Tangkapan Ala Gestapo Gagal Surutkan Semangat Rakyat

Oleh Ahmad Lutfi Othman.

Pasukan polis yang kini tertekan teruk selepas dituduh menyebelahi pembangkang di Lunas, meneruskan operasi ala tangkapan borong ISA. Memang benar telahan pemimpin-pemimpin Alternatif bahawa Mahathir akan melakukan Operasi Lalang 2 khususnya selepas cuba mengapi-apikan sentimen perkauman melalui isu Suqui dan Hak Istimewa Melayu baru-baru ini.

Lihat sajalah tangkapan yang dibuat kepada beberapa pemimpin muda keADILan baru-baru ini, iaitu Tian Chua dan Roslan Kasim. Mereka ditahan ala Gestapo di pagi buta tanpa mengambilkira keberkatan malam-malam akhir Ramadhan. Bagi Mahathir dan Dollah Badawi, tindakan ganas tapi bacul itu diharap dapat mengendurkan semangat perjuangan rakyat untuk tetap menuntut reformasi secara total di negara ini.

Sebaliknya operasi ala Gestapo itu hanya terus menyuburkan rasa marah dan kebencian rakyat terhadap pemerintah. Sesungguhnya, jika itulah cara atau pendekatan Umno untuk mendekati rakyat khususnya orang Melayu, tepat sekali jangkaan kita bahawa elit Umno telah hilang sensitivitinya.

Rakyat semakin marah apabila dua pemimpin muda reformasi, yang baru saja tiba dari mengerjakan ibadah umrah ditangkap, dalam suasana semua umat Islam membuat persiapan Idil Fitri. Ya, apalah yang pihak polis dan Mahathir-Dollah mahukan dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu. Lebih malang apabila semuanya dikaitkan dengan pilihan raya kecil Lunas yang memihak BA. Cuba bayangkan, kalau Lunas dimenangi BN, segala cerita tangkapan ini tidak akan berlaku.

Saya sendiri cukup hairan, apa sebenarnya yang bergolak dalam pemikiran Mahathir. Beliau sepatutnya menumpukan usaha memulihkan Umno khususnya selepas negerinya sendiri, Kedah, kini dalam bahaya yang amat sangat buat BN. Kalau kawasan pilihan raya campuran seperti Lunas pun sudah dibolosi BA, di mana lagi kawasan yang selamat buat Umno?

Menggunakan kekerasan untuk menyekat kebangkitan rakyat adalah tindakan penguasa zalim yang hanya mengira hari-hari terakhir di pentas kuasa. Secara peribadi, saya kira banyak lagi pendekatan terbaik yang boleh dimanfaatkan Mahathir untuk memujuk hati rakyat. Tapi, itulah realitinya, Mahathir sengaja menggali lubang buat kuburnya yang akan dikencing oleh rakyat negara ini pada masa depan. Mahathir sememangnya sengaja mahu merakamkan sejarah hitam dilumuri najis buat dirinya. Ya, apa boleh buat.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Kg Raja, Tunjang,
Kubang Pasu.