Pembohongan Akhbar Harian

 

KESEMPATAN ini ingin saya memberi peringatan kepada diri saya dan semua pembaca di ruangan siber betapa tidak boleh percayanya laporan akhbar-akhbar harian sekarang ini. Ingatan ini bukan ingatan baru tetapi ingatan ulangan kepada mereka yang sudah terlupa “kempen boikot media massa”.

Walaupun laporannya hanya mengenai Abdul Muin Hamid yang didakwa bersanding serentak dengan dua isteri, iaitu Suhaida Saad dan Rohaya Romli November lalu tetapi hakikat sebenarnya, dia berbohong. Yang lebih serius berbohong dalam kes ini ialah akhbar harian yang melaporkan kisah persandingan itu. Wartawan akhbar itu tidak langsung menghubungi Pejabat Agama Islam atau Kadi di daerah itu sebelum menulis berita tersebut dan betapa bodoh dan tidak bertanggungjawabnya editor yang menerima berita itu kerana tidak “usul periksa” sebelum menyiarkannya.

Tidak usahlah kita percaya penafian atau pembetulan dari akhbar itu, tetapi kalau boleh tinggalkan terus akhbar tersebut dan jangan mempercayai laporan-laporannya.

Akhbar harian di negara ini pembohong dan mereka akan terus berbohong. Laporan mengenai Barisan Alternatif (BA) diputar belit dan banyak perkara lagi yang mereka cuba kelirukan.

Editor, Ketua Editor, Ketua Biro dan wartawan yang melaporkan berita itu perlu meletakkan jawatan. Jika perlu, akhbar itu seharusnya memohon maaf kepada semua pembaca yang dibohongi dan kepada semua pelayar-pelajar halaman siber, tinggalkan akhbar ini buat selama-lamanya.

Mereka bukan sahaja cuba berbohong, malahan mereka cuba merendah-rendahkan tugas dan tanggungjawab Pejabat Agama Islam serta kadi yang bertanggungjawab menikah kahwinkan anak-anak kariah mereka.

Abdul Muin berbohong adalah perkara biasa kerana tanpa berbohong tidak mungkin dia boleh bercinta dan berkahwin dengan dua gadis. Tetapi apabila akhbar harian berbohong, apa komen Syed Akbar Ali yang kini bergelar penulis berlidah biawak? Syed Akbar Ali adalah kolumnis Berita Minggu yang tidak ada kerja lain, melainkan memaki hamun pimpinan pembangkang.

Wahai orang-orang Umno yang masih taksub dengan akhbar harian… apa komen kalian semua apabila membaca berita itu?

Cukuplah… jangan terus terpedaya dan carilah sumber lain untuk mengetahui berita atau perkhabaran isu-isu semasa.

Jadikan akhbar-akhbar Inggeris atau yang boleh berbahasa Cina, memilih akhbar Cina untuk mengetahui sebarang isu yang timbul.

Usah tertipu dan usah gundah gulana apabila kehilangan media massa harian yang selama ini menjadi santapan minda kita.

Mereka yang bekerja dengan akhbar harian ini sudah kehilangan pembaca menyebabkan mereka terpaksa mencari pelbagai cerita bohong untuk menarik perhatian pembeli dan pembaca.

Biarlah akhbar-akhbar ini terus memberi publisiti kepada pemimpin dan ahli-ahli Umno kerana hanya ahli-ahli Umno sahaja yang masih boleh diperdaya, ditipu dan dibohongi. Kita para penyokong dan pendokong BA, terus berhati-hati kerana ada penulis di akhbar harian yang memang mencari makan dengan berbohong dan menipu sehingga mereka boleh jadi Senator dan akhirnya ke jawatan Setiausaha Parlimen.

 

 

 

UN-19012001/1Jumaat :UN2