Tolak Pelawaan Mahathir - Tahniah Kepada Pimpinan KeADILan 

oleh: Awang Siber 

Keputusan menolak pelawaan Mahathir berbincang perpaduan Melayu oleh kepimpinan KeADILan amat dialu-alukan. Ini adalah keputusan hati nurani seluruh rakyat Malaysia yang dinanti-nantikan.

Saya mengucapkan tahniah diatas keputusan yang dibuat dan ingin memberitahu beberapa insiden yang berlaku akhir-akhir ini.

1.  Surat yang dihantar oleh Mahathir bukan atas kapasiti beliau sebagai Presiden UMNO tetapi sebagai Perdana Menteri. Surat yang dihantar hanya meminta Ustaz Fadhil dan Kak Wan mengesahkan laporan akhbar samaada benar Ustaz Fadhil dan Kak Wan bersetuju berbincang pasal perpaduan Melayu dengan dia.

2.  Mesyuarat Pengurusan UMNO akan meminta Mahathir bersetuju membuat perbincangan dengan PAS dan KeADILan sekembali beliau dari Myammar sedangkan surat jemputan sudah dihantar oleh Mahathir tanpa disedari oleh Dollah Badawi dan Pengurusan UMNO pada 2hb. Januari. Siapa nak tipu siapa? Atau sengaja Mahathir tak mahu Dollah Badawi mendapat kredit dalam urusan ini. Dollah cuba dapat politikal mileage dari kenyataan-kenyataan beliau dan  menggunakan GPMS untuk menggembar-gemburkan isu perpaduan Melayu ini. Ini membuktikan bahawa UMNO awal-awal lagi berpecah dalam menangani isu perbincangan perpaduan Melayu ini.

3.  Penarikan tuntutan SIQUI dua tiga hari lepas amat mencurigakan dan difahamkan bahawa beberapa ahli jawatankuasa SIQUI digertak dan ditekan oleh pihak polis supaya bersetuju untuk menangguh sementara tuntutan mereka bagi memberi kemenangan awal kepada UMNO sebelum bertemu dengan PAS dan KeADILan. Penangguhan tuntutan Siqui digembar-gemburkan sebagai penarikan tuntutan mereka. Ini adalah satu pemutarbelikan kenyataan sebenar oleh media UMNO semata-mata untuk mengelirukan rakyat atau masyarakat Melayu. Dengan tidak semena-mena Hishamuddin digambarkan sebagai hero dalam perundingan ini sedangkan polis yang menjalankan kegiatan tidak bertanggongjawab mengugut perunding-perunding Siqui.

4.  Akibat persetujuan penarikan tuntutan SIQUI ini pertubuhan Siqui hampir pecah kerana ramai AJK dan ahli mereka marah diatas tindakan tidak bertanggong jawab para perunding mereka untuk tunduk kepada tuntutan UMNO secara paksaan. Dan ini yang diharap-harapkan akan berlaku kepada PAS dan KeADILan sekiranya bersetuju berunding dengan Mahathir. 

5.  Orang Melayu tidak berpecah tetapi beranjak sokongan mereka dari UMNO kepada Barisan Alternatif. Jadi isu perpaduan atau perpecahan Melayu tidak timbul sama sekali. Orang Melayu lebih bersatu dalam tuntutan mereka untuk pembelaan yang lebih bermakna kepada masyarakat mereka di bawah Barisan Alternatif.

6. UMNO memerlukan ruang untuk 'consolidate' kedudukan mereka yang lumpuh akibat diserang oleh panglima-panglima Barisan Alternatif baik di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Jalanraya, Ceramah dan sebaginya dan perbincangan isu perpaduan Melayu akan dieksploitasi semaksima mungkin untuk mengembalikan kekuatan mereka.

7. Dengan menggembar-gemburkan isu perbincangan perpaduan Melayu rakyat akan dilarikan dari isu sebenar yang melanda negara, iaitu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, ketidakadilan, dan keporakperandaan ekonomi negara.

8.  UMNO yang menghadapi pemilihan Bahagian akan dilarikan dari membincang masaalah sebenar yang melanda pertubuhan mereka iaitu 'Mahathir is a liability to UMNO' dan mesti letak jawatan sebagai Presiden demi menjaga agenda perbincangan perpaduan Melayu diantara UMNO, PAS Dan KeADILan. Melalui perbincangan ini Mahathir akan diselamatkan dari tuntutan  ahli akar umbi UMNO supaya beliau letak jawatan.   

9.  Isu ini juga diharapkan oleh UMNO untuk menutup kekejaman dan kezaliman mereka terhadap pemimpin teragong Melayu Sdr. Anwar Ibrahim dan rakyat Negeri Terengganu yang 95% terdiri dari orang Melayu oleh orang Melayu sendiri. Sebenarnya isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu hari ini ialah Melayu menzalimi Melayu sendiri dan Melayu memiskinkan orang Melayu sendiri. 

10. Barisan Alternatif tidak rugi apa-apa sekiranya perbincangan ini tidak jadi. Mungkin Media UMNO akan mengutuk KeADILan tetapi penyokong mereka sudah bersedia dan sudah biasa dengan situasi sedemikian.

Sekian untuk sementara waktu dan bertemu lagi di ruangan yang lain.

Wassallam.

Salam perjuangan dari: Awang Siber