Tidak Ramai Yang Berani Menegur

(Pendapat Tarmizi Di Sokong)

 

Analisis : Mohd Ihsan Sungai Besi

 

Ramai penulis yang ada idea. Tetapi tidak ramai yang berani melontarkan idea. Lebih-lebih lagi, sejak dahulu hingga sekarang, semakin ramai anak muda semakin hilang keberanian.

Dalam Umno, parti Melayu yang didakwa terbesar dari jumlah keahliannya, keberanian sudah hilang. Mereka hilang keberanian seperti Sultan Melaka kehilangan Keris Taming Sari.

Mereka yang berani dalam Umno semuanya terpaksa merengkok dalam penjara atau, terpaksa dengan rela atau tidak meninggalkan parti itu.

Hari ini, anak-anak muda yang berada di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu ada idea dan perlu berani melontarkan idea itu. Soal pemimpin PAS boleh terima atau tidak, bukan penting tetapi masih adakah yang berani menjadi tidak popular… adalah lebih penting.

Membaca komentar Tarmizi Mohd Jam TMJ), para pendokong PAS perlu berlapang dada, terbuka minda dan bersedia menerima teguran. Kebimbangan yang dilontarkan TMJ sebenarnya kebimbangan ramai orang, khususnya penyokong di peringkat bawahan.

Mereka tidak mahu pemimpin PAS yang suatu ketika terkenal kerana berani, banyak idea dan berjuang menentang kemungkaran tiba-tiba “berlagak” seperti kaduk naik junjung. Ini bukan tuduhan tetapi ini andaian.

Bermain dengan politik, sedikit sebanyak ia merupakan perebutan kuasa. Benar, peringkat awal hanya menegur dan menentang kemungkaan tetapi setelah menyertai pilihan raya, kemenangan hendaklah dianggap sebagai amanah dan bukan anugerah.

Melambai-lambai tangan kepada penyokong dan sukar untuk ditemui boleh menyebabkan rakyat salah tafsiran. Nantinya mereka memikirkan “sama sahaja manusia ini. Baik dalam Umno atau PAS, bila dapat tempat sedap, ada kereta mewah dan banyak kemudahan, perangai mereka berubah.”

Mereka akan memikirkan PAS sama dengan Umno. Ini bahaya. Kedua-dua parti ini mempunyai perbezaan yang amat jauh. Dulu, ketika Umno baru ditubuhkan, pemimpin dicari untuk memimpin. Tetapi bila mereka tahu ada habuan material jika menang jawatan dalam parti, dan ada peluang jadi wakil rakyat, mereka mula main politik wang, memberi rasuah dan terlibat dengan pelbagai agenda mungkar.

Ingat! Untuk menang, PAS mungkin terpaksa bersabar 30 hingga 40 tahun. Tetapi untuk bertahan, tidak mustahil mereka sudah tidak mampu bersabar.

Ujian Allah SWT boleh diberikan dalam bentuk kesusahan dan mungkin juga kesenangan. Ada yang boleh bersabar dan istiqamah ketika susah tetapi berubah sedikit demi sedikit apabila senang. Anak-anak dan isteri sudah menuntut itu dan ini kerana “sudah puas bersabar dalam susah” dan “inilah masanya untuk menikmatinya.”

Ini bahaya dan jika tidak diuruskan secara baik, ia akan hilang dalam sekelip mata. PAS boleh sahaja tumbang hanya sikap seorang dua wakil rakyatnya (YB) yang lupa daratan. Rakyat tidak perlu marahkan kesemua pemimpin PAS untuk menjatuhkan PAS. Cukuplah dengan rasa ‘getek’, menyampah dan meluat kepada seorang dua yang “tidak sedar diri”.

Banyakkan tulisan seperti TMJ. Ingat mengingati memang disuruh Allah SWT. PAS bukan parti yang didokong para malaikat tetapi manusia biasa. Cuma ada beberapa pemimpin yang benar-benar tinggi tahap keulamaan dan menghayati erti perjuangan.

Namun, sebahagian besar masih mengejar sesuatu. Hati mereka condong kepada kebendaan. Bila ada peluang, mereka tidak akan lepaskan. Ini bahaya dan Umno memang menunggu peluang untuk mengeksploitasikannya.

Kata sesetengah orang Umno, “kita boleh masuk pusat hiburan sebab kita orang Umno tetapi orang-orang PAS lain. Lalu depan pusat hiburan seperti dangdut pun tak boleh.” Maknanya, tafsiran orang, pemimpin PAS itu mestilah yang terbaik dari segi kewarakannya dan tidak boleh mengulangi dosa-dosa kecil termasuk bermegah-megah, sayangkan harta dunia dan cintakan jawatan.

Semoga TMJ mendedahkan sambil menegur. Sama-sama kita mencari jalan keluar jika ia sudah mendarah daging. Matlamat untuk menambah satu atau dua negeri lagi selepas pilihan raya 2004 mestilah sampai. Jangan nanti, “yang dikejar tak dapat, yang dikendung pula berciciran.”

 

Mohd Ihsan Sungai Besi, Kuala Lumpur