Oleh Pena Suasa

 

Dollah Kok Lanas Mengampu

 

BEKAS Timbalan Menteri yang pernah ditahan di bawah ISA kerana dipercayai terpengaruh dengan komunis, Tan Sri Abdullah Ahmad sudah memulakan langkah mengampu Dr. Mohamad Khir Toyo yang baru dilantik menjadi MB Selangor.

Dalam masa yang sama, Abdullah Kok Lanas juga mengampu Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Sama-sama kita tengok, apa projek dan kawasan tanah mana yang Abdullah sedang minta. Inilah Abdullah sebenarnya, mengampu sesiapa sahaja yang ada jawatan, kerana mencari peluang untuk berniaga dengan pengaruh tulisannya dan ampu-ampuan.

Dahulu, ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia dengan bangganya menulis “Anwar Lulus Ujian” kerana kehebatan Dato’ Seri Anwar ketika di PBB.

Selepas itu, apabila Abdullah Ahmad Badawi yang lemah menjadi Timbalan Perdana Menteri, dia mengampu Abdullah Badawi dengan tulisannya mengenai “Tragedi Sauk” kononnya kehebatan Abdullah Badawi mampu menyelesaikan masalah “Sauk” melalui telefon bimbit sahaja.

Ketika pemilihan Umno berlangsung 11 Mei 2000 lalu, dia menulis di semua akhbar, Melayu dan Inggeris kononnya (Perdana Menteri) mahukan Najib Tun Razak, Osu Sukam dan Ghani Othman sebagai Naib Presiden yang baru.

Lebih dahsyat lagi, Abdullah Kok Lanas yang dipercayai masih ‘dipengaruhi komunis’ ini meramalkan Ghani bakal Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia. Cuba jengah-jengah, Abdullah Kok Lanas sedang berniaga apa di Johor?

Jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif NST menjadikan dia mendapat ‘flatform’ mudah untuk berniaga. Dia tidak punya kemampuan kecuali kedekut. Dia tidak ada kepakaran berniaga, kecuali mengampu melalui tulisan-tulisannya yang terpaksa disiarkan dalam media massa yang semakin kurang jumlah edarannya.

Bekas tahanan ISA kerana kesalahan terpengaruh ism komunis ini tahu, dia akan mudah berniaga jika tulisan ampu-ampuannya diterima oleh Menteri Besar Johor, Menteri Besar Selangor dan Perdana menteri yang sudah terlalu lama memerintah.

Sesiapa sahaja, khususnya para penyokong dan pendokong Barisan Alternatif (BA) mestilah berhati-hati dengan ‘komunisism’ ini.

Abdullah Kok Lanas sebenarnya bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dia yakin, dia lebih baik dari Dr. Mahathir dan dia lebih baik dari Tengku Razaleigh Hamzah. Cuma, bila dia kalah di Kok Lanas dan kemudiannya, Umno Bahagian Kok Lanas dihapuskan, Dr. Mahathir melantiknya menjadi ‘special envoy’ ke PBB. Dr. Mahathir memang mahu membunuh karier politik Abdullah. Abdullah sedar dan ini menyebabkan dia harus menjadi penulis yang kuat mengampu, seperti mana yang dilakukan Senator Zainuddin Maidin, untuk terus hidup.

Dia berjaya kerana Dr. Mahathir yang memang suka pengampu melantiknya sebagai Pengarah Eksekutif NST selepas menamatkan tugas di PBB tidak lama dahulu.

Abdullah Kok Lanas masih yakin, dia mungkin dapat jadi Menteri melalui kerusi Senator jika dia terus menulis dengan ayat-ayat; “Pemikiran Dr. Mahathir terlalu hebat, terlalu jauh dan terlalu mendalam terhadap orang-orang Melayu… yang dikagumi… dan yang luar biasa …. Dan sebagainya. Dia masih yakin, dengan ampu-ampuan itu, dia akan dapat sesuatu.

Dia sudah nampak, Shahidan Kassim yang kuat mengampu boleh jadi Menteri Besar selama dua penggal.

Dia sudah nampak, Ibrahim Ali mengampu menyebabkan dapat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dia nampak, Dato’ Rais Yatim yang kalau bercakap membeliakkan biji matanya mengampu kemudian dilantik menjadi Menteri.

Dia nampak, Ali Rustam yang tidak tahu apa-apa kecuali mengampu dapat kerusi Ketua Menteri Melaka.

Abdullah Kok Lanas sudah tahu, Dr. Mahathir hanya mahu diampu. Kalau bersyarah, dia mahu ditepuk. Kalau bercakap, mesti angguk dan setuju. Ini Dollah Kok Lanas mahu lakukan. (PS)