Ucapan Mohamed Azmin Ali

ADUN Hulu Kelang

membahaskan Titah Ucapan Pemangku Raja Selangor

bersempena Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga

Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan Kesepuluh

29 Mac 2001 (Khamis)

 

Tuan Speaker,

 

Hulu Kelang bangun untuk turut serta membahaskan Titah Ucapan Baginda Tuanku semasa majlis perasmian mesyuarat ini.

Meskipun kadar pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor pada tahun lalu berkembang pada kadar 9% jelas bahawa pembangunan Negeri Selangor bukanlah suatu pembangunan yang seimbang. Kita jangan terlalu ghairah dan ‘complacent’ dengan kadar pertumbuhan yang tinggi sehingga mengabaikan aspek pengagihan kekayaan secara adil. Pembangunan di Negeri Selangor menyaksikan pembangunan yang tempang.

Inilah antara punca yang menyebabkan tercetusnya insiden di Kampung Medan. Apabila pihak swasta memajukan estet-estet untuk pembangunan komersial, pemaju dan kerajaan negeri tidak menghiraukan sama sekali nasib ratusan keluarga masyarakat India yang tinggal di dalam estet tersebut. Mereka telah menetap di estet-estet untuk beberapa generasi dan mereka tidak disediakan dengan kepakaran baru untuk hidup di luar estet justeru itu, mereka terpaksa mencari pekerjaan di kawasan bandar tanpa sebarang persediaan dan kepakaran. Akibatnya, mereka tidak memperolehi pekerjaan yang pendapatannya mencukupi untuk menampung kehidupan di bandar. Akhirnya, mereka terpaksa tinggal di kawasan setinggan dan rumah panjang yang tidak sempurna daripada segi kemudahan asas lantaran bercambahnya gejala-gejala sosial yang negatif.

Rumah-rumah panjang yang sepatutnya menjadi pusat penempatan sementara sebelum disediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan ini telah bertukar menjadi penempatan kekal.

Inilah antara punca tragedi berdarah ini. Bukan kerana orang-orang Melayu sudah hilang sabar seperti yang didakwa oleh EXCO Kerajaan Negeri yang juga ADUN Taman Medan. Malangnya, kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh ADUN Taman Medan ini, yang mempunyai unsur-unsur hasutan perkauman telah disambut dengan sikap membisu oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya dari MIC. Sehingga hari ini, wakil-wakil MIC yang kononnya jaguh masyarakat India tidak menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan ADUN Taman Medan termasuklah ADUN Ijok. Sungai Tua turut membisu. Kota Raja memang raja pengampu.

Kita mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan yang secukupnya untuk memberi latihan kepada masyarakat estet yang membolehkan mereka mencari pekerjaan lain apabila terpaksa meninggalkan estet. Kerajaan Negeri Selangor juga perlu merangka satu agenda sosial atau penyusunan semula masyarakat seperti yang disarankan oleh Baginda Tuanku agar nasib penduduk yang berpendapatan rendah khususnya pekebun kecil getah, kelapa dan kelapa sawit terjamin dan dapat menyesuaikan diri dalam ekonomi negara yang tidak ketentuan.

Sepanjang mesyuarat ini kita mendengar pukulan gendang memuji YAB Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin BN pusat yang turun ke Taman Medan dan bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Persoalannya, mengapa UMNO dan BN menunggu 6 nyawa rakyat hilang baru nak muncul. Mengapa harus menunggu rakyat dibelasah, dipukul dan dicederakan; baru nak bagi rumah kos rendah, baru nak bina pondok polis, baru nak bina jalan dan prasarana yang lebih selesa dan yang lebih melucukan kononnya terdapat ADUN BN yang sanggup tidur dalam kuil; mengapa hari ini baru nak tidur dalam kuil sedangkan rakyat ini telah bergelumang dengan masalah kemiskinan dan penderitaan selama lebih 20 tahun ?

Tuan Speaker,

Baginda Tuanku mengajak generasi muda hari ini memperkukuhkan semangat patriotisme dan semangat cinta kasih kepada negeri. Patriotisme yang sejati adalah patriotisme yang menjaga kepentingan rakyat terbanyak bukan yang menjaga kepentingan segelintir orang kaya dan berkuasa. Patriotisme yang hakiki ialah kekuatan mempertahankan keadilan, kebebasan dan kesaksamaan supaya generasi hari ini mampu hidup sebagai masyarakat yang bermaruah. Hanya apabila maruah rakyat terjamin, perlindungan dan kepentingan majoriti dilindungi; negara mampu menjunjung kedaulatan dan kemerdekaan.

Tuan Speaker,

Izinkan saya memberi kuliah ekonomi kepada Ahli Yang Berhormat dari Puchong dan Batang Kali yang mendakwa kononnya pengurus ekonomi dulu tunduk kepada telunjuk IMF dan mereka berdua cuba menonjolkan diri sebagai golongan yang paling patriotik. Saya berharap Ahli Yang Berhormat Puchong dan Batang Kali mengambil masa sedikit untuk membaca buku dan tidak menelan bulat-bulat propaganda atau pembohongan yang dibuat oleh Dr. Mahathir.

Dasar menaikkan kadar faedah adalah pendekatan ‘conventional’ yang menjadi amalan negara-negara di dunia untuk menyekat aliran keluar wang dalam negara. Menteri Kewangan pada ketika itu bertindak atas nasihat Bank Negara. Namun ianya tidak sampai ke tahap 25% seperti dakwaan Batang Kali malahan pada awal 1998 (April 1998) kadar faedah dikurangkan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Tuduhan sempit UMNO bahawa IMF terlibat untuk menguasai ekonomi negara kita juga adalah tidak berasas. IMF akan hanya masuk untuk memulihkan ekonomi sesebuah negara sekiranya negara berkenaan mempunyai hutang luar negara (external debt) yang tinggi dan mempunyai masalah ‘balance of payment’. Alhamdulillah, di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia tidak menanggung hutang luar negara yang besar dan tidak ada masalah ‘balance of payment’. Justeru itu, tidak ada sebab IMF hendak masuk. Sebahagian besar pinjaman negara kita juga bukan dalam USD dan tidak melibatkan bank-bank asing. Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

Sejarah merakamkan bahawa ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia, beliau merupakan tokoh yang paling lantang mengkritik dasar-dasar IMF yang melengah-lengahkan bantuan kepada Indonesia dan mengenakan syarat-syarat pinjaman yang terlalu ketat kepada Sudan.

Dasar IMF untuk menghapuskan pendekatan subsidi telah ditolak oleh Menteri Kewangan ketika itu. Malahan, dalam Belanjawan yang dibentangkan pada bulan Oktober 1997 kita menyaksikan bagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim meningkatkan bantuan kepada golongan miskin dan luar bandar sebagai ‘safety net’ ; dasar yang bertentangan dengan kehendak IMF. Pada bulan Disember 1997, sekali lagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Belanjawan Mini untuk menambah bantuan kewangan bagi maksud di atas untuk meneruskan agenda keadilan sosial.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga telah mengambil tindakan drastik dengan memperkenalkan dasar penggabungan bank-bank tempatan; sekali lagi dasar yang bertentangan dengan pendekatan IMF yang mahu bank-bank asing masuk ke negara berkenaan untuk menguasai bank-bank tempatan.

Saya cadangkan Puchong dan Batang Kali membaca buku yang bertajuk "Malaysian Eclipse" yang menafikan sama sekali bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim mengikut telunjuk IMF. Bahkan pemulihan telah bermula di zaman Dato’ Seri Anwar sendiri.

"Most importantly, in the following weeks, Anwar announced various policies to reflate the economy along the lines suggested, i.e. well before September 1998, although one could well argue that the policy reversal probably began even earlier, from late March 1998, when the central bank's Annual Report for 1997 was announced. It is necessary to emphasise this because developments and pronouncements since September 1998 have coloured memories and perceptions. Anwar has since been presented by Mahathir and his media as a stooge of the IMF and other foreign interests. Despite my previous differences with Anwar and my criticisms of the IMF's role and of government economic policies under his watch, I find this misrepresentation dishonest and offensive because of the political ends to which it has been deployed"

Semalam, semasa sahabat saya dari Sungai Burong berhujah dengan fakta dan analisa yang mendalam, Batang Kali menyerang kononnya BA terperangkap dengan analisa yang dibuat oleh musuh. Hari ini, saya ingin memberitahu Batang Kali bahawa buku ini ditulis, dikarang, dikupas dan dianalisa oleh pakar-pakar ekonomi tempatan. Jelas bahawa golongan profesional tempatan juga mendapati bahawa tuduhan bahawa kita tunduk kepada IMF merupakan tuduhan yang bertujuan politik, tidak jujur dan memualkan. Orang luar dan orang dalam sudah matang dan arif dengan propaganda murahan UMNO ini.

Tuan Speaker,

Tindakan kerajaan negeri menaikkan tarif air pada awal tahun ini merupakan satu lagi bukti kerajaan negeri berterima kasih kepada rakyat ! Sebelum pengumuman kenaikan ini, Negeri Selangor telahpun merekodkan kadar tarif tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. Purata harga air yang dibekalkan kepada pengguna adalah 42 sen/m3. Hari ini, SPLASH akan membekalkan air kepada JBAS pada kadar RM 1.30/m3 atau 51% lebih tinggi. (Laporan The Sun bertarikh 2 November 1999).

Alasan kerajaan negeri untuk menaikkan tarif air ini tidak dapat diterima. Kos membaik pulih sistem paip jaringan air, penggantian atau pemasangan paip-paip bekalan air yang baru adalah satu pelaburan jangka panjang. Ia tidak boleh digunakan sebagai justifikasi untuk menaikkan tarif air kerana keuntungan daripada pemasangan paip-paip air tersebut akan turut dinikmati oleh pengguna di masa hadapan.

Menurut laporan Industri Air Malaysia, pada puratanya kebocoran paip air di Selangor ialah 72m3 sehari setiap kilometer atau kebocoran sebanyak 35.68%. Sekiranya rakyat Selangor menggunakan 2495 mld (juta liter sehari) iaitu jumlah yang direkodkan pada tahun 1998 dan JBAS pula dapat mengawal hanya 20% air yang bocor melalui paip-paip, jumlah isipadu air yang dapat diselamatkan sehari ialah 491.8 mld dan pada tahun 2005 ianya akan meningkat kepada 643 mld. Ampangan Sungai Selangor dibina dengan perancangan untuk membekalkan 1050 mld. Justeru itu, jumlah 643 mld yang dapat diselamatkan melalui pembaikkan paip-paip bocor adalah 61.2% daripada isipadu air yang bakal dibekalkan oleh SPLASH. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kerajaan negeri supaya memberi perhatian khusus terhadap pengurusan air untuk menanggani masalah pembaziran air.

Tuan Speaker,

Baginda Tuanku juga bertitah supaya kerajaan negeri terus meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan (good governance). Di antara ciri-ciri good governance ialah keupayaan jabatan bertindak pantas dan adil bagi menanggani masalah. YAB Menteri Besar pernah berjanji bahawa JAIS akan menyelesaikan siasatan ke atas kes seorang anak lelaki bernama Mohamed Hafiz bin Abu Hassan dalam tempoh 6 bulan. Saya ingin bertanyakan apakah hasil siasatan JAIS ke atas kes berkenaan dan apakah tindakan yang selanjutnya ? Bagi seluruh umat Islam di Selangor, kes ini merupakan satu ujian besar bagi JAIS untuk memulihkan imejnya sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan kedaulatan dan kesucian agama Islam.

Saya ingin menarik perhatian kerajaan negeri mengenai masalah 12 orang penyewa Bazar MARA di Batu 8, Hulu Kelang yang rumah kedai mereka dirobohkan untuk kali kedua oleh MPAJ pada bulan Mei 1998 atas alasan untuk pembinaan lanskap Zoo Negara. Pihak MPAJ menawarkan mereka hanya unit-unit gerai di Medan Selera Taman Melawati sedangkan yang dirobohkan itu ialah rumah kedai di mana mereka menghuni dan berkeluarga di dalam premis tersebut. Pihak MPAJ juga telah berjanji melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pegawai Perhubungan Awam MPAJ dan dilaporkan dalam media pada 21 Mei 1998 bahawa MPAJ akan memperuntukkan sebanyak RM 300,00.00 untuk membina premis baru yang tidak jauh dari tapak lama berhampiran FINAS bagi menempatkan semula penyewa-penyewa yang terlibat. Namun, sehingga hari ini janji ini belum ditunaikan oleh kerajaan negeri.

Saya juga ingin menegur kerajaan negeri yang gagal menjawab pertanyaan-pertanyaan bertulis dalam tempoh yang munasabah. Pertanyaan-pertanyaan bertulis yang dikemukakan pada mesyuarat yang lalu hanya dijawab empat (4) bulan kemudian. Yang lebih mendukacitakan, ada pertanyaan yang tidak dijawab langsung dan pihak urusetia dewan memulangkan kembali soalan kepada Ahli Yang Berhormat yang bertanyakan soalan.

Saya memohon kerajaan negeri supaya memberi perhatian serius kepada perbahasan kali ini dan marilah kita bersama-sama mengangkat martabat bangsa Malaysia di Negeri Selangor dan membangunkan Negeri Selangor.

Sekian Terima Kasih.

Mohamed Azmin Ali

ADUN Hulu Kelang