Dilema Sang Algojo

Dunia sudah menyaksikan kejatuhan Marcos dan dunia juga telah menyaksikan kejatuhan Suharto. Malahan dunia telah menyaksikan kejatuhan ramai diktator-diktator terulung di dunia sebelum ini. Namun begitu, dunia masih belum dapat menyaksikan lagi kejatuhan seorang diktator yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Hitler dan Musollini iaitu “Sang Algojo”  Datuk Seri  Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia .

Pada alaf baru ini terbukti Sang Algojo adalah antara PM paling lama berkuasa di dunia. Sebagai mengiktiraf kejayaannya itu, pengikut-pengikut fanatik beliau yang diketuai oleh tokoh pembodek yang tidak asing lagi, Datuk Ibrahim Ali telah menggelarkannya Wira Dunia Ke 3. Kepopularitian yang telah beliau kecapi sekian lama telah terhakis dengan kemunculan Wira Sauk baru-baru ini. Hakikatnya, semakin lama beliau memerintah negara semakin kurang yang menyanjungnya dan semakin ramai pula yang membencinya dek  kerana kezaliman yang dilakukan olehnya. Jasa yang telah ditaburkannya belum memadai bagi rakyat Malaysia untuk melupakan segala penganiayaan dan kekejaman yang beliau telah lakukan.

Kepimpinan Melalui Teladan serta Bersih, Cekap dan Amanah yang Sang Algojo laung-laungkan telah ditenggelami oleh Kronisme, Korupsi dan Nepotisme yang telah dipraktikkannya. Jati diri Melayu dan Ketuanan Melayu yang sering dimomok-momokkan olehnya telah menjadi suatu pembohongan apabila beliau terang-terang mengatakan bangsa lain boleh menjadi PM Malaysia. Pada waktu yang sama Kaum Melayu  sedang berusaha sedaya upaya umtuk membebaskan diri mereka daripada penguasaannya.

Hampir keseluruhan usia pemerintahan Sang Algojo dihabiskan untuk memerangi bangsa Melayu termasuklah Raja-Raja Melayu, TPM-TPMnya, Ketua Hakim Negara, Mufti dan Ulama, para cendekiawan serta golongan professional, kakitangan kerajaan, pensyarah-pensyarah serta mahasiswa-mahasiswa Universiti, cikgu-cikgu sekolah, imam-imam, khatib-khatib dan tok siak masjid, orang-orang kampung serta peneroka Felda, pemandu-pemandu teksi, kontraktor-kontraktor dan ahli perniagaan, polis serta angkatan tentera , budak-budak sekolah hatta ke budak tadika sekalipun. Semata-mata untuk mempertahankan survival politiknya, TPM beliau silih bertukar-ganti, kekebalan Raja-Raja Melayu dihapuskan, Ketua Hakim Negara dipecat, Mufti disingkirkan, kakitangan-kakitangan kerajaan dihantar ke kawasan pedalaman dan sesiapa sahaja yang meyokong pembangkang diugut dan dianiaya.

Tidak dinafikan era pemerintahannya telah menyaksikan kaum Melayu yang ditunjangi oleh UMNO berpecah-belah dan berantakan. Seterusnya krisis dalaman UMNO yang semakin kronik menyebabkan munculnya parti-parti serpihan daripada UMNO seperti Semangat 46 dan Keadilan Nasional. Kesannya, Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS, musuh tradisi UMNO sejak dulu lagi. Sehingga kini UMNO menderita krisis dalaman yang cukup parah dan ahli-ahlinya pula bercakaran antara satu sama lain. Kini, UMNO berpecah kepada 3 puak iaitu Team A yang diketuai oleh Sang Algojo, Team B atau Semangat 46 yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Team Wawasan yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Insiden yang berlaku di Sauk dan rampasan senjata sub-machine gun di Gombak sedikit-sebanyak telah menjejaskan peluang Team B dan Team Wawasan untuk menguasai UMNO.

Biarpun cukup ramai musuh-musuh politiknya, Sang Algojo berjaya mengukuhkan lagi penguasaannya kerana beliau telah dibantu oleh orang-orang kanannya yang cukup handal dan lebih dikenali sebagai Durjana Enam iaitu Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Aziz Shamsuddin, Sanusi Junid dan Megat Junid. Kedudukan Sang Algojo ini semakin terjamin dengan kebijaksanaannya mengeksploitasi akta-akta drakonian seperti ISA, OSA dan AUKU untuk membolehkan beliau bertindak ke atas sesiapa sahaja yang dirasakan dapat mengugat kedudukannya. Kini, Sang Algojo adalah kebal daripada sebarang undang-undang dan undang-undang ketika ini hanya mampu menangkap ikan bilis sahaja sedangkan ikan jerung dan paus raksasa bebas ke sana ke mari. Maka berlakulah kes curi beberapa tin sardin kena penjara 1 tahun lebih dan kes rasuah berjuta-juta ringgit hanya dipenjarakan sehari.(Tan Koon Swan).
Betapa kroni-kroninya bebas membuat onar dan tidak ada sesiapapun yang berani menghalang mereka.Ketelusan dan kradibiliti institusi kehakiman dipertikaikan berikutan lolosnya D.P Vijandran, Rahim Thamby Chik, Eric Chia, Megat Junid, Sanusi Junid, Rahim Noor, Rafidah Aziz, Daim Zainuddin daripada sebarang  tindakan mahkamah.

Krisis Ekonomi serta kekejaman yang telah dilakukan olehnya belum cukup untuk meyakinkan masyarakat Bukan Melayu untuk menyingkirkannya pada Pilihanraya Umum yang lepas kerana  mereka lebih phobia dengan Islamic State yang dibawa oleh PAS. Pada persepsi mereka PAS lebih menggerunkan jika dibandingkan dengan UMNO. Mungkin mereka tidak menyedari bahawa Sang Algojolah salah seorang pemimpin ultra nasionalis Melayu yang mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kini,  beliau menggunakan isu Sauk untuk memainkan sentimen perkauman dan berusaha untuk mencetuskan kembali peristiwa berdarah itu. Implikasinya, rakyat terpaksa melalui zaman gelap  selama beberapa tahun lagi di bawah pemerintahan rejim Sang Algojo ini.

Usia Sang Algojo yang semakin meningkat menunjukkan sudah sampai masanya beliau mengundurkan diri. Namun Sang Algojo masih lagi kebingungan dan berada di persimpangan delima. Nafsu serakahnya yang ingin mengekalkan kekuasaan dan kekeliruannya untuk mencari pengganti yang sesuai bagi menjamin kedudukan anak-anak serta kroni-kroninya tidak diganggu gugat silih berganti di dalam fikirannya.  Cabaran dan rintangan yang beliau hadapi tidak kurang hebatnya. Hutang negara kini menjangkau 120 billion ringgit berbeza dengan 20 billion ringgit sewaktu negara mula-mula diterajui olehnya. Wawasan 2020 hanya sekadar angan-angan Mat Jenin kerana  selagi ada ISA, OSA dan AUKU maka adalah sukar untuk mencapai visi tersebut. Idea sekolah wawasan yang dicetuskannya menjadi bahan kritikan. Apa gunanya kita mempunyai 3 sekolah iaitu sekolah untuk kaum Melayu, Cina dan India di dalam satu kawasan dengan berkongsi pelbagai kemudahan termasuklah padang , kantin dan sebagainya sedangkan kita telah mempunyai sekolah kebangsaan yang terbukti berjaya merapatkan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang-bangsa?Bukankah ianya satu pembaziran dan ianya akan memecah-belahkan lagi perpaduan rakyat Malaysia yang sedia terjalin sebelum ini? Jelas membuktikan bahawa Sang Algojo sudah  tidak relevan lagi kepada rakyat.

Sang Algojo terpaksa menghabiskan sisa-sisa waktu kehidupannya berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat yang sudah celik politik serta memikirkan cara-cara yang dapat menyelamatkannya daripada dipenjarakan kerana pengakuan bersumpah Bekas Ketua Pengarah BPR Dato’ Shafei Yahya yang mengatakan bahawa beliau telah menghalang BPR daripada mengadakan siasatan ke atas bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ali Abul Hassan. Mantan TPM beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dianiaya olehnya dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun atas tuduhan menghalang pihak polis mengadakan siasatan ke atas surat pengakuan bersumpah Ummi Hafilda dan Azizan. Kini, Sang Algojo akan berhadapan dengan pertuduhan yang hampir serupa dan hukuman yang bakal diterimanya paling kurang adalah penjara selama 6 tahun di Penjara Sungai Buluh atau mana-mana  penjara yang beliau suka.

Apabila Sang Algojo mulai pening kepala maka kerosakan yang tidak terduga akan melanda negara. Tindakannya mengapi-apikan rakyat Malaysia supaya kekacauan dan huru-hara tercetus memburukkan lagi keadaan. Malahan juga isu agama dimainkan olehnya untuk mengaut political mileage biarpun terpaksa mengorbankan banyak nyawa. Umum sudah sedia maklum  bahawa kumpulan Al Ma’unah akan ditahan di bawah ISA dan tidak akan dihadapkan ke mahkamah selagi mereka tidak tunduk  dan mengaku bersalah. Sang Algojo semakin bingung. Sandiwaranya tidak laku lagi dan rakyat sudah mula meluat dengan tindak tanduknya. Sedarlah semua  dan janganlah terikut-ikut dengan rentaknya yang suka bermain sentimen agama dan perkauman kerana apabila perang tercetus sukar untuk dihentkan lagi.Tidak sukar untuk kita mengagak apa yang akan dilakukan oleh Sang Algojo selepas ini.