Oleh Pena Suasa

 

Kisah Pelik Dalam Umno (2)

 

BUDAK ‘pelik’ dalam Umno, Zahrin Yassin ketika diwawancara Ahmad Lutfi Othman dalam majalah ‘Retak’ berkata: “Jika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sewaktu pilihan raya baru-baru ini, mungkin Umno akan kalah dua kali lebih teruk daripada yang dicapai.

“Sepanjang tempoh beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, dengan berlatar belakangkan kelulusan Pengajian Islam, orang Umno berpendapat beliau boleh menyaingi PAS. Tetapi sebaliknya kini beliau sama seperti (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim, memperalatkan Islam untuk diri sendiri sahaja, tetapi tidak kepada perbuatan.”

 

Dalam Umno, semua orang kenal budak ini sebagai ‘Zahrin gila’. Dia turut berkata dalam wawancara yang sama: “Dr. Mahathir mengatakan Tunku Abdul Rahman nyanyok dan gila kuasa. Usia Tunku hanya 65 tahun. Hari ini Dr. Mahathir sudah berusia 75 tahun. Jadi terserahlah kepada masyarakat untuk menilai siapa yang nyanyok dan gila kuasa.

“Dr. Mahathir menolak ketuanan Melayu dan juga perjuangan Melayu, sebaliknya berkehendakkan ketuanan Malaysia dan perjuangan Malaysia, dalam agenda bangsa Malaysia. Beliau tidak banyak membuat perubahan kepada orang Melayu, kecuali kepentingan beberapa orang. Perjuangan Melayunya hingga menyebabkan tidak ada lagi simpanan harta generasi Melayu akan datang.”

 

Yang peliknya, tidak sampai enam bulan selepas dia membuat kenyataan ini, dia diberikan jawatan penting dalam Umno Wilayah Persekutuan yang diketuai Tengku Adnan Mansor.

 

Apakah Tengku Adnan mempunyai perancangan untuk menjatuhkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti yang pernah dilakukannya ketika Anwar Ibrahim berkuasa dahulu? Tengku Adnan adalah penaja cetakan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boeh Jadi PM.

 

Atau, Tengku Adnan merancang mahu menjatuhkan Dr. Mahathir dan menaikkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan memperalatkan Zahrin sebagai ‘alat’ mencapai matlamat itu.

 

Budak Zahrin gila ini seterusnya memberikan pandangannya mengenai pertandingan naib Presiden Umno: “Dato’ Paduka Dr. Abdul Hamid Othman dan Dato’ Abd Ghani Othman mempunyai peluang cerah untuk menang. Nama-nama lain yang diramalkan menang oleh budak ini ialah Dato’ Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Mohd Isa Samad.”

 

Semua ramalannya tidak tepat. Dr. Hamid tidak bertanding. Abd Ghani tewas bersama-sama Rais dan Isa Samad. (Sila rujuk Majalah RETAK muka surat 16-20 bertajuk TOLAK MAHATHIR, PAK LAH).