Al Fatihah buat Allahyarhamah Noor Suzaily bt Mukhtar


Terlebih dahulu, marilah kita  khususnya yang beragama Islam membacakan Al Fatihah untuk disedekahkan kepada Allayarhamah Noor Suzaily bt Mukhtar. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Noor Suzaily. Rata-rata rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama turut bersimpati terhadap nasib yang menimpa Allahyarhamah Noor Suzaily serta menuntut mahkamah menjatuhkan hukuman yang seberat-beratnya ke atas tertuduh, seorang pemandu bas kerana kebuasan dan kekejaman beliau merogol, meliwat dan membunuh Allahyarhamah Noor Suzaily.

Hakikatnya kejadian yang menimpa Allahyarhamah Noor Suzaily bt Mukhtar cukup sedih dan menyayat hati. Kita amat mengharapkan agar hal yang sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang. Lebih menyedihkan lagi apabila kita membaca pengakuan seorang remaja sekolah menengah di muka depan Utusan Malaysia yang bertajuk 'Pelajar gagal selamatkan Suzaily', (Jumaat :13 Oktober 2000). Di dalam petikan tersebut ada menyatakan bahawa beliau bersama seorang remaja India cuba mendapatkan pertolongan daripada sebuah sekolah memandu dan beberapa orang di kedai yang berhampiran bagi menyelamatkan Allahyarhamah Noor Suzaily tetapi gagal kerana sikap kurang prihatin mereka. Akhirnya beliau terus ke pusat tuisyen dan remaja India tersebut sekadar membuat laporan di balai polis. Sikap mementingkan diri serta tidak prihatin mereka yang berkenaan khususnya  pihak sekolah memandu dan beberapa orang di kedai yang berhampiran amatlah mengecewakan. Bukan pertama kali ianya berlaku malah sudah berulang. Apakah kita sekadar menjadi penonton apabila setiap kali berlakunya kemalangan di jalanraya sehingga mengakibatkan kesesakan lalulintas? Bagaimana pula dengan insiden seorang pemuda yang ditembak mati oleh polis kerana menculik seorang kanak-kanak sekolah? Pada awalnya kelihatan beliau ingin menyerahkan diri kepada pihak polis tetapi telah berubah fikiran apabila mendengar teriakan supaya beliau ditembak sahaja oleh salah seorang daripada warga Malaysia yang hadir sama untuk menyaksikan peristiwa itu.
Ini menunjukkan sikap ketidakprihatinan dan mementingkan diri sendiri yang semakin menular ke dalam diri warga Malaysia kerana terpengaruh  dengan unsur-unsur materialistik. Apakah rakyat malaysia sudah semakin sakit?Jawapannya terletak kepada diri masing-masing.


Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat individu tertentu yang cuba mempolitikkan insiden yang menimpa Allahyarhamah Noor Suzaily semata-mata untuk mengaut political mileagenya. Golongan seperti ini bukan sahaja tidak bertimbang rasa malah tidak kurang kejinya jika dibandingkan dengan perogol durjana tersebut. Tindakan mengkambinghitamkan MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik tetapi sekadar mengeruhkan lagi keadaan. Tidak sukar difahami sikap melatah golongan tersebut kerana ianya berpunca daripada kurangnya kefahaman mereka terhadap ajaran Islam. Jika menyedari kejahilan diri, eloklah bertanya kepada mereka yang arif tentang hukum-hakam agama Islam. Bukankah di dalam Islam, menutup aurat itu adalah suatu kewajipan? Sepatutnya tidak timbul sebarang masalah kerana golongan Muslimat juga memakai tudung ketika bersolat, mengerjakan Umrah dan Haji. Setakat ini belum ada lagi di kalangan Muslimat yang mempertikaikan kenapa perlu memakai tudung ketika bersolat, mengerjakan Umrah dan Haji.


Malah umat Islam juga diwajibkan memelihara pandangan mereka supaya tidak melihat perkara-perkara yang tidak elok atau kurang sopan. Masyarakat Bukan Islam pula diseru supaya tidak melibatkan diri di dalam urusan agama Islam kerana sudah tentu mereka juga kurang senang sekiranya masyarakat Islam mencampuri urusan agama mereka. Janganlah mudah terpengaruh dengan mainan politik kotor kerajaan BN sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam!. Betapa ramai ulama-ulama Islam yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat Bukan Islam dan sessi-sessi penerangan seperti dialog, forum , ceramah serta kuliah agama yang sering diadakan boleh dimanfaatkan oleh mereka yang berminat atau ingin tahu mengenai Islam?


Hakikatnya, segala kekeliruan hendaklah dirujuk kepada golongan ulama kerana mereka lebih mengetahui serta mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam. Janganlah dipertikaikan sesuatu peraturan  atau undang-undang itu semata-mata kerana ianya dilaksanakan oleh parti pembangkang. Amerika Syarikat sendiri pernah mengharamkan arak suatu masa dahulu. Begitu juga dengan Thailand yang memisahkan tempat duduk kaum lelaki dengan kaum wanita di dalam bas sedangkan di negara tersebut penduduknya yang beragama Islam adalah minoriti.


Apabila gambaran salah mengenai agama Islam diterima, maka ulasannya pun bercelaru, mengelirukan dan menyakitkan hati umat Islam itu sendiri. Tidak salah bertanya jika tidak tahu. Bagaimana seseorang yang tidak tahu memasak boleh memberikan petua serta tunjuk ajar berkenaan sesuatu masakan biarpun dia adalah lulusan MA atau PhD dari luar negeri. Begitulah perumpamaannya. Apakah kita akan bertanya di manakah arah ke Kuala Lumpur kepada seseorang  yang tidak tahu apa-apa lansung tentang Kuala Lumpur? Sudah tentu kita akan sesat. Begitu jugalah apabila seseorang yang bukan beragama Islam memberikan pandangannya berkaitan agama Islam.



Tampak memburukkan lagi keadaan apabila ada di kalangan yang beragama Islam tetapi kurang kefahaman tentang ajaran Islam itu sendiri menyokong pandangan tersebut. Mungkin kerana mereka tidak ada masa untuk belajar atau malas untuk belajar  mengenai agama Islam secara mendalam kerana sibuk dengan urusan sehari-harian. Golongan sebegini bukan sahaja memalukan masyarakat beragama Islam tetapi menyukarkan lagi usaha-usaha untuk memberikan penerangan atau dakwah kepada masyarakat Bukan Islam. Apa yang boleh diharapkan kepada orang yang tahu sikit-sikit sahaja atau bodoh sombong ini? Thomas Alva Edison tidak akan dapat menyalakan mentol elektrik sekiranya ilmu beliau setakat cukup makan sahaja.


Apalah gunanya segulung ijazah, MA hatta PhD sekalipun sekiranya tidak tahu menghormati perasaan orang lain. Golongan yang berkenaan wajar memohon maaf kepada umat Islam kerana sedikit sebanyak telah menyinggung perasaan mereka. Masyarakat Barat berbogel  di pantai atau di lain-lain tempat atas nama kebebasan. Sejauh manakah  kebebasan yang kita cari dan impi-impikan selama ini? Cukup sekadar menjadi Pak Turut atau mempunyai identiti sendiri? Hakikatnya, Islam ada identitinya yang tersendiri iaitu 'Islam is the way of  life'.


Kerajaan BN pula tidak wajar bertepuk tangan jika berjaya mengeksploitasi isu sebegini kerana apa guna menang sorak jika kampung  tergadai!. Malah kerajaan juga perlu berbuat sesuatu supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Antaranya dengan mengenakan hukuman yang seberat-beratnya kepada yang tertuduh melalui proses tindakan undang-undang di mahkamah, melarang penggunaan cermin gelap kepada bas-bas awam dan menarik lesen kepada pemegang lesen (motosikal, kereta, bas, lori dll) yang terlibat di dalam jenayah berat. Ingatlah! Rakyat sekarang semakin bijak dan jika kerajaan mengambil sikap sambil lewa atau kurang prihatin maka hukuman berat akan menimpanya pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Abdullah