PERLANTIKAN MOHTAR SATU SINDIRAN KEPADA RAKYAT

Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia (APPRM) membantah sekeras-kerasnya perlantikan Mohtar Abdullah sebagai Hakim mahkamah Persekutuan.

Mohtar Abdullah, sebelum ini bertugas sebagai Peguam Negara masih belum menjelaskan dirinya dalam beberapa dakwaan salah laku yang telah dilaporkan terhadapnya.

Kesanggupan Mohtar untuk dijadikan alat kerajaan BN untuk mendakwa orang-orang yang dianggap sebagai musuh kerajaan serta keengganan beliau untuk mendakwa orang-orang yang dilaporkan melakukan rasuah kerana mereka ini merupakan kroni-kroni kerajaan BN jelas menunjukkan beliau adalah orang tidak layak dilantik menjadi seorang hakim apatah lagi hakim persekutuan.

Kegagalan Mohtar untuk melakukan tugasnya secara adil dan sikapnya yang nyata berat sebelah dan memihak kepada kerajaan BN Dr Mahatir telah menimbulkan kemarahan rakyat keseluruhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kini perlantikannnya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan seolah-olah menguji tahap kesabaran dan toleransi rakyat terhadap ketidakadilan dan keruntuhan sistem kehakiman negara.

Ketika rakyat mula menaruh harapan semula dalam sistem penghakiman yang dianggap runtuh dan tidak bebas, perlantikan Mohtar adalah seolah-olah satu sindiran kepada rakyat.

Perlantikan ini adalah satu langkah mundur ke belakang. APPRM menyeru orang ramai untuk mendaftarkan protes mereka terhadap perlantikan Mohtar ini secepat mungkin.

Segala dakyah kerajaan BN terhadap perpaduan negara tidak membawa apa-apa makna sekiranya institusi-institusi negara masih diperalatkan secara terbuka.

APPRM berharap supaya Ketua Hakim Negara tidak berasa takut dan rasa tertekan dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk membawa suatu perubahan yang positif dan mengembalikan nama baik badan kehakiman yang kini sudah terjejas teruk.

Latheefa Koya
Setiausaha Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia
25 Januari 2001