Oleh Pena Suasa

 

Menteri Malaysia penakut.

 

SUDAH hampir tiga bulan, pemculik Abu Sayyaf masih menahan 20 tebusan di Jolo, tidak ada usaha langsung Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Albar untuk ke sana merundingkan pembebasan tersebut.

Walaupun penculikan itu berlaku di Filipina, tetapi ia bermula dari tanah berdaulat Malaysia. Perdana Menteri sudah pun menghantar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Pandikar Amin Haji Mulia dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Afdal, tetapi kegagalan rundingan tersebut yang dimulai Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai bermakna mereka dan negara kita Malaysia sudah tidak dihurmati lagi.

Kewibawaan Polis, Kabinet dan Kerajaan Malaysia diletakkan di bawah tapak kaki rakyat asing. Sudah hilang segala kepintaran dan kelicikan Malaysia yang begitu terkenal di luar negara seperti yang didakwa.

Apakah Syed Hamid selaku Menteri Luar yang baru kalah perebutan Naib Presiden Umno mahu terus berdiam diri.

Apakah Syed Hamid sudah hilang minat untuk menjadi Menteri kabinet di bawah kerajaan Dr. Mahathir? Apakah mahu digadaikan begitu sahaja nyawa 20 tahanan yang tidak bersalah itu? Apakah Malaysia mahu digambarkan sebagai sebuah negara yang terlalu longgar kawalan keselamatannya?

Saban hari ada-ada sahaja pemimpin kerajaan membuat pelbagai tuduhan terhadap parti-parti pembangkang. Tidak ada usaha langsung untuk mereka menyelesaikan masalah yang sedang melanda. 20 tahanan itu terlalu tertekan dan nyawa mereka terancam. Mengapa tiada seorang pun pemimpin Umno yang hebat bercakap, hebat menuduh itu dan ini tidak tampil untuk menjadi wakil kerajaan merundingkan pembebasan tahanan tersebut?

Apakah kerajaan Malaysia kerajaan kartun. Kerajaan yang hanya bercakap perkara-perkara memuji Dr. Mahathir dan memuji kemampuan mengawal pertukaran matawang?

Kita boleh tengok, dari segi bergaya, Menteri-menteri Malaysia memang cukup pandai bergaya. Mereka cukup kaya raya dan suka bersenang lenang. Mereka tidak mahu menempuh sesuatu cabaran yang menyulitkan.

Menteri-menteri Malaysia suka kereta banyak. Menteri Malaysia suka rumah besar dan duduk di mahligai. Mereka tidak mahu bergelumang dengan selut dan kesusahan rakyat.

Mereka tidak hairan imej negara tercemar. Mereka sibuk mempertahankan kekayaan dan perniagaan anak isteri mereka. Cuba bertanya dengan Syed Hamid, berapa nilai rumah kediamannya sekarang? Berapa buah kereta mewah milik keluarganya? Berapa simpanan tetapnya? Berapa buah condo yang dia ada selama menjadi Menteri di bawah Dr. Mahathir?

Disebabkan kekayaan ini, dia tidak mahu bersusah payah lagi. Dia tidak mahu menjadi orang perantaraan bagi merundingkan pembebasan. Mereka tidak menghiraukan nasib tahanan penculik.

Inilah dia pemimpin Malaysia yang dilahirkan oleh Umno yang menjadi kebanggaan segelintir manusia. Inilah dia rupa pemimpin negara yang sering menang pilihan raya. Inilah bentuknya Menteri zaman Dr. Mahathir yang sukakan kekayaan dan bencikan tugas berbentuk pembelaan terhadap rakyat.

Rakyat Malaysia perlu desak Syed Hamid Albar yang semakin rajin menulis sajak, menulis rencana menghina Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya lebih ikhlas dan berani memikul tugas dan tanggungjawab. Jangan perasan diri itu hebat sangat hanya kerana berbapakan Singa Umno tetapi hati dan jiwa sama dengan seekor tikus munduk. Menteri Malaysia penakut!