KOMENTAR

 

2 Ogos 2000

Salam Reformasi

 

MENGULAS TULISAN FATHI ARIS (MALAYSIA KINI) tulisan asal Fathi dalam Malaysia Kini klik sini

 

Selamat Jalan Sdr Anwar Ibrahim, begitulah kata-kata akhir pada tulisan Sdr Fathi Aris dari Malaysia Kini dalam artkel terbarunya. Tulisan beliau mampu memberi satu ribu satu interpretasi tetapi tulisan tersebut dapat diertikatakan dengan tepat oleh mereka yang sedang lena memerintah parti, tahu senario sebenar parti, berada ditengah-tengah kepimpinan tertinggi parti TETAPI masih tidak mampu menjana angkatan baru agar jeritan reformasi menjadi lebih berkesan dan padu lagi. Selamat Jalan Sdr Anwar dipetik oleh Komentar kerana kesedaran bahawa laungan REFORMASI seharusnya disemarakkan keseluruh negara dan ianya terus dilaungkan selagi keadilan masih dibelenggu pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab.. Kita harus meneruskan gerakan Reformasi.Kita tidak akan berjaya dengan mengikuti gaya dan rentak tarian Dr Mahathir. Mengikuti gaya dan rentak Dr Mahathir akan hanya mengagalkan perjuangan dan dengan kegagalan ini maka Sdr Anwar Ibrahim sudah tentu akan terus terpenjara angkara kerakusan dan ketamakan kepimpinan negara ini.

 

Tulisan Fathi Aris seakan satu tangisannya kerana Laungan Reformasi sudah hampir sejuk lantas  kesejukkan ini   mampu membunuh semangat juang rakyat kita. Tangisan ini seakan merayu agar laungan REFORMASI tersebut dijadikan wadah perjuangan setiap kita yang nampak, sedar dan merasai kezaliman kepemerintahan negara ini khususnya perbuatan Dr Mahathir dan kuncu konspiratornya. Sedu dan tangis ini akan menjadi dosa bagi kita yang melihat tanpa melaksanakan pembaharuan keatas mereka yang  menyamar dalam menuntut reformasi tetapi berselirat agenda-agenda yang mementingkan diri sendiri lantas membunuh satu perjuangan yang suci. Aliran perjuangan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim memang sudah jelas. Tuntutan Reformasi yang dibangkitkan oleh nya diterima rakyat. Malang beliau tidak ada lagi untuk menentukan arah dan langkah secara bebas. Beliau dikurung kerana suara beliau menjadi musuh orang-orang yang zalim dan kejam. Perjuangan itu diteruskan oleh kita yang turut menyedari akan kepincangan pemerintah sekarang ini. Namun setelah hampir 2 tahun insiden kejam ini berlaku kita masih belum nampak proses keadilan itu terbela di Malaysia. Kita masih belum nampak perlakuan zalim terbalas. Apa yang dilihat oleh Sdr Fathi Aris ialah kesejukkan dan kedingin yang bakal melanda gerakan reformasi rakyat. Sungguhpun dokongan reformasi itu tidak akan terhakis tetapi andainya ia tidak dijanakan dengan laungan menuntut perubahan secara aggresif maka lambat-laun ianya akan terjerat dalam lipatan sejarah kita.

 

Amatilah tulisan tersebut dan sedarlah hanya pada kita kezaliman yang diperlakukan keatas Sdr Anwar Ibrahim dapat dihentikan.

 

Komentar