LOGO DAN FRONT BA YANG SOLID DAN SATU?

Komentar: Tarmizi Mohd Jam

 

Dua hari lalu, Presiden PRM, Dr. Syed Husin Ali mengakui pakatan pembangkang dalam BA masih belum utuh, belum kuat dan belum mantap. Parti-parti komponennya lebih “mementingkan” agenda parti masing-masing dari memperkukuhkan agenda BA hingga menyebabkan “perpaduan” sejati tidak tercapai.

Beliau menampakkan “kekesalan” kerana konsep perkongsian setaraf sesama parti komponen BA belum diamalkan sepenuhnya. Malah kata beliau lagi, manifesto bersama antara parti-parti BA yang dilancarkan menjelang pilihanraya umum lalu, hilang begitu sahaja selepas pelancarannya dan selepas pilihanraya berlalu.

Lebih jauh dari itu, Dr. Syed Husin Ali mengajak parti-parti komponen lain dalam BA agar melangkah dengan lebih berani mengemukakan satu nama dan satu lambang yang sama demi untuk mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

Dr. Syed Husin bercakap dalam Kongres Tahunan PRM yang ke 33 di Kuala Lumpur, semalam, Ahad 11 Jun 2000.

“Rungutan” Presiden PRM itu bukanlah suatu perkara baru atau suatu yang “memelikkan” kita. Beliau mahu pakatan BA yang ada sekarang kukuh dan berfikir memajukan diri dengan logo dan front sendiri atas satu nama.

“Sungutan” itu juga memberitahu kita sedikit sebanyak, betapa ada “masalah” dalaman antara parti-parti itu yang belum selesai lagi. Pakatan BA tadi hanya untuk menghadapi pilihanraya lalu dan masih belum “di-upgrade”. Seolah-olah, “sungutan” itu berbunyi, KeAdilan dengan haluannya, PAS dengan PAS-nya, DAP pula dengan cara DAP nya!

Sebenarnya, parti-parti ini sedang hebat bertarung dengan isu dalaman masing-masing, sama ada krisis ataupun peningkatan daya tahannya. Iya atau tidak, besar atau kecil, bukan soalnya. Para pemimpin mereka masing-masing sedang “memantau” dan “membedah-siasat” keputusan pilihanraya umum yang lalu. Apakah pakatan BA itu berkesan? Kalau tidak, di mana kelemahannya?

Apa yang diutarakan oleh Dr. Syed Husin itu adalah perkara yang sama difikirkan oleh Ustaz Fadzil , Wan Azizah dan Lim Kit Siang. Batu penghalangnya, kalau dianalisa, pada hemat saya adalah “masa yang sesuai” untuk berbuat demikian.

Seperti kisah PAS mahu membuka keahliannya kepada orang bukan Islam. Dari dulu lagi sudah ada idea ini yang dibawa oleh Prof. Zulkifli Muhamad. Tetapi ianya ditolak. Sekarang timbul semula dan sedang dalam kajian. Mungkin waktu itu, kalau diterima akan memberi kesan buruk kepada perkembangan parti. Hari ini, setelah PAS pun sudah boleh duduk semeja dengan DAP, cadangan tadi sudah ada relevansinya dan Muktamar PAS patut membuat keputusan.

Agak sukar untuk mengukuhkan gabungan antara parti, kalau parti-parti gabungan masih berada pada tahap manima “pengurusannnya”. Dalam PAS, dalam KeAdilan sendiri, malah dalam DAP --- banyak masalah dalaman yang belum selesai dan tidak mungkin dapat diselesaikan. Banyak perkara yang terpaksa dibenamkan, diselimutkan untuk mencetuskan “kesepakatan” dan “perpaduan” dalam parti masing-masing.

Ibarat “kocak dalam cawan”. Nampak tenang tetapi “rengetan” ahli-ahli terhadap pelbagai isu dalaman, ada yang serius dan lebih banyak yang remeh-temeh, terus berputar-putar menuju destinasinya.

Sebagai parti yang besar dan tua, PAS juga mengalami mendepani masalah dalaman dan tidak henti-henti menerima kritikan ahli dan para pendokong parti. Tetapi, kehebatan PAS “menutup” segala masalah yang timbul, menjadi “pendinding ajaib” yang sukar untuk dirongkai. Tercetusnya buku “Hikayat Tok Guru dan Tiga Abdul” sebagai contoh terkini, membuktikan ada masalah dalaman yang cuba dipadamkan dengan “air liur”!

Suara lantang muslimat “menuntut” menjadi calon, duduk sebaris di atas pentas, mendesak pemidoto PAS meninggalkan kata-kata kesat kepada pemimpin Umno – adalah manifestasi “kesedaran baru” atau “anjakan paradigma” yang sedang dikecapi oleh mereka dalam sebuah parti yang disifatkan oleh Umno sebelum ini, telah “mengongkong” hak wanita PAS selama ini.

Sementara “tafakur” beberapa laman web pro KeAdilan beberapa minggu lalu yang antara lain meminta Dr. Chandra dan Anuar Tahir (Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung) mengundurkan diri dari menjadi orang utama dalam parti, telah memberitahu kita, betapa “ada” lagi masalah yang belum bereskan.

Ini ditambah pula, “keluarnya” beberapa pemimpin muda parti dan aktivis peringkat bahagian KeAdilan menjelang pilihanraya kecil Teluk Kemang yang baru lalu. Semuanya ini, sedang mengasak parti-parti “second opinion” Melayu dari terus “memikirkan” soal parti lain atau persefahaman yang lebih realistic, kental dan pejal. 

Dap juga tidak dapat melarikan diri dari “keributan” masalah dalaman parti. Hakikatnya, pertarungan akan terus berlaku sesama sendiri selagi ada bulan dan matahari. Inilah politik Malaysia hari ini!

Rungutan Dr. Syed Husin Ali lebih merupakan “rungutan” salah satu parti komponen BA terhadap gabungannya.. Memang agak sukar untuk meramalkan “pakatan” BA ini akan menjadi lebih kukuh dan lebih mantap seperti yang diharapkan oleh tokoh PRM itu. Apatah lagi, keinginannya untuk melihat parti-parti BA bertanding atas logo dan nama pakatan tersendiri, tentunya memerlukan masa yang lebih panjang untuk membina highway anjakan paradigma yang lebih baru sifatnya.

PAS dan DAP membuktikan, “masa yang panjang” menjadi factor pemangkin bagi merapatkan antara kedua-dua parti tersebut. Untuk ke arah itu, rasanya “gabungan BA” tidak terlepas dari menuruti adab dan tertib, tingkat demi tingkat dan langkah demi langkah! Kita khuatir, jika ia dibuat terburu-buru, nanti yang digendung keciciran, yang dikejar pula tidak dapat.

Mungkin orang akan mengatakan Dr. Syed Husin terlalu gopoh bercakap hal demikian. Sedangkan PAS baru sahaja memulakan anjakan untuk berubah, untuk menerima DAP dan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam pakatan ini.

Seperti kata YB Muhamad Sabu, sesungguhnya pakatan PAS dan DAP di negara ini bukan lagi mimpi ngeri tetapi sudah menjadi salah satu dari “Lapan Perkara Ajaib” di dunia. Ahli-ahli PAS yang dikatakan “fanatik” masih terlalu baru untuk menerima hakikat ini. Tidak siapa terfikir, PAS boleh duduk sekelambu dengan DAP yang jelas berlainan haluan dan ideology.

Namun begitu, rasanya “rungutan” Dr. Syed Husin ini bukanlah salah atau tidak bernas. Tetapi hakikatnya, agak sukar untuk berlaku apa yang diperkatakan itu. Ia memerlukan kajian, pengamatan, perhitungan, baik-buruk dan pemantauan berdasarkan kehendak massa dan bukannya mengikut kehendak pemimpin parti.

“Penggabungan” PRM dengan KeAdilan adalah bukti asakan massa terhadap keperluan “bersatu” itu. “Penggbungan” itu mungkin boleh dilihat sebagai suatu tindakan pantas PRM dalam menjayakan agendanya. Namun  begitu, saiz parti itu, jika nak dibandingkan dengan PAS, KeAdilan dan DAP, jauh lebih kecil dan mudah dalam mengendalikan “suara-suara” nakal dalam parti.

 Jika PRM terus “berkeras” dengan mempertahankan parti itu, sudah tentulah ianya tidak akan berkembang sebaliknya mungkin boleh mengincup dan menjerut. Dan inilah asas persetujuan ahli-ahli PRM untuk “bergabung” dengan KeAdilan.

Tunggulah!  Akan sampai juga masanya pakatan BA ini menonjolkan logo yang sama dan nama front yang satu. Seperti tiba masanya, PAS boleh bertepuk bahu dengan DAP dan seperti tiba masanya PRM boleh bergabung dengan KeAdilan!

Setelah adanya pakatan yang kuat, mantap, pejal dan teguh di kalangan parti komponen maka sudah tentulah logo dan nama front yang satu akan terhasil. Buat masa ini, rasanya parti-parti yang baru berkawan dan duduk serumah ini, dari pelbagai etnik pula, sedang mengemas dan membetulkan rumahtangga masing-masing.

“PAS minta semua parti komponen barisan pembangkang mengkaji dan membincangkan dengan lebih mendalam pada peringkat parti masing-masing sebelum parkara itu dapat diputuskan bersama,” kata Presiden PAS, Fadhil Noor kepada Utusan Malaysia.

DAP pula, menyifatkan cadangan ulangan Dr. Syed Husin itu agak sukar untuk dilaksanakan dan parti itu belum sedia berbuat demikian. “Masanya tidak sesuai lagi. DAP belum bersedia dengan penggunaan lambing parti dan nama yang satu untuk barisan pembangkang. Cuma yang dapat saya katakana, semuanya bergantung kepada syarat-syarat kerjasama parti-parti di dalam barisan pembangkang dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang,” jelas Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock ketika ditanya pandangan DAP berkenaan cadangan dan keluhan Presiden PRM itu.

Jika panjang umur, insya-allah Dr. Syed Husin akan berkesempatan juga melihat pakatan BA ini setanding BN yang mempunyai logo serta jenama front yang solid dan satu!

Seperti “kesempatan” hari ini, Dr. Syed Husin melihat PAS dan DAP berkawan! PRM bergabung dengan KeAdilan?