Anwar enggan terima rawatan
jika halang keluarga ziarah
Oleh Zunar
Kuala Lumpur 27 Nov (Hrkh) -Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim membantah tindakan pihak penguasa yang tidak membenarkan keluarga beliau
melawat beliau yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur ( HKL ).
Anwar dirawat di wad 28 hospital tersebut kerana mengadu sakit belakang. Pagi
tadi Anwar menjalani rawatan terapi yang memerlukan tangannya diikat dengan
pembalut dan kakinya diikat dengan bahan pemberat.
Menurut peguam Sankara N Nair, Anwar membantah keras peraturan menghalang
lawatan ahli keluarganya dan tidak akan menerima sebarang rawatan selagi
peraturan itu ditarik balik.
"Anwar memberi tempoh hingga pukul empat petang ini kepada pihak berkuasa
untuk mengkaji balik peraturan tersebut. Sekiranya ia terus dikekalkan, Anwar
tidak teragak agak untuk memulau rawatan di hospital tersebut malah akan
bertindak membuka balutan tangan dan bahan pemberat dikakinya sebagai tanda
bantahan," Kata Sankara.
Menurut Sankara lagi keadaan Anwar agak serius dan beliau menjangkakan Anwar
terpaksa dirawat sekurang-kurangnya sebulan lagi. Anwar kini terpaksa diletakkan
di atas kerusi roda.
Perbicaraan rayuan kes pertama Anwar yang sepatutnya dibicarakan pagi tadi
ditangguhkan ke pada 11 Disember ini. Anwar dimasukkan ke HKL sejak semalam
mengadu sakit tulang belakang.
Minggu lepas Anwar menjalani rawatan sakit yang sama di HKL dan Hospital Besar
Selayang. MIR scan yang dilakukan oleh doktor menunjukkan Anwar mengalami '
Slipped ProLapse Disc' iaitu sakit yang melibatkan bahagian belakang dan
pinggang seseorang.
Pada Januari 1999, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor mengaku menumbuk
mata Anwar berkali-kali dalam lokap polis Bukit Aman dalam keadaan mata terikat
dan tangan bergari.
Tumbukan itu dikatakan menyebabkan Anwar tersentak dan terjatuh ke belakang.
Laporan doktor kepada Suruhanjaya DiRaja yang dibentuk untuk menyiasat kejadian
itu memperakukan bahawa serangan tersebut amat serius dan boleh mengakibatkan
maut.