Oleh Pena Suasa

 

Ali Rustam dan 600 penyokong ke Indonesia

 

DALAM kita sibuk memikirkan soal ‘agenda’ siapa hingga berlakunya rompakan senjata dan peristiwa pembunuhan yang tidak direstui dua anggota keselamatan dan seorang anggota Kumpulan Al-Mauna, rupa-rupanya Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam membawa sekitar 600 penyokongnya ke Pekan Baru, Indonesia.

Dia memberikan alasan sebagai usaha penggalakan pelancungan dan mahu menarik pelancung dari Indonesia datang ke Melaka.

Mungkin inilah rombongan ‘penggalakan’ pelancungan terbesar yang dianjurkan sesebuah kerajaan negeri dan khabarnya di Pekan Baru, tidak cukup bilik hotel untuk menampung anggota rombongan dari Melaka ini.

Beberapa penyokong DAP dikatakan berpiket di Lapangan Terbang Batu Berendam membantah rombongan ini tetapi Ali dikatakan membidas kumpulan ini yang kononnya tidak faham konsep yang mahu dilaksanakan di Melaka.

Inilah dia kepimpinan Umno yang dibangga-banggakan. Mereka akan menggunakan apa sahaja asalkan mereka dapat memuaskan nafsu sesetengah penyokong mereka. Mereka sanggup membelanjakan wang yang begitu banyak membawa para penyokong mereka ke Indonesia, mungkin untuk membalas budi.

Atau, ini satu usaha mengekalkan kedudukan Ali kekal sebagai Ketua Umno Bahagian batu Berendam.

Orang-orang Melayu, Cina dan India di Melaka yang masih segar semangatnya untuk menyokong Umno, MCA dan MIC haruslah menelan ‘angkara’ Ali yang cukup popular di kalangan Umno sekarang.

Dia menang Ahli MT Umno di tempat pertama. Dia juga mendapat pencaonan terbanyak. Cuba kita bertanya dengan beberapa penyokong Umno, berapa banyak Ali belanjakan duit untuk menang besar itu. Apakah, kemenangan itu menyebabkan dia terpaksa membawa 600 ahli rombongan ke Pekan Baru.

Selain tambang, makan dan hotel ada cerita ahli-ahli rombongan diberikan wang saku untuk berjoli.

Dedahkan perkara ini kepada seluruh rakyat Melaka. Mereka yang berjumlah 600 orang ini harus diajar dengan mengalahkan BN dalam pilihan raya. Jika tidak, selepas ini mereka mungkin akan melancung ke tempat lain pula kerana mereka menganggap pengundi dan rakyat memang bodoh. Mereka hidup di atas kebodohan orang lain yang terus menerus mengekalkan Barisan Nasional (BN) berkuasa. Cukuplah Ali. Sedarlah awak pernah menoreh getah semasa kecil kerana kehidupan keluarga yang miskin tetapi apabila jadi Ketua menteri, awak lupa asal usul diri dan keluarga awak.