang itu. Saya yakin jika kita benar kita tidak akan tunduk kerana takut. Salah seorang daripada mereka menyebut "Kami telus!" di depan saya. Lantas tanpa rasa gentar saya menjawab, "Alah, cakap saja, buat tidak!" Dia diam saja. Agaknya betul apa yang saya katakan. Ya, sampai hari ini kami dan juga keluarga tahanan ISA yang lain masih belum dihubungi oleh polis lagi untuk menjelaskan kedudukan mereka.

Suami saya telah berpesan agar saya dan anak-anak meneruskan penyerahan Memorandum Rakyat pada 14 April. Pada malam sebelum 14 April saya benar-benar memohon kepada Allah agar Majlis Penyerahan Memorandum Rakyat berjalan seperti yang dirancangkan dengan aman dan itulah sebenarnya hasrat suami saya dan jawatankuasanya. 14 April yang ditunggu-tunggu berlalu dengan aman, jelaslah Ketua Polis Negara telah menyebarkan fitnah dan dusta terhadap rakyat. Di hadapan SUHAKAM, pada hari tersebut, semua delegasi seolah-olah begitu menaruh harapan agar SUHAKAM dapat bertindak mengembalikan hak asasi kepada rakyat. Saya juga bangun mewakili keluarga tahanan mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga pesuruhjaya SUHAKAM kerana sudi menerima kami, keluarga tahanan ISA sehari selepas penahanan zalim itu dibuat. Tan Sri Anuar menyatakan bahawa SUHAKAM telah menghantar surat kepada pihak polis agar membenarkan keluarga dan wakil mereka bertemu tahanan tapi belum mendapat jawaban.

Pada hari Ahad, kami dan semua keluarga tahanan diraikan di rumah Saudara Mohamed Ezam. Hari itu, kami dapat rasakan kami tidak dibiarkan menanggung ketidakadilan ini bersendirian. Sokongan baik dari segi moral dan wang ringgit dan kata-kata semangat dari pelbagai pihak sungguh mengharukan. Presiden KeADILan dan Wanita KeADILan petang itu memberikan sokongan yang padu dan begitu mengambil berat akan kebajikan keluarga mangsa. Begitu juga peguam Zainur Zakaria dan bekas tahanan ISA, Saudara Zulkifli Nordin dan Saudara Roslan Kasim turut menyampaikan kata-kata perangsang bagi kami walaupun ada yang mengalirkan air mata kesedihan. Ya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul mengenangkan apakah yang sedang dihadapi oleh para tahanan yang dikasihi. Kami merasa lega kerana Saudara Raja Komando menegaskan jika para tahanan diapa-apakan beliau akan bangkit menuntut bela!!

Hari itu kami pulang hanya untuk meneruskan perjuangan membebaskan mereka yang dikasihi.

Mansuhkan ISA Hapuskan Kezaliman Bebaskan Tahanan ISA Lawan Tetap Lawan

Aliza Jaffar (Ummu 'Urwah)
Isteri Hj. Saari Hj. Sungib