Badrul Amin, mangsa ke-8 ISA ditahan 2 pagi

2:33am, Fri: BREAKING NEWS Seorang lagi pemimpin Parti Keadilan Nasional Dr Badrul Amin Baharom ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di rumahnya di Kepong kira-kira jam 2 pagi ini.

Menurut isterinya, kira-kira 20 anggota polis mengepung rumah itu dan memasukinya sekitar jam 1.15 pagi. Polis membawa keluar bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu 45 minit kemudian.

Tambahnya, suaminya ditahan di bawah seksyen 8 akta tersebut, seperti tahanan-tahanan yang lain.

Sementara satu sumber lagi menyebutkan 30 anggota polis terlibat dalam operasi tangkapan awal pagi ini.

Polis telah memantau rumahnya di Taman Desa Jaya itu dan juga rumah keluarga mertuanya di Sabak Bernam, Selangor sejak 10 April lalu dan beberapa hari selepas ini. Bagaimanapun waktu itu, Dr Badrul Amin tidak berada di situ.

Minggu lalu tujuh pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi ditahan dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Mereka adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

Dr Badrul Amin adalah mangsa ISA kelapan dalam siri tangkapan terbaru ini.

Ketika sidang akhbar bagi menjelaskan tangkapan tujuh aktivis tersebut sehari selepas itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai berkata polis masih lagi mencari beberapa aktivis, termasuk mereka yang dikatakan terbabit dalam kumpulan sulit seramai 20 orang.

Dikehendaki sejak minggu lalu

Norian mengulangi kenyataan ini pada Ahad lalu tetapi tidak dilaporkan secara meluas oleh media tempatan. Bagaimanapun beliau enggan menyebutkan bilangan yang masih dicari polis apabila ditanya wartawan.

Malaysiakini semalam melaporkan, polis cuba mendapatkan Dr Badrul Amin sejak Selasa minggu lalu, hari pertama tangkapan ke atas aktivis-aktivis pembangkang.

Menurut sumber-sumber pembangkang, antara mereka yang dipercayai sedang dicari polis Abd Malek Hussin dan Lokman Noor Adam.

Dr Badrul Amin terkenal sebagai pendakwah bebas dan pakar motivasi belum menyertai Keadilan pada 1999. Ceramah-ceramah politik anak kelahiran Tawau, Sabah ini diminati ramai penyokong pembangkang.

Beliau mendapat pendidikan ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perbandingan undang-undang di Universiti Kent dan seterusnya mendapat ijazah doktor falsafah di Birgmiham, United Kingdom.

Sebelum ini, beliau juga aktif dalam kerja kerja kemasyarakatan dan merupakan salah seorang penggiat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).