LAPURAN POLIS BERHUBUNG BANTAHAN PERHIMPUNAN MELAYU TAK AKAN HILANG DI DUNIA

 

KAMI, seperti nama yang lampirkan ingin membuat lapuran polis berhubung dengan Perhimpunan " Tak akan Melayu Hilang di dunia" yang akan di adakan pada 4hb Febuari 2001 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru Kuala Lumpur.

Akhbar Berita Harian bertarikh 29 Januari 2001  (mukasurat 5) bertajuk "Perhimpunan Tak kan Melayu Hilang di Dunia", menyatakan bahawa perhimpunan itu akan diadakan setelah tertangguh sejak 21 Januari 2001 yang lalu.

Lapuran ini dibuat kerana:

1. Perhimpunan tersebut memperlihatkan sifat perkauman yang boleh menggugat perpaduan dan intergrasi nasional penduduk berbilang kaum di negara ini.

2. Lambang Keris yang terhunus pada logo perhimpunan ini menunjukkan bahawa sikap ekstrimis sesetengah golongan yang boleh membawa kepada perasaan cemas serta menakutkan kepada kaum-kaum lain: seolah-olah huru hara akan berlaku.

3. Perhimpuman ini boleh menjerumus kepada Trajedi 13 Mei 1969 apatah lagi ianya di adakan di kampung Baru yang juga tempat diman tercetusnya tragedi tersebut.

KAMI yakin bahawa perhimpunan ini bukan sahaja tidak dapat mempertahankan maruah da martabat serta menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah malah ia akan memecah belahkan lagi perpaduan di kalangan orang Melayu. Ia juga jelas bermotifkan politik dan ingin meraih populariti di kalangan sesetengah pihak bagi menjurai kepentingan orang Melayu.

Kami berpendapat bahawa ini bukan isu perpaduan Melayu atau masalah rakyat tidak bersatu, tetapi ia adalah masalah beberapa kerat pemimpin politik yang rasuah , salahguna kuasa dan penyelewengan yang mahu lari dari persoalan sebenar rakyat dan negara.

Olehi itu kami membantah sekeras-kerasnya perhimpunan anjuran sekretariat Badan Bertindak Melayu ini yang di terajui oleh kepentingan politik tertentu: di mana ia jelas tiada berwibawa dan kredibiliti.

 

Sekian Lapuran kami.

 

En. Ahmah Hassan
Sivarasa Rasiah
Hj Rosli Dato Ibrahim
Mat Hadzir Hassan
Md Abd Nan bin Md Isa

serta 70 penanda tangan lain.

IPD Ampang Jaya.