Awas! Perangkap Mahathir sedang menunggu

Sejak kekalahan BN pada pilihanraya kecil Lunas, UMNO mula mengambil suatu langkah drastik dan turning over untuk berbaik-baik dengan musuh-musuh politiknya iaitu PAS dan Keadilan  yang sebelum ini telah dilabelkan oleh Mahathir dan kaum kerabatnya sebagai pelampau agama dan pengkhianat negara. Cuba fikirkan dan renungkan bersama betapa Wira Dunia Ke 3 sanggup duduk semeja dengan  pelampau agama dan pengkhianat negara semata-mata untuk perpaduan bangsa Melayu yang sebenarnya adalah satu ilusi kerana orang Melayu keluar berbondong-bondong dari UMNO untuk menyertai PAS dan Keadilan.  Hakikatnya! Orang Melayu di dalam UMNO yang berpecah dan berantakan. UMNO kini samalah seperti Mahathir yang sedang menghabiskan sisa-sisa umurnya yang masih ada dan tidak mustahil tongkang pecah ini akan turut karam bersama-sama dengan Mahathir kelak.

Sebelum ini kita telah disajikan dengan Insiden di Sauk setelah BN mengalami kemerosotan undi pos  dan undi-undi Kaum Cina pada pilihanraya kecil Teluk Kemang yang lepas. Maka Sauk menjadi medan pertarungan di antara Al Ma'unah dengan anggota-anggota keselamatan dari PDRM dan ATM. Akhirnya 'puak pelampau agama' ini berjaya ditangkap dan dibicarakan di mahkamah. Bukan Al Ma'unah yang menjadi persoalannya. Cuma bagaimana insiden seperti ini boleh berlaku telah mencabar minda kita semua dan mengajak kita untuk berfikir apakah ini satu sandiwara ataupun tidak? Sehingga kini insiden di Sauk masih lagi menjadi misteri dan lakonan semula senjata-senjata yang dimasukkan ke dalam Pajero tempohari jelas membuktikan Sauk sebagai satu sandiwara sekaligus menandingi keunggulan drama bersiri X-Files. Rumusan dari insiden di Sauk ialah apakah telah ada desperado-desperado politik yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka terus berkuasa dan memerintah negara? Golongan terdesak inilah yang bakal menghuru-harakan negara kita yang tercinta dan sekiranya dibiarkan akan memusnahkan negara. Marilah kita sama-sama fikirkan dan renungkan!

Seterusnya Suqiu muncul di sebalik kekalahan BN pada pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini dan akhirnya menenggelamkan terus populariti yang dikecapi oleh Sauk sebelum ini. Kebetulannya selepas Sauk, Suqiu pula disajikan kepada kita semua. Bezanya Sauk padat dengan aksi @ action pack tetapi Suqiu sekadar wayang Cina @ Opera Cina. Mana yang lebih hebat sama-samalah kita tunggu dan lihat. Filem arahan Tok Dir ini lebih berkisar kepada kisah benar golongan pelampau agama dan pelampau Cina. Mesej yang ingin disampaikan cukup mudah iaitu betapa golongan pelampau ini cuba mengugat kestabilan politik negara dan cuba merampas kuasa serta menggulingkan  memanda Tok Dir daripada tampuk pemerintahan negara sekaligus melenyaplah segala keamanan, keharmonian, kemajuan dan budi yang ditaburkan untuk dihargai oleh rakyat jelata seperti yang dikehendaki oleh kerajaan selama ini.

Sewajarnya rakyat menghargai segala budi baik yang ditaburkan oleh kerajaan  BN (Be End). Tanpa BN siapalah rakyat. Begitulah mesej yang ingin disampaikan oleh Mahathir dan balachi-balachinya. Cukup angkuh nada dan bunyinya. Rakyat sekarang bukan sahaja celik IT malah celik politik. Mereka bijak bertanya dan juga bijak berfikir. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah bagaimana Nabi Musa yang dipelihara oleh Firaun sejak kecil dan Nabi Ibrahim yang mempunyai seorang bapa yang bekerja sebagai pembuat berhala ingin membalas budi?.Apakah perlu diikut segala kemungkaran mereka? Tepuk dada tanyalah iman! Persoalan menentang kerajaan bererti mengkhianati negara juga ditimbulkan. Apakah sama kerajaan dengan negara itu? Kerajaan negara kita boleh ditukar ganti kerana negara kita mengamalkan sistem pemerintahan bercorak demokrasi. Apa gunanya sistem pilihanraya dan parlimen diadakan jika kerajaan tidak boleh ditukar? Bukankah di dalam Parlimen adanya Kerajaan yang memerintah dan adanya Pembangkang. Sedangkan negara kita hanyalah Malaysia yang tercinta dan ianya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit biarpun Kerajaan BN seringkali menyogok rakyat dengan wang ringgit setiap kali berlakunya pilihanraya.

Sebenarnya  politik itu mudah dan yang meyusahkan dan mengelirukan itu adalah kerana adanya ahli politik yang mengamalkan budaya politik yang tidah sihat seperti politik wang, bodek membodek, fitnah memfitnah , adu domba, cantas-mencantas, politik buruk siku, ugut mengugut, politik menangis dan sebagainya. Politik boleh diibaratkan seperti selera makan seseorang dan sudah tentu tidak sama antara satu sama lain. Ada yang suka makan nasi kerabu dan ada yang suka makan nasi dagang. Malah ada pula yang suka makan lontong dan laksa penang. Begitulah perumpamaannya. Kita tidak boleh memaksa orang yang suka makan nasi kerabu dan nasi dagang menukar selera mereka dan menyuruh mereka makan laksa penang atau lontong sebagaimana yang cuba dilakukan oleh Kerajaan BN terhadap rakyat Kelantan dan Terengganu.

Sudah tentu ianya zalim dan melanggar hak asasi serta kebebasan manusia. Lumrahnya, setiap sesuatu yang berlaku di dunia akan melalui proses perubahannya. Pada zaman purba manusia lebih menggunakan kederat dan tenaga mereka dalam kehidupan sehari-harian sedangkan pada zaman moden atau alaf baru manusia lebih banyak menggunakan peralatan canggih sesuai dengan peredaran zaman. Manusia sendiri melalui proses perubahan iaitu proses kitaran hidup yang bermula di dalam perut ibu, seterusnya peringkat bayi dan kanak-kanak, diikuti oleh peringkat dewasa dan tua sehinggalah kepada peringkat mati. Begitu jugalah dengan parti dan tidak terkecuali UMNO sendiri yang kini melalui zaman uzurnya. Namun ini tidak bererti kita boleh sewenang-wenangnya mengubah ajaran agama Islam yang berpandukan Al Quran dan Al Hadis. Kita juga tidak boleh mengatakan Nabi Muhammad tidak mencukur janggut kerana tidak ada pisau Gilette! Kata-kata sebegini bukan sahaja biadap tetapi boleh merosakkan akidah seseorang Muslim!

Suharto dan parti Golkar yang suatu masa dahulu mempunyai ahli lebih daripada 160 juta orang telah ditumbangkan rakyat Indonesia. Marcos juga telah diusir oleh rakyat Filipina ke luar negara. Fujimori sendiri terpaksa meminta perlindungan politik daripada Jepun sehingga terpaksa menjadi warganegara Jepun bagi mengelakkan diri dibicarakan di Peru.

Begitu juga dengan nasib Parti Kongres di India, Parti Koumintang di Taiwan, Parti Konservatif di Britain dan banyak lagi sedangkan pada awalnya kerajaan ini banyak berjasa dengan membawa kemajuan dan meningkatkan ekonomi negara malah ada yang  berjaya memperjuangkan kemerdekaan negara!

Apakah kesudahan yang sama akan berlaku kepada Mahathir? Kita sama-sama tunggu dan lihat. Rakyat sudah semakin muak dan benci melihat kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku di negara ini. Mesej ini telah disampaikan oleh mereka pada Pilihanraya Umum yang lepas dan pada pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini. Kemenangan Keadilan di Dun Lunas menjadi titiktolak kebangkitan rakyat untuk menumbangkan kerajaan BN. Senario sebeginilah yang cukup ditakuti oleh Mahathir dan konco-konconya. Maka ditimbulkannya isu Suqiu ketika majoriti rakyat masih merayakan kemenangan BA di Dun Lunas. Suqiu dikambinghitamkan sebagaimana yang berlaku kepada Al Ma'unah sebelum ini semata-mata untuk mempertahankan survival politiknya. Muslihatnya cukup mudah iaitu Suqiu dilabelkan sebagai pelampau Cina dan seluruh Kaum Melayu akan bersatu di bawah pemerintahannya menentang pelampau Cina ini. Seterusnya beliau akan dianggap sebagai Wirawan atau Pejuang Bangsa Melayu alaf baru sebaris dengan nama Hang Jebat dan Hang Tuah.

Agenda Mahathir yang seterusnya ialah untuk memperalatkan GPMS yang diterajui oleh Suhaimi Ibrahim untuk dilaga-lagakan dengan Suqiu. Maka Suhaimi Ibrahim seorang opportunis, barua dan gilakan kuasa rela membiarkan dirinya dan GPMS  menjadi ayam sabungan Mahathir hanya kerana ganjaran lumayan yang dijanjikan kepadanya. GPMS sebagai watak tambahan diharapkan oleh Mahathir mampu mengapi-apikan permusuhan di antara Kaum Melayu dengan Kaum Cina. Muslihat Mahathir ini tidak sukar untuk dibaca dan lebih menyedihkan tidak mendapat sambutan daripada PAS dan Keadilan yang mewakili majoriti kaum Melayu. Mahathir yang makin terdesak tidak kehabisan akal sebaliknya menghulurkan tangan tanda perdamaian kepada pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan semata-mata kerana perpaduan bangsa Melayu. Jelas di sini menunjukkan bahawa UMNOlah yang memainkan sentimen agama melalui insiden Sauk dan isu perkauman yang melibatkan Suqiu.
Pelawaan Mahathir ini diterima dengan hati yang terbuka oleh Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Ini menggambarkan kewaspadaan dan kebijaksanaan mereka di dalam berdiplomasi biarpun selama ini Mahathir telah melabel PAS sebagai pelampau agama dan Keadilan sebagai pengkhianat negara.

Hakikatnya sentimen perkauman sempit yang cuba diamalkan oleh UMNO terdedah akhirnya apabila Mahathir mengajak Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berbincang ke arah penyatuan bangsa Melayu. Mujurlah tokoh-tokoh daripada PAS dan Keadilan ini sedar muslihat sebenar Mahathir dan menyarankan supaya isu yang hendak dibincangkan bukan hanya tertumpu kepada perpaduan bangsa Melayu sahaja malah ianya perlu dibincangkan secara menyeluruh atau global. Setakat ini Jawatankuasa Pas Pusat secara rasmi telah menerima pelawaan UMNO untuk berbincang mengenai penyatuan bangsa Melayu.  Keadilan  walaubagaimanapun telah menolak tawaran UMNO tersebut setelah Majlis Tertingginya bermesyuarat. Selepas ini UMNO akan menuding jari menuduh Keadilan tidak mahukan bangsa Melayu bersatu dan lebih suka melihat mereka berpecah-belah. Bagi penyokong-penyokong PAS dan Keadilan khususnya dan Barisan Alternatif amnya amat meragui keikhlasan UMNO kerana selama ini kerajaan BN sering menindas dan menzalimi mereka.

Bermacam-macam penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO ke atas penyokong-penyokong Barisan Alternatif dan di antaranya.
1. Harakah hanya diberikan permit untuk dibaca oleh ahli-ahli PAS sahaja dan tempoh pengeluarannya kini dihadkan kepada 2 minggu sekali berbanding seminggu 2 kali sebelum ini. Malah Harakah tidak dibenarkan dijual di tempat-tempat terbuka.
2. Mengharamkan Ekslusif, Wasilah dan Detik
3. Larangan Kerajaan Negeri Melaka kepada kakitangannya mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan dan Terengganu.
4. Kerajaan melarang tokoh-tokoh agama yang pro kepada Barisan Alternatif daripada memberikan ceramah-ceramah di masjid-masjid dan surau-surau. Imam-imam, Khatib-Khatib dan Tok Siak-Tok Siak yang pro barisan Alternatif dipecat. Malah di setengah-setengah tempat berlaku rombakan ahli jawatankuasa masjid untuk memastikan mereka kesemuanya adalah ahli UMNO.
5. Kerajaan Negeri Melaka menyenaraihitamkan kontraktor-kontraktor yang pro Barisan Alternatif daripada menerima tender kerajaan negeri.
6. Kerajaan Negeri Melaka bertindak membatalkan perkhidmatan profesional seperti panel klinik kesihatan, akauntan, peguam dan arkitek di bawah agensi-agensi kerajaan negeri.
7. Kerajaan Negeri Melaka bertindak mengeluarkan simpanan tetapnya daripada Bank Islam dan Bank Bumiputera-Commerce kerana pekerja-pekerja di sana pro kepada Barisan Alternatif.
8.  Kakitangan awam yang pro Barisan Alternatif ditukarkan sesuka hati dalam tempoh 24 jam ke mana-mana sahaja.
9. Peruntukan biasiswa dan pinjaman tidak diberikan kepada anak-anak penyokong Barisan Alternatif
10. Kerajaan tidak memberikan peruntukan pembangunan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli Parlimen Barisan Alternatif yang lazimnya diterima oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli-ahli Parlimen.
11. Kerajaan menukar pemberian royalti yang diterima oleh Terengganu kepada pemberian ehsan. Seterusnya menamatkan  pemberian royalti kepada Terengganu.
12. Kerajaan memperalatkan  Polis  Di Raja Malaysia(PDRM) khususnya FRU dan SB memukul, membelasah, menangkap dan mendera penyokong-penyokong Barisan Alternatif yang berhimpun secara aman berpandukan kepada prinsip kebebasan bersuara seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah penyokong-penyokong kerajaan bebas untuk berhimpun di mana-mana sahaja sebagaimana perhimpunan yang telah dianjurkan oleh Pemuda UMNO dan GPMS  sedangkan perhimpunan yang dianjurkan oleh Barisan Alternatif  dianggap sebagai perhimpunan haram.
13. Kerajaan juga memperalatkan pihak polis berhubung pemberian permit kepada Barisan Alternatif untuk mengadakan ceramah-ceramah. Ada ceramah-ceramah yang permitnya dibatalkan pada saat-saat akhir iaitu ketika sessi ceramah hampir dimulakan.
14. Kerajaan juga menggunakan kuasanya ke atas pihak pengurusan Stadium Bukit Jalil dan lain-lain stadium daripada membenarkan stadium-stadium berkenaan disewa oleh Barisan Alternatif untuk tujuan mengadakan perhimpunan raya sebagaimana yang berlaku baru-baru ini. Apabila Barisan Alternatif tidak ada pilihan lain dan membuat keputusan untuk berhimpun di jalanan maka pihak polis pula akan diperalatkan oleh kerajaan untuk membelasah dan menangkap penyokong-penyokong Barisan Alternatif.
15. Kerajaan juga memperalatkan media massa untuk memburukkan imej Barisan Alternatif dengan memfitnah dan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin serta penyokong-penyokong Barisan Alternatif agar mereka bertelagah antara satu sama lain.

Faktor-faktor di atas adalah sebahagian daripada bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan BN ke atas penyokong-penyokong Barisan Alternatif. Ekoran dendam kesumat yang mendalam dan tak kunjung padam inilah kerajaan BN pernah berura-ura untuk mengharamkan penggunaan nama Islam pada nama-nama pertubuhan dan parti-parti politik serta menukar logo Petronas kerana dikatakan mirip kepada PAS sehingga Petronas terpaksa membazirkan berpuluh-puluh juta ringgit untuk menukar logonya. Tidak mustahil pada masa akan datang kerajaan BN akan melarang terus penjualan kerepok lekor, budu dan lain-lain makanan serta produk-produk yang dihasilkan daripada Kelantan atau Terengganu.

Lebih dahsyat lagi apakah kerajaan BN akan melarang rakyat-rakyat di negeri-negeri yang dikuasainya daripada berkahwin dengan rakyat-rakyat di negeri Kelantan dan Terengganu. Di dalam jangka masa terdekat ini kerajaan Negeri Selangor telah menukar warna pakaian murid-murid sekolah agama rendah daripada hijau kepada merah. Tidak mustahil dalam sedikit waktu lagi warna lampu trafik akan ditukar warnanya iaitu daripada warna hijau kepada warna jingga atau lain-lain warna.

Apakah sarung ketupat juga akan ditukar warnanya? Bagaimana pula dengan warna pokok-pokok serta tumbuh-tumbuhan yang menghijau? Bagaimana pula dengan lagu Hijau nyanyian Zainal? Apakah akan dimerahkan juga? Kephobiaan kerajaan BN terhadap warna hijau menyebabkan mentaliti mereka menjadi tidak betul dan berkelakuan seperti kanak-kanak.

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz  Nik Mat  di dalam Harakahdaily.Com yang mengatakan UMNO kini ibarat harimau tua wajar direnungi oleh kita semua. Suatu ketika dahulu PAS pernah mengajak UMNO mengadakan Muzakarah untuk kebaikan bersama tetapi telah ditolak oleh UMNO mentah-mentah dengan mempergunakan Majlis Raja-Raja untuk membatalkan Muzakarah tersebut.  Mengapa tiba-tiba UMNO mengajak PAS dan Keadilan duduk semeja untuk membincangkan isu penyatuan bangsa Melayu? Apakah muslihatnya? Banyak spekulasi yang  telah dibuat dan di antaranya bertujuan untuk membatalkan debat perdana antara Mahfuz dan Hishamuddin?

Sebelum ini PAS pernah diperdayakan ketika menyertai kerajaan BN selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Akhirnya PAS mengambil keputusan untuk meninggalkan kerajaan BN dan menjadi parti pembangkang. Pas juga kehilangan Kelantan dan tokoh pemimpinnya Allahyarham Dato' Asri akibat tipu muslihat yang dilakukan oleh UMNO. Tengku Razaleigh dan Semangat 46 juga pernah menikam PAS dari belakang selepas membuat keputusan untuk menyertai UMNO semula dan membubarkan S46. Malah Tengku Razaleigh  juga adalah seorang tokoh UMNO yang terlibat dalam usaha-usaha menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan yang akhirnya membolehkan UMNO kembali memerintah Kelantan.

Eloklah kita renungi kembali peristiwa yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Ar Rasyidin yang Ke 4, Syaidina Ali Bin Abi Talib iaitu apabila pasukan tentera Kufah(Iraq) yang dipimpin olehnya menentang pasukan tentera Damsyik(Syria) yang dipimpin oleh Muawiyah Bin Abu Sufian di dalam perang Shiffin.

Peperangan yang melibatkan 175,000 orang tentera dan adalah di antara peperangan yang terhebat di dalam Sejarah Islam.  Di saat-saat pasukan tentera Syaidina Ali hampir mencapai kemenangan, Amru Al As telah mencadangkan Muawiyah bin Abu Sufian supaya berdamai dan cadangan ini telah dipersetujui oleh beliau. Muawiyah atas nasihat Amru Al As seterusnya mengarahkan tentera-tenteranya meletakkan lembaran Al Quran pada tombak masing-masing dan dingkat tinggi-tinggi tombak itu ke udara supaya dapat dilihat oleh tentera-tentera Syaidina Ali. Motif Muawiyah berbuat demikian adalah untuk memberitahu Syaidina Ali bahawa beliau telah bersedia menerima penyelesaian secara damai berdasarkan hukum Allah. Akibatnya tentera-tentera Syaidina Ali berpecah menjadi dua golongan iaitu golongan pertama ingin meneruskan peperangan kerana menganggapnya sebagai satu tipu muslihat Muawiyah.

Manakala golongan kedua pula mengkehendaki perdamaian kerana percayakan kebenaran kata-kata Muawiyah. Akhirnya Syaidina Ali bersetuju dengan pendapat golongan yang kedua iaitu menghentikan peperangan dan berdamai. Seterusnya satu rundingan damai diadakan untuk mewujudkan persepakatan dan perpaduan sesama umat Islam. Rundingan damai ini dikenali sebagai Majlis Tahkim.

Syaidina Ali diwakili oleh Abu Musa Al As'ariy, seorang alim yang lurus bendul dan Muawiyah pula diwakili oleh Amru Al As yang cukup terkenal sebagai seorang yang pintar  dan licik.

Menurut persetujuan bersama Abu Musa Al As'ariy dan Amru Al As akan mengumumkan perletakan jawatan Syaidina Ali dan Muawiyah sebagai khalifah umat Islam. Pada masa itu Syaidina Ali dan Muawiyah mendakwa  diri masing-masing sebagai khalifah umat Islam yang sah. Seterusnya Abu Musa Al As'ariy dan Amru Al As akan menyerahkan persoalan melantik khalifah kepada umat Islam. Abu Musa Al As'ariy terlebih dahulu membuat pengumuman dengan mengatakan Syaidina Ali telah meletakkan jawatannya sebagai Khalifah Ar Rasyidin. Sebaliknya, Amru Al As pula mengisytiharkan bahawa Muawiyah sebagai khalifah umat Islam yang baru.

Abu Musa Al As'ariy merasa cukup malu kerana dirinya telah tertipu dan tidak pulang berjumpa dengan Syaidina Ali. Para penyokong Syaidina Ali juga merasa amat marah dan tidak berpuas hati terhadap tipudaya yang dillakukan oleh Amru Al As di Majlis Tahkim dan menyebabkan mereka berpecah kepada dua golongan iaitu golongan Khawarij dan Golongan Syiah.

Golongan Khawarij tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada Syaidina Ali mahupun Muawiyah sedangkan golongan Syiah adalah penyokong kuat Syaidina Ali. Akhirnya Syaidina Ali telah dibunuh oleh golongan Khawarij dan Muawiyah pula dilantik menjadi khalifah umat Islam dan menjadi pengasas sistem kerajaan Monarki Dinasti Umaiyyah setelah Hassan bin Ali yang cintakan perdamaian bersetuju untuk  tidak memanjangkan lagi persoalan khalifah dan menyerahkan jawatan tersebut kepada Muawiyah.

Peristiwa ini wajar direnungi dan dijadikan iktibar oleh kita semua. Benarkah UMNO ikhlas apabila mengajak PAS dan UMNO berbincang ke arah penyatuan bangsa Melayu sedangkan di dalam kad pengenalan baru sendiri tidak ada tertulis identiti bangsa. Mana perginya bangsa Melayu di dalam kad pengenalan baru? Perkara-perkara sekecil ini UMNO tidak prihatin dan bagaimana pula dengan kegagalan UMNO untuk menguatkuasakan rang undang-undang anti Murtad bagi melindungi umat Islam di Malaysia? Bukankah rata-rata orang Melayu adalah beragama Islam?

Realitinya memang orang Melayu berpecah tetapi orang Melayu di dalam UMNOlah yang berpecah-belah dan berantakan. Penghijrahan beramai-ramai ahli UMNO untuk menyertai PAS dan Keadilan jelas mebuktikan UMNO semakin nazak. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila 60%-70% orang Melayu telah menyokong Barisan Alternatif.

Kebimbangan Mahathir cukup ketara setelah BN tewas pada pilihanraya kecil Dun Lunas baru-baru ini. Implikasinya BN kehilangan majoriti 2/3nya  di Kedah. Penyatuan bangsa Melayu hanya sekadar momokan Mahathir sahaja. Cuba fikirkan bagaimana manusia yang berpecah  kepada dua golongan iaitu golongan yang menghisap rokok dan golongan yang tidak menghisap rokok tetapi masih boleh berkawan serta bersahabat kerana masing-masing bersikap terbuka dan bertolak ansur antara satu sama lain. Begitu juga dengan penyokong pasukan bolasepak Kelantan dan Johor ketika menyaksikan pasukan kesayangan mereka di stadium. Hanya segelintir sahaja penyokong-penyokong yang fanatik yang akan bergaduh atau bertumbuk. Malah pemimpin-pemimpin dari kedua-dua negeri boleh duduk bersebelahan dan turut sama menyampaikan piala serta cenderahati kepada  kedua-dua buah pasukan bolasepak yang berkenaan.

Penyelesaiannya cukup mudah iaitu Mahathir perlu berundur kerana banyak masalah-masalah negara telah ditimbulkan olehnya. Malah kelemahan pentadbiran beliau semakin ketara dari hari ke hari dan banyak dasar-dasar serta polisi-polisi negara yang diperkenalkannya terbukti gagal. Sudah tiba masanya negara kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang baru.  Kecenderungan Mahathir mencetuskan api perkauman juga boleh mengugat kestabilan dan keamanan negara. Walaubagaimanapun trend berpolitik sebegini sudah lapuk dan tidak diterima rakyat kerana kematangan mereka berfikir sesuai dengan peredaran zaman. Semata-mata untuk mempertahankan survival politiknya Mahathir sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia terus berkuasa. Senario sebeginilah yang amat dibimbangi kerana negara akan turut musnah jika terus berada di bawah pemerintahan seorang Diktator dan kesannya sudah dapat dirasai sekarang. Sampai bilakah rakyat harus bersabar?

Dasar Penswastaan dan Pensyarikatan yang diperkenalkan oleh Mahathir ternyata gagal. TNB terpaksa menanggung hutang sebanyak RM27 billion(The Star, Isnin, 18/9/2000) sehingga terpaksa menaikkan tariff letrik. MAS pula mempunyai hutang sebanyak RM9.4 billion.

Perwaja, Proton, Renong, Telekom dan TV3 juga menanggung hutang sebanyak berbillion-billion ringgit. Ini menyebabkan Mahathir terpaksa menggunakan berbillion-billion ringgit wang rakyat untuk membantu kroni-kroninya. Contoh yang terbaru ialah Mahathir telah menggunakan Tabung Wang Pencen(TWP) untuk membiayai pembelian saham MAS bernilai RM1.792 billion dengan kadar RM8 sesaham. Langkah Kementerian Kewangan melalui Perbadanan Kementerian Kewangan(MOF) membeli kembali 29.09% saham syarikat Tajuddin Ramli, Naluri Berhad dalam MAS telah menimbulkan tanda tanya kerana saham MAS cuma diperniagakan sekitar RM3.60 seunit sahaja. Malah 2 minggu sebelum itu, Brunei Investment Agency telah menjualkan sahamnya di dalam MAS dengan kadar RM4 seunit. Apakah Mahathir dan Daim melalui kroninya Tajuddin juga mempunyai saham di dalam MAS? Inilah namanya untung untuk kroni tetapi rugi untuk rakyat dan negara. Sebelum ini kerajaan telah memanipulasikan wang-wang KWSP, Tabung Haji dan Petronas untuk membailout kroni-kroninya.

Konsep Bersih, Cekap dan Amanah(BCA) dan Kepimpinan Melalui Tauladan yang diperkenalkan oleh Mahathir ditenggelami oleh skandal seks dan rasuah yang melibatkan menteri-menteri sama ada peringkat negeri atau kabinet, pegawai-pegawai tinggi kerajaan serta kakitangan-kakitangannya. Ketelusan BPR dan Jabatan Peguam Negara di dalam menyiasat sesuatu kes juga diragui sebagaimana rakyat mempertikaikan kebebasan sistem keadilan di mahkamah dan sikap profesional dan mesra rakyat PDRM.

Dasar Pendidikan Negara pula lebih mengutamakan keuntungan daripada kebajikan rakyat. Kementerian Pendidikan telah mengkormersilkan  sistem pendidikan negara untuk mendapat pulangan yang lumayan. Buktinya, Pengkorporatan IPT dan bercambahnya IPTS  dan program-program francais. Yuran pengajian pula semakin tinggi sedangkan kemudahan asrama atau kolej kediaman siswa dan siswi adalah terhad. Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan SPM yang cemerlang telah ditawarkan untuk meneruskan pengajian di IPTS yang jauh lebih mahal daripada IPTA. Mereka tiada pilihan dan terpaksa menerima tawaran tersebut dan seterusnya terikat dengan perjanjian pinjaman yang besar oleh pihak kerajaan.
Buat masa ini, pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM bagi aliran sains telah di masukkan ke pusat matrikulasi di seluruh negara (12 ribu orang). Kemudian tidak berapa lama selepas itu borang IPTA telah dikeluarkan. Langkah ini tidak rasional kerana pelajar-pelajar tersebut akan kerugian wang mereka kerana disingkirkan daripada pusat matrikulasi sekiranya keputusan SPM mereka kurang memuaskan. Adalah lebih bijaksana jika tawaran dibuat setelah keputusan SPM dikeluarkan.

Siaran TV Pendidikan  tidak lagi disiarkan di TV 2(Saluran Emas) dan kini telah disiarkan di saluran ASTRO. Ini adalah satu pembaziran kerana sekolah-sekolah dikehendaki memasang ASTRO bagi tujuan tersebut. Unsur-unsur negatif juga boleh menular kepada para pelajar kerana tiadanya penapisan di dalam ASTRO. Apakah hanya kerana untuk menonton TV Pendidikan, sekolah-sekolah dimestikan melanggan ASTRO? Hakikatnya ini merupakan langkah Mahathir untuk membantu kroninya kerana ASTRO dimiliki oleh Ananda Krishnan, seorang tokoh korporat dan rakan baik Mahathir sendiri. Berjuta-juta ringgit terpaksa dibazirkan semata-mata untuk membantu kroni kesayangan Mahathir itu.

Konsep Sekolah Wawasan yang sering dilaung-laungkan oleh Kerajaan akan menggabungkan tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil di dalam satu kawasan serta berkongsi pelbagai kemudahan termasuklah kantin dan padang. Tidak sukar difahami mengapa MIC beria-ia benar menyokong cadangan ini. Antaranya  keadaan Sekolah Tamil  sebelum ini adalah cukup daif serta menyedihkan. Kewujudan Sekolah Wawasan akan mencerahkan lagi  masa depan Sekolah Tamil  yang kian malap kerana kerajaan akan mengagih-agihkan peruntukan yang secukupnya kepada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Tamil dan Sekolah Cina. Ketokohan Datuk Seri Samy Vellu sebagai seorang pemimpin kaum India semakin terserlah kerana berjaya membela nasib Sekolah Tamil yang semakin terancam.

Pada waktu yang sama beliau juga akan dapat mengaut keuntungan yang cukup lumayan kerana projek membina Sekolah Wawasan ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Kementeriannya iaitu Kementerian Kerja Raya.

Masyarakat Cina pula khususnya golongan cendekiawan Cina menentang pembinaan Sekolah Wawasan kerana mereka cukup bimbang masa depan Sekolah Cina akan terjejas. Situasi Sekolah Cina adalah jauh berbeza dengan Sekolah Tamil kerana kaum Cina adalah lebih ramai daripada kaum India. Maka ini bermakna bilangan Sekolah Cina adalah lebih banyak daripada bilangan Sekolah Tamil. Apabila Sekolah Wawasan diwujudkan, sudah tentu ianya akan melibatkan satu  kawasan yang  cukup besar sedangkan keperluan tanah adalah terhad. Ini bermakna bilangan Sekolah Cina semakin berkurangan pada masa akan datang dan nasibnya  pula  terumbang-ambing. Hal seperti inilah yang  amat dibimbangkan oleh masyarakat Cina. Bagaimana pula dengan dengan janji kerajaan untuk menaikkan taraf  Kolej Tunku Abdul Rahman kepada  sebuah universiti? Apakah janji ini akan dikotakan sedangkan masa depan Sekolah Cina sendiri belum dapat dipastikan lagi.

Hakikatnya, kewujudan Sekolah Kebangsaan ternyata dapat menyatu-padukan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa biarpun  masih terdapat kelemahannya tetapi ia masih boleh diperbaiki. Alasan kerajaan membina Sekolah Wawasan sebagai satu langkah untuk mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tidak relevan sama sekali.

Isu Bahasa Baku telah dipolitikkan kerana pernah dipopularkan olah Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini menjalani hukuman penjara kerana dianiaya oleh Mahathir dan musuh-musuh politiknya yang lain. Apabila Bahasa Baku dihapuskan akan tiada keseragaman lagi. Dibimbangi  pada masa akan datang rakyat Malaysia akan bertutur dialek atau bahasa loghat kedaerahan masing-masing. Maka perpaduan sukar untuk diwujudkan.

Hakikatnya Bahasa Baku mampu manyatukan rumpun Melayu Nusantara. Kelak apakah Kementerian Pendidikan akan ditukar kepada Kementerian Pelajaran semula?. Bagaimana pula dengan teknologi? Perlukah ditukar kepada teknoloji?

Langkah Kementerian Pendidikan memaksa para siswa dan siswi di IPTA supaya tinggal bersama tanpa mengira bangsa dan agama juga menunjukkan kurangnya kefahaman kerajaan BN tentang ajaran Islam kerana ianya melibatkan persoalan aurat yang selama ini tidak diendahkan sangat oleh kerajaan BN kerana menteri-menterinya dan tidak terkecuali isteri-isteri mereka juga tidak menutup aurat.

Perselisihan Mahathir dengan golongan ulama seperti isu ratu cantik yang membawa kepada pemecatan Mufti Selangor Datuk Ishak Baharum juga menunjukkan sikap kurang hormat beliau terhadap mereka. Kenyataan Mahathir yang dibuatnya tanpa berfikir panjang juga memburukkan lagi hubungan beliau dengan golongan ulama. Kontroversi yang berlaku di The Ship juga membuktikan kurangnya kefahaman Mahathir terhadap ajaran Islam. Sebelum ini Mahathir pernah menghadiri pesta sambutan Tahun Baru sempena alaf baru di KLCC ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dan menjalani Solat Sunat Tarawih.

Gejala-gejala sosial seperti bohsia, bohjan, penagihan dadah, seks bebas, khalwat, sumbang mahram, buang bayi, rogol, penderaan bayi, gangsterisme dan sebagainya menyerlahkan lagi kepincangan dan kelemahan pentadbiran Mahathir. Kes rogol dilaporkan meningkat setiap tahun sedangkan Kementerian Dalam Negeri sekadar membiarkan sahaja VCD-VCD serta majalah-majalah lucah atau separuh lucah dijual secara bebas di tempat terbuka sedangkan KDN cukup agresif membenteras penjualan Harakah di tempat-tempat terbuka. Tidak mustahil pegawai-pegawai di KDN telah menerima rasuah bagi membenarkan penjualan VCD-VCD serta majalah-majalah berunsurkan seks kerana ada  tertera pada buku atau majalah tersebut nombor siri KDN? Permit dibenarkan untuk majalah-majalah lucah? Sungguh menghairankan………….

Kegagalan Mahathir menguatkuasakan rang undang-undang anti murtad juga menunjukkan ketidakprihatinannya untuk membela nasib umat Islam di Malaysia. Marina Mahathir sendiri pernah membantah cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk melaksanakan ujian darah kepada bakal pengantin baru untuk memastikan sama ada mereka menghidapi penyakit HIV atau AIDS ataupun tidak.

Pusat-pusat hiburan seperti disko-disko, pub-pub semakin melambak-lambak. Begitu juga dengan pusat-pusat perjudian dan kilang-kilang arak. Tindakan kerajaan tidak melarang orang Melayu daripada berkunjung ke tempat–tempat sebegini serta minum arak dan berjudi adalah amat dikesali. Sepatutnya kerajaan bertindak menguatkuasakan undang-undang yang melarang umat Islam daripada berkunjung ke disko-disko, minum arak dan berjudi serta melakukan perbuatan-perbuatan maksiat. Kita bukan hendak menyekat hak dan kebebasan orang Bukan Islam tetapi  kita juga perlu memelihara kesucian agama Islam serta penganutnya.

Kawalan keselamatan negara juga semakin longgar dan insiden di Sauk, Sipadan dan Pandanan mengesahkan lagi dakwaan tersebut. Sebelum ini kehadiran armada tentera laut Amerika di perairan Malaysia boleh mengancam kestabilan negara. Malah kebiadapan seorang anggota tentera Marin Amerika yang cuba mencabul kehormatan seorang gadis tempatan lebih memburukkan lagi keadaan.  Sikap sambil lewa kerajaan dalam menangani masalah ini cukup dikesali kerana anggota Marin yang terbabit  dibebaskan dan dibenarkan meninggalkan Malaysia.

Dasar luar negara juga mencurigakan dan penuh tanda tanya. Malaysia ketika menjadi anggota Majlis Keselamatan PBB pernah menyokong usul AS untuk menyerang Iraq dan juga menyokong usul AS untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iraq. Bukankah Malaysia boleh mengambil sikap berkecuali kerana Iraq adalah sebuah negara Islam. Maka atas semangat persaudaraan sesama Islam jika tidak berani menentang usul tersebut wajarlah Malaysia bersikap berkecuali. Begitu juga dengan pertemuan Menteri Luar,  Syed Hamid Albar  dengan rakan sejawatannya dari Israel sedikit masa lalu telah menimbulkan banyak persoalan daripada umat Islam di Malaysia.

Tindakan kerajaan BN membenarkan pemain kriket dan ping pong Israel datang ke Malaysia telah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Malah Haji Mahfuz Omar yang menyertai demonstrasi membantah kehadiran pemain kriket Israel telah dipenjarakan selama  sebulan bersama-sama Pak Amjal dan Salehuddin Ayub setelah mereka enggan membayar denda sebanyak RM1500.

Seterusnya kerajaan telah melantik  sebuah syarikat Yahudi,  Solomon Smith Barney sebagai penasihat ekonomi negara! Khabarnya sebelum ini BN telah mendapatkan khidmat sebuah lagi syarikat Yahudi iaitu Sachi Sachi sebagai penasihat kempen pilihanraya umum.

Kegawatan ekonomi masih lagi belum pulih sepenuhnya. Indeks Komposit berada di bawah paras 700 mata. Ketika mula-mula Mahathir memerintah negara pada awal 80-an hutang negara di sekitar RM20 billion. Kini hutang negara telah meningkat kepada RM156.641 billion (Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2001). Kegilaan Mahathir terhadap projek-projek mewah yang berisiko tinggi dan menelan belanja berpuluh billion ringgit seperti KLCC, Litar Sepang, Empangan Bakun, Lapangan Terbang  Antarabangsa Sepang, Stadium Bukit Jalil dan lain-lain lagi juga memburukkan lagi keadaan. Apalah ertinya KLCC bagi seorang penoreh getah atau seorang penanam padi? Apalah sangat yang hendak dibanggakan dengan terbesar, terpanjang dan terhebat sedangkan hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Malah harga kelapa sawit dan getah turun menjunam sejajar dengan kenaikan harga-harga barang runcit, minyak, tambang bas dan teksi.

Krisis terbaru berlaku lambakan beras di pasaran kerana Bernas sibuk mengaut keuntungan yang lumayan hasil penjualan beras-beras import. TNB pula berura-ura menaikkan tariff letrik dan Telekom berkira-kira untuk menaikkan caj panggilan tempatan dan mengurangkan caj panggilan antarabangsa.

Petronas pula akan menaikkan harga gas asli dan Persatuan Pengusaha Bas-Bas Sekolah menunggu dengan sabar lampu hijau daripada kerajaan untuk meluluskan permintaan mereka menaikkan tambang bas sekolah. Jelas yang menderita adalah rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai. Mahathir dan kroni-kroninya pula akan hidup senang di bawah penderitaan rakyat. Samy Vellu masih mampu melangsungkan perkahwinan anaknya yang dianggarkan kosnya  sebanyak RM1juta.

Kerajaan sanggup membelanjakan hampir RM1.8 billion untuk membantu kroninya, Tajuddin Ramli sebaliknya bersikap kedekut dan buruk siku dengan menarik balik pemberian royalti bernilai RM1.4 billion kepada Terengganu. Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan paras harga petroleum bagi tempoh 6 bulan pertama 2000, dianggarkan tidak kurang RM700 juta hasil royalti minyak dirampas Kerajaan Pusat. Sikap kedekut kerajaan BN yang hanya membayar 39 sen untuk setiap satu kaki persegi tanah di Putrajaya sebagai pampasan kepada Selangor sedangkan tanah Putrajaya yang dinilai mengikut harga semasa antara RM50 ke RM100 kaki persegi. Maka pampasan yang diterima  Selangor untuk tanah seluas 4,930 hektar itu adalah RM200juta sedangkan Selangor sepatutnya menerima RM25.78 billion. Oleh itu gelaran pemberian ehsan sepatutnya dipegang oleh Selangor dan bukannya Terengganu berdasarkan sikap pemurah negeri Selangor Darul Ehsan dan Menteri Besarnya Khir Toyo.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kegawatan atau kelembapan ekonomi negara jika berterusan akan meningkatkan lagi kadar inflasi serta kadar pengangguran di negara ini. Setakat ini belum ada tanda-tanda ekonomi negara akan pulih dalam jangka waktu yang terdekat. Kecenderungan kerajaan membantu kroni-kroninya akan memperlahankan lagi kadar pertumbuhan negara dan memerlukan lebih banyak penggunaan wang rakyat.

Selama ini MCA yang mendapat sokongan majoriti  kaum Cina menjadi tangan kanan UMNO dan masih setia di sisi UMNO ketika susah mahupun senang. Isu Suqiu dan Sekolah Wawasan membuatkan MCA perlu untuk menimbangkan kedudukannya di dalam kerajaan BN. Kaum Cina telah memberikan isyarat kepada MCA ketika pilihanraya kecil Dun Lunas baru-baru ini dan sudah tentu ianya difahami oleh pemimpin-pemimpin MCA.

Kegagalan Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik membela nasib Sekolah Cina akan menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin Cina sedangkan ketika ini ada suara-suara di kalangan ahli-ahli MCA yang mendesak beliau supaya meletakkan jawatannya. MCA juga perlu sedar bahawa bukan sahaja nasib Sekolah Cina yang akan tergugat malahan juga nasib MCA sendiri di dalam Barisan Nasional kian meruncing. Hakikatnya, UMNO sedang mengawasi dan memantau  segala perkembangan  yang berlaku di dalam MCA dari masa ke semasa kerana bimbang dengan peningkatan pengaruh MCA selepas Pilihanraya Umum 1999. Permintaan MCA supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang diberikan kepadanya  dan  jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet ditambah lagi  tidak diendahkan oleh UMNO. Kenyataan pemimpin-pemimpin MCA yang secara melulu cuba memainkan sentimen keagamaan kebelakangan ini cukup membakar perasaan umat Islam di Malaysia termasuklah ahli-ahli UMNO sendiri. Namun begitu, UMNO  masih belum dapat mengambil tindakan ke atas MCA kerana sibuk memerangi musuh tradisinya PAS. Maka selepas PAS berjaya ditundukkan, UMNO akan menjadikan MCA sebagai medan tempur mereka.

MCA perlu sedar betapa ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah berjasa kepada UMNO disingkirkan begitu sahaja seperti Datuk Harun Idris, Tun Ghaffar Baba, Tan Sri Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inikan pula MCA yang dari hari ke hari semakin mengugat kedudukan UMNO di persada politik tanahair. Mahathir  sendiri pernah memberikan gula-gula kepada MCA dengan mengatakan bahawa Bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia di Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini.

Rakyat semua sudah sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar sendiri pernah dijanjikan akan menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri dan apa yang berlaku kepadanya selepas itu cukup menyedihkan. MCA wajar merenungi perkara ini dengan sedalam-dalamnya. Ingatlah! Jerat tidak akan melupakan pelanduk tetapi pelanduklah yang sering melupakan jerat.

Ketika MCA sedang galak menyerang Barisan Alternatif  dan melaga-lagakan PAS dengan DAP, kedudukan MCA di dalam Barisan Nasional kian terancam. UMNO sekadar memperalatkan  MCA untuk membelasah Barisan Alternatif. Lebih menyedihkan MCA masih belum menyedari hakikat ini dan pada waktu yang sama MCA sibuk mendesak DAP supaya keluar daripada Barisan Alternatif.

Salakan MCA ini ibarat anjing menyalak bukit. Kini, sudah sampai masanya MCA menyertai Barisan Alternatif  jika benar-benar ingin memperjuangkan nasib kaum Cina. Sedarlah!  Sekolah Wawasan hanyalah gimik UMNO untuk menggelabui mata MCA. Tidak mustahil nasib yang dialami oleh MCA selepas ini adalah jauh lebih teruk jika dibandingkan dengan nasib yang menimpa parti-parti komponen di dalam Barisan Alternatif. Tidak sukar untuk menjangkakan apakah yang akan berlaku kepada MCA kelak. Walaubagaimanapun peranan MCA masih diperlukan untuk  turut sama menangani sentimen perkauman dan keagamaan yang cuba dimainkan oleh Mahathir supaya perbalahan di antara kaum tercetus. Masih ada ruang dan waktu untuk MCA sedar dan insaf. Tindakan yang bijak dan rasional ialah MCA bersedia menyertai Barisan Alternatif dan ini akan mebuka mata rakan-rakan komponen di dalam BN untuk mengikut jejak langkah MCA.

Kesimpulannya, cukup banyak kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia bernama Mahathir di muka bumi Malaysia yang tercinta ini. Parti UMNO yang diterajui beliau semakin kehilangan pengaruhnya di kalangan bangsa Melayu dan kini UMNO lebih sinonim dengan istilah Under Mahathir No Objection. Ringkasnya sindrom Yes Man atau Pak Turut telah melanda ahli-ahli UMNO.

Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama perlu bersatu-padu  untuk menumbangkan kerajaan yang korup dan zalim ini. Seruan Undur Mahathir Undur perlu dikumandangkan di seluruh pelusuk negara. Marilah kita bersama-sama menanamkan tekad dan azam pada tahun baru ini untuk menjatuhkan Mahathir daripada singgahsananya. Ingatlah! Perjuangan ini bukan perjuangan bangsa Melayu sahaja. Kaum Cina sendiri telah mula sedar dan kesedaran ini perlu dirasai oleh seluruh warga Malaysia yang berbilang bangsa.

Saya sebagai orang kampung Pulau Tawar ingin menyeru penduduk kampung Pulau Tawar khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya bangkit menentang kezaliman yang telah dilakukan oleh Mahathir terhadap kita. Contohilah Mat Kilau, pahlawan kebanggaan kampung kita yang cukup gah namanya di pelusuk negara kerana keberanian dan kegagahannya menentang penjajah British. Bersama-samalah kita berjuang untuk mempertahankan keharmonian dan keamanan yang telah kita kecapi sekian lama.Takbir!

Utusan dari Pulau Tawar