SURAT TERBUKA BUAT PENGURUSAN KANAN UiTM

 

Berikutan dengan sikap tidak toleransi yang ditujukan kepada

Persatuan ADASI oleh pengurusan kanan UiTM terutamanya

ADASIdalam isu penggunaan nama Islam pada persatuan dalaman

UiTM serta cubaan yang mengaitkan Persatuan ADASI dengan

golongan anti-establishement, Persatuan ADASI menerima banyak

aduan daripada ahli dan penyokong yang merasa tertekan dan marah atas tuduhan yang tidak berasas ini.

 

Sebagai sebuah Persatuan dalaman UiTM yang bermaruah, yang telah lama membentuk aliran pemikiran mahasiswa ke arah Islam, persatuan yang cintakan kebenaran dan keadilan dalam sistem demokrasi berparlimen, Persatuan ADASI merasa amat dukacita apabila pengurusan kanan UiTM secara berterusan menghalang pergerakkan Persatuan ADASI dan terus menyimpan rasa curiga yang melampau yang memang tidak boleh di terima oleh akal kepada Persatuan ADASI. Terkini, Presiden Persatuan ADASI akan menghadapi perbicaraan tatatertib di mahkamah UiTM pada 10 November 2000 atas kesalahan beliau memperjuangkan aspirasi mahasiswa akar umbi UiTM yang membantah pengharaman nama Islam, Melayu dan negeri pada persatuan dalaman UiTM selain daripada bilik operasi Persatuan ADASI telah diarah dan dilaksanakan penutupannya berikutan dengan daya ketahanan Persatuan ADASI meneruskan perjuangan mempertahankan nama Islamnya.

 

Kami ingin menegaskan bahawa Persatuan ADASI adalah merupakan persatuan dalaman UiTM yang paling aktif berbanding dengan persatuan dalaman yang lain dan ini boleh didasarkan kepada sambutan dan kuantiti program yang dianjurkan walaupun tanpa mendapat sokongan penuh daripada pengurusan kanan UiTM selain daripada mempunyai kuantiti ahli persatuan yang terbanyak dan kualiti perjuangannya yang tidak dapat dinafikan. Mahasiswa UiTM memaklumi bahawa Persatuan ADASI melaksanakan amanah ini dalam batas yang di izinkan oleh akta UiTM 174 dan Perlembagaan Persekutuan, sejajar pula dengan aspirasinya untuk menegakkan sistem sosio-budaya dan iklim mahasiswa yang berlandaskan kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan sokongan mahasiswa UiTM kepada Persatuan ADASI yang semakin meningkat selari dengan peningkatan mentaliti mahasiswa UiTM. Dan sokongan yang dimaksudkan ini bukan sahaja datangnya daripada mahasiswa Islam bahkan datang juga daripada mahasiswa bukan Islam yang mengagumi perjuangan Persatuan ADASI yang disifatkan oleh mereka cukup toleran dan berteraskan kepada prinsip kesaksamaan.

 

Di samping itu, kami amat memahami kekecewaan yang dialami oleh pengurusan kanan UiTM akibat daripada sokongan yang melimpah dan perasaan ini diperkuatkan lagi kekentalan Persatuan ADASI mempertahankan Islam pada nama dan dasarnya. Tetapi inilah harga yang mesti dibayar oleh Pengurusan kanan UiTM hasil daripada pentadbirannya yang selama ini yang dicemar akibat daripada keengganan mereka untuk berbincang secara kolektif dengan mahasiswa tentang sebarang pelaksanaan polisi UiTM terutamanya  yang menglibatkan mahasiswa UiTM dan mungkin juga  akibat daripada pentadbiran pengurusan kanan UiTM yang tidak berpaksikan kepada nilai-nilai keislaman yang tulen.

 

Bayangkanlah, jika Persatuan ADASI selama ini boleh menerima karenah birokrasi pengurusan kanan UiTM dan sandiwara pengurusan kanan UiTM, mengapa kali ini pengurusan kanan UiTM tidak pula boleh berlapang dada dengan tekanan tersusun yang digerakkan oleh Persatuan ADASI. Mengapa pula mesti dipilih pendekatan permusuhan secara besar-besaran dengan kami hingga persatuan ADASI telah di gantung tidak bertali. Persatuan ADASI sendiri masih keliru, entah syaitan durjana mana yang telah membisikkan ke telinga pengurusan kanan UiTM untuk bertindak mengharamkan nama Islam di institusi kebanggaan negara ini.

 

Larangan menggunakan nama Islam dan mengerakkan dasar Islam pada Persatuan ADASI adalah merupakan sejarah yang tragis bagi mahasiswa UiTM. Tidak ada sesiapa yang waras pemikirannya mahu sejarah demikian berlaku dan berulang kembali. Persatuan ADASI telah lama melahirkan perasaan sedih dan dukacita terhadap serangan kepada Islam di UiTM muktakhir ini.

 

Apa yang menjadi buah mulut mahasiswa UiTM ialah bagaimana polisi kejam ini boleh di laksanakan dalam keadaan mahasiswa mahu menuju kepada Islam yang hakiki dan dalam institusi sepenuhnya bumiputera khususnya Melayu. Telalu banyak ruang-ruang yang menimbulkan tandatanya dan masih tidak terjawab.

 

Ini adalah berpunca daripada sikap pengurusan kanan UiTM yang kerap kali berhelah dengan mahasiswa dan mungkin juga kedapatan unsur-unsur permainan politik antara sesama pengurusan kanan UiTM untuk mengejar pangkat. Sikap ini telah sekian lama diulas oleh mahasiswa UiTM dan akhirnya menimbulkan kebencian mahasiswa kepada pengurusan kanan UiTM. Dalam kes ini, mahasiswa UiTM tidak boleh dipersalahkan andaikata mereka membuat andaian dan analisa sedemikian rupa.

 

Dentuman mempertahankan Islam di UiTM ini adalah lambang kepada krisis keyakinan kepada pengurusan kanan UiTM itu sendiri. Nampaknya pengurusan kanan UiTM seolah-olah menunggu momentum raksasa mahasiswa untuk mendapat pengiktibaran dan pengajaran.

 

Kini Islam di remehkan kembali selepas penguguran 3 semester matapelajaran UIS dan pengurangan pengambilan mahasiswa untuk Kokurikulum ADASI berbeda dengan Kokurikulum lain. Untuk pengetahuan umum, Persatuan ADASI telah menganalisa perkembangan Islam di UiTM dengan teliti dalam tempoh mukhtakir ini. Dan tidak dapat dinafikan banyak puncanya telah didorong oleh sikap pengurusan kanan UiTM itu sendiri. Dalam banyak sudut, pengurusan kanan UiTM masih lagi tidak boleh memberi jawapan kepada mahasiswa secara yang memuaskan hati nurani mahasiswa UiTM.

 

Sebagai contoh, bolehkah Pengurusan kanan UiTM jelaskan bagaimana dalam institusi Bumiputera Islam, nama Islam boleh diharamkan ? Dapatkah Pengurusan kanan ajukan rasional penguguran UIS dalam suasana mahasiswa UiTM yang dahagakan cahaya keislaman ? Mampukan pengurusan kanan UiTM membentangkan kejayaan yang telah dicapai untuk mengurangkan dilema krisis sosial mahasiswa UiTM ? Soalnya apabila soalan ini tidak mampu disediakan jawapan oleh pengurusan kanan UiTM, adakah pengurusan kanan bertindak merujuk perkara ini kepada pandangan mahasiswa UiTM ataupun kepada kaedah penyelesaian Islam ? Mengalihkan pandangan mahasiswa dari kelemahan mereka dan mencari kambing hitam bagi menutup aib mereka sudah menjadi strategi lapuk pengurusan kanan UiTM. Rentetan daripada ini, nasihat ikhlas Persatuan ADASI kepada pengurusan kanan UiTM agar kembali memuhasabah perjalanan pentadbirannya selama ini. Adakah ia menepati kepada hasrat Kementerian Pendidikan dan mahasiswa UiTM itu sendiri ataupun sekadar menepati kepada nafsu pengurusan kanan UiTM.

 

Pengurusan kanan sepatutnya memantau pendapat mahasiswa akar umbi UiTM sebelum melaksanakan polisi songsang ini. Apakah pengurusan kanan UiTM mahu mendahului keputusan ini sebelum di persetujui oleh pelanggannya ? Apakah pengurusan kanan  UiTM lebih memahami suasana mahasiswa berbanding dengan mahasiswa UiTM sendiri ? Inilah persoalan yang bermain di minda mahasiswa UiTM.

 

Persatuan ADASI menyeru kepada ahli dan penyokong supaya bertenang dan bersifat terbuka. Janganlah ada di antara kita yang termakan dengan perencanaan pengurusan kanan UiTM yang mana akan mengeruhkan lagi keadaan dan memberi modal kepada pengurusan kanan UiTM. Ini adalah jerat yang di pasang oleh pengurusan kanan UiTM untuk mengendurkan penerusan agenda perjuangan Persatuan ADASI. Tegasnya, Persatuan ADASI akan terus menuntut supaya pengurusan kanan UiTM bukan sahaja memberi penjelasan yang sebenar tanpa hipokrit tetapi juga memansuhkan kembali perlembagaan persatuan dalaman rangkaannya yang melarang penggunaan nama Islam.

 

Semua peringkat Persatuan ADASI  hendaklah terus menerus melakukan solat hajat bagi memohon perlindungan Allah swt agar menzahirkan kebenaran. Teruskan usaha kita mendakwahkan Islam melalui program kemahasiswaan yang berstrategik. Tetapkan agenda perjuangan untuk menerapkan keunggulan Islam kepada mahasiswa UiTM. 

 

Persatuan ADASI akan berusaha mendapatkan perintah mahkamah seberapa segera bagi menghalang mana-mana pihak memburukkan nama Persatuan ADASI dan melarang penggunaan nama Islam pada nama persatuan. Persatuan ADASI juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung dengan beberapa  sekatan terhadap perjalanan organisasinya.

 

Biarlah ini menjadi pengajaran kepada pengurusan kanan UiTM akan erti kebenaran dan keadilan.

 

Sekian, salam perjuangan untuk mahasiswa yang rindukan era kegemilangan Islam.

 

 

PRESIDEN PERSATUAN ADASI

SESI 2000/2001

2 NOVEMBER 2000