KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENERANGAN

PARTI KEADILAN NASIONAL

 

SABTU 22 APRIL 2000

 

 

BEBERAPA siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas para pemimpin Parti Keadilan Nasional kononnya kerana disyaki terbabit dalam merancang Perhimpunan “Black 14” tidak syak lagi merupakan satu tindakan bermotifkan politik pucuk pimpinan negara yang kelihatan gelabah dan takut dengan bayng-bayang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Sebagai salah seorang mangsa kepada tindakan tidak bertanggungjawab ini, saya dapat memberikan bukti dan alasan yang kukuh bahawa tangkapan yang dilakukan ke atas kami termasuk Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan, Ezam Mohd Nor dan Naib Presiden Tian Chua adalah lebih bermotifkan politik daripada melanggari undang-undang.

 

Malah tindakan pihak berkuasa bertindak menahan dan menangkap kami membuktikan bahawa kenyataan Perdana Menteri kononnya Anwar Ibrahim bukan lagi menjadi faktor di belakang kekuatan suara rakyat sepertimana yang dikatanya berhubung pilihan raya kecil Sanggang  adalah tidak benar.

 

Ini kerana jika Anwar Ibrahim bukan menjadi faktor kekuatan rakyat, apalah sangat yang dikhuatirkan dengan rancangan perhimpunan aman tersebut sehingga perlu bertindak menahan para pemimpin Keadilan dan sebelum itu membuat kenyataan-kenyataan berbentuk hasutan dengan mengatakan perhimpunan tersebut bertujuan hendak menimbulkan huru-hara serta akan didalangi oleh tindakan membawa senjata.

 

Apabila rakyat tidak melakukan perhimpunan reformasi aman mereka mengatakan rakyat sudah tidak menyokong Anwar Ibrahim tetapi bila perhimpunan hendak diadakan ia dikatakan percubaan untuk mengadakan rusuhan dan kekacauan.

 

Bukti saya yang pertama bahawa tangkapan ke atas kami bermotifkan politik ialah apabila saya sendiri diletakkan di bawah seliaan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan (BSJP) sepanjang tujuh hari saya di tahan oleh pihak polis. Sepanjang tujuh hari itu juga saya telah diletakkan di dalam lokap yang berasingan.

 

Sepanjang tempoh itu juga saya disoal-siasat hanya sehari. Selebih enam hari lagi saya disoal dengan soalan yang sama oleh pegawai-pegawai yang berlainan. Dan saya diletakkan di dalam lokap bersama-sama dengan penjenayah-penjenayah yang lain termasuk penagih dadah dan kaki pecah rumah.

 

Operasi yang dijalankan ke atas kami dinamakan OPS PADAM. Apa yang dimaksudkan dengan PADAM itu saya tidak begitu pasti. Bagaimanapun OPS PADAM ini mendapat arahan secara langsung daripada Menteri Dalam Negeri, demikianlah saya difahamkan.

 

Untuk mengelak daripada malu dan bagi menjustifikasikan penangkapan yang dibuat ini, pihak berkuasa telah mendakwa Ezam atas ceramahnya di Lembah Pantai yang tidak ada kena mengena dengan penahanannya ekoran perhimpunan Black 14 yang digembar-gemburkan oleh polis itu.

 

Naib Presiden Keadilan, Tian Chua pula didakwa atas penglibatannya dalam perhimpunan di pekarangan Masjid Negara membantah tindakan KDN menghadkan penerbitan Harakah daripada lapan kali sebulan kepada dua sahaja. Juga tidak ada kena mengena dengan perhimpunan Black 14.

 

Sementara saya, Ruslan Haji Kasim tidak didakwa di atas apa-apa kesalahan. Saya cuma diletakkan di bawah pengawasan polis.

 

Oleh yang demikian, pertanyaan saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka ialah, atas kesalahan apakah maka saya dan rakan-rakan yang lain ditahan selama tujuh hari tujuh malam dan dikurung bersama-sama para penjenayah di dalam lokap. Apakah polis di negara ini bebas menahan dan menangkap sesiapa sahaja atas alasan yang mereka sendiri ada-adakan tanpa bukti dan alasan yang munasabah serta kukuh.

 

Maka itu, kesemua kami yang ditahan di bawah OPS PADAM sedang berbincang dengan para peguam kami sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri kerana menghasut rakyat untuk mempercayai bahawa kesemua kami yang ditahan di bawah operasi itu minggu lalu adalah bertujuan dan berniat jahat untuk mengadakan rusuhan serta merancang perhimpunan bersenjata sedangkan kami tidak pernah merancang demikian dan buktinya tidak didakwa oleh pihak berkuasa atas kesalahan tersebut.

 

Saya bagi pihak mereka yang telah ditahan bagaimanapun ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen BA terutamanya wakil-wakil dari Parti Keadilan Nasional kerana mempertahankan kami dan mengecam tindakan menahan kami ketika berucap di Dewan Rakyat.

 

Cuba bandingkan penangkapan ke atas kami (yang gagal dibuktikan kesalahan) dengan pesta bogel dan pesta arak yang diadakan di Kem Ghafar Baba dekat Ulu Klang tempoh hari yang mana tiada penangkapan dan pendakwaan dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas mereka-mereka yang terlibat sedangkan kami ditahan selama tujuh hari tujuh malam bersama para penjenayah tanpa alasan yang munasabah.

 

Sekian. Terima Kasih

 

HJ RUSLAN HJ KASIM