Teks Perbahasan Sokongan Usul Tergempar

Oleh YB. Sdr. Abd Rahman bin Yusof

Ahli Parlimen Kemaman

Keganasan dan Penyalahgunaan Kuasa Oleh Polis

Usul di Bawa Oleh YB Sdr. Mahfuz Omar - Pokok Sena

 

 

Dato` Yang diPertua,

 

Saya bangun hari ini untuk menyokong usul yang dibawa oleh YB dari Pokok Sena berhubung keganasan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis pada 5hb. November 2000.

 

Dato' Yang di Pertua,

 

Didalam Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan, rakyat dijamin hak mereka untuk mengadakan perhimpunan secara aman.

 

Dibawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat Bangsa-Bangsa Bersatu 1948, rakyat mesti diberi hak mengadakan perhimpunan secara aman, bersuara dan berpersatuan.

 

Amalan demokrasi tidak lengkap tanpa hak mengadakan perhimpunan secara aman

 

Dato` Yang diPertua,

 

Pada 6hb. September 2000, satu permohonan untuk mengadakan perhimpunan secara aman pada 19 september 2000 di Stadium Bukit Jalil telah ditolak dalam masa 15 minit.

 

Pada 20hb. September 2000, satu lagi permohonan telah dibuat ditempat yang sama untuk mengadakan perhimpunan aman pada 29 hb Oktober 2000 juga ditolak 5 hari kemudian.

 

Oleh kerana tempat awam yang mempunyai segala kemudahan agar perhimpunan ini berjalan secara teratur, lancar dan aman tanpa diganggu gugat oleh mana mana anasir yang tidak diingini ditolak, maka keputusan telah dibuat untuk mengadakannya disebuah kawasan persendirian di Jalan Kebun, Syah Alam, Selangor.

 

Tempat ini jauh dari tempat tempat awam dan sudah banyak perhimpunan dan ceramah telah diadakan disini sebelum ini. Tidak ada satu peristiwa keganasan pun berlaku sebelum ini. Yang ada mungkin titisan darah dari gigitan nyamuk dan pacat sahaja.

 

Dato` Yang diPertua,

 

Pada 3hb. November 2000, polis Syah Alam telah diberitahu akan perhimpunan aman yang akan diadakan pada 5hb November 2000, di Jalan Kebun , Syah Alam agar polis dapat memberi kerjasama mempastikan perhimpunan ini berjalan dengan lancar dan aman.

 

Segala keperluan peraturan dan undang undang telah dipenuhi sebelum perhimpunan diadakan supaya kami tidak dipersalahkan melanggar undang undang dalam menuntut hak kami untuk berhimpun secara aman.

 

Dato` Yang diPertua,

 

Pada petang 4hb November 2000, harapan kami untuk mendapat kerjasama dari pihak polis rupa rupanya menjadi pencabulan oleh pihak polis dimana, tuan rumah bersama dengan lima oang lain ditangkap dianjung rumahnya sendiri belum pun lagi perhimpunan bermula. Semasa mereka ditangkap tidak ada perhimpunan pun berlangsung pada ketika itu dan mereka ditangkap dalam rumah dan kawasan mereka sendiri hingga hari ini.

 

Gerai gerai orang kampung, peralatan peralatan pembesar suara dan khemah khemah dikawasan persendirian diroboh dan dicerobohi oleh pihak polis.

 

Atas peruntukan kuasa apa yang mereka boleh melakukan perkara sedemikian ?

 

Perlu diingatkan bahawa beberapa peruntukan dalam Akta Polis bercanggah dengan perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan hak mengadakan perhimpunan secara aman. Kebanyakkan peruntukan peruntukan ini diluluskan semasa negara berada dalam keadaan darurat.

 

Saya ingin bertanya dalam Dewan yang mulia ini, apakah megara kita berada dalam keadaan darurat? Sekiranya tidak mengapa peruntukan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan digunakan untuk mencabuli hal asasi rakyat.

 

Negara Negara Asia Timur yang lain seperti Taiwan, Korea Selatan dan Indonesia memberi kebebasan kepada rakyat mereka mengadakan perhimpunan secara aman. Mereka tidak perlu mendapat permit polis seperti mana yang dikehendaki oleh negara kita. Mereka hanya perlu memberitahu polis supaya mereka dapat mengawal lalu lintas dan menjaga keamanan awam. Apakah negara kita makin terkebelakang ? Bagaimana kerajaan BN boleh membohongi rakyat bahawa hak mereka terjamin dalam perlembagaan.

 

Malah Singapura pun menyediakan satu kawasan "speaker corner" untuk rakyat berhimpun dan bersuara. Mengapa kerajaan BN tidak bersedia melakukan perkara sedemikian?

 

Dato Yang diPertua,

 

Pada 5hb November 2000, polis menyekat semua laluan menghala ke Jalan Kebun, Syah Alam. Akibatnya berlaku kesesakan lalu lintas dilebuhraya Kesas dan Lebuhraya Persekutuan. Tindakan polis menyekat lalulintas ini menyebabkan orang ramai tergendala dalam urusan mereka.

 

Siapa yang menyebabkan kesusahan kepada rakyat ? Mengapa polis dengan sewenang wenangnya boleh menghalang kemudahan awam digunakan oleh rakyat ?

 

Satu pasukan perunding dihantar untuk membenarkan rakyat menggunakan jalanraya Kesas tetapi dienggani oleh polis. Maka berlakulah perhimpunan dijalanraya Kesas. Siapa yang bersalah yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang begitu panjang disepanjng jalanraya Kesas dan Persekutuan ini. Polis patut dipersalahkan kerana merekalah yang menghalang semua lalulintas melalui lebuhraya Kesas ini.

 

Dato' Yang diPertua,

 

Apabila perhimpunan dijalanraya bersurai, polis telah bertindak ganas dengan melepaskan tembakan air asid , gas pemedih mata dan menangkap beberapa orang didalam perhimpunan tersebut.

 

Mengapa polis bertindak sedemikian? Apabila perhimpunan bersurai secara aman, polis pula bertindak ganas dengan melepaskan gas pemedih mata dan air asid dan menangkap mereka yang sedang bersurai.

 

Setakat ini 116 orang ditahan dibeberapa lokap polis disekitar Kelang.

 

Semasa majistret mahkamah mengadakan perbicaraan untuk tahanan reman dikawasan yang dikhaskan pada 7 November 2000 tahanan tahanan ini menceritakan pelbagai peristiwa kekejaman yang berlaku terhadap mereka.

 

Sebuah trak yang dimuatkan seramai 41 orang tahanan dilepaskan gas pemedih mata sebanyak tiga kali kedalam trak tersebut sehingga berlaku kesesakan nafas, berdarah hidung dan seorang hampir buta mata.

 

Ada yang terkena tembakan Kannister gas pemedih mata sehingga dimasukkan ke wad ICU disebuah hospital kerana mempertahankan Presiden Parti Keadilan dari terkena tembakan tersebut.

 

Seorang wanita dibogelkan dalam tahanan dan pelbagai kekejaman lagi yang dilakukan. Hatta wakil Kuala Kedah pun kena rotan hingga berbekas di pehanya.

 

Malah seorang keluarga termasuk anaknya yang akan mengambil peperiksaan SPM pada hari Isnin ini pun ditahan juga. Saya meminta beliau dibebaskan dengan segera agar tidak menganggu persediaannya untuk mengambil peperiksaan SPM ini. Nama pelajar ini ialah UMI Umaimah.

 

Dato` Yang diPertua,

 

Selalu alasan diberikan bahawa perhimpunan perhimpunan seperti ini didalangi oleh penjajah penjajah asing yang mahu menjajah negara kita dan melihat negara kita porak peranda.

 

Perlu diingatkan bahawa Caucesco , bekas Presiden Romania yang zalim dahulu memberi alasan yang sama apabila rakyat bangkit menentang kezaliman beliau. Slobodan Milosevic, Presiden Serbia yang zalim itu pun memberi alasan yang sama bahawa pembangkang dan rakyat dipengaruhi oleh penjajah asing apabila mereka bangkit menentang kezaliman yang berlaku dalam negara mereka. Begitu juga beberapa diktaktor lain seperti Marcos dari Filipina, Park Chung Hee bekas Presiden Korea Selatan dan beberapa diktator zalim yang lain menggunakan alasan yang sama.

 

Apabila diktaktor ini tumbang, tidak pun berlaku penjajahan atau kekacauan , malah negara mereka lebih aman, makmur dan disenangi rakyat.

 

Apakah yang berlaku dalam negara kita pun mempunyai persamaannya dengan apa yang berlaku terhadap diktaktor diktator tersebut ?

 

Jika demikian maka, saya seru kepada pihak polis supaya menghentikan tindakan ganas terhadap rakyat yang menentang kezaliman yang berlaku di negara kita dan bersama sama rakyat mendokong keadilan dan menentang kezaliman. Tindakan sedemikian adalah satu tindakan yang paling mulia untuk pihak polis lakukan demi untuk Agama, Bangsa dan Negara .

 

Dengan ini saya menyokong usul yang dibawa oleh wakil Pokok Sena.

 

Terima kasih.

 

7hb November 2000.