Oleh Pena Suasa

 

Satu pendapat – fikirkan jangka panjang

 

ADA yang melahirkan rasa kesal dengan cara “internet pro reformasi” melaporkan rompakan senjata di Grik beberapa hari lalu, hingga nyata laporan itu cukup berlainan dengan apa yang didapati dari media massa arus perdana.

Saya sendiri, sebagai salah seorang penulis dan menyumbang bahan di ruangan ini juga merasakan sedemikian, mana yang betul dan mana yang tidak betul apabila membacanya.

Sebagai pembaca, saya tetap membaca. Soal saya boleh percaya atau tidak, saya pertimbangkan sendiri. Cuma, satu pendapat saya, yang mahu saya kongsi dengan semua penyumbang di ruangan ini supaya lebih berhati-hati menyediakan bahan tulisan kerana, saya khuatir apabila pembaca merasakan mereka tertipu, maka mereka akan menolak ruangan ini (internet) sebagaimana mereka pernah menolak media massa arus perdana.

Kalau boleh, walaupun ia sukar, sesiapa sahaja yang mahu menulis di ruangan ini supaya lebih berhati-hati dan cermat.

Pertamanya, kena lihat dari mana sumber itu datang. Kadang-kadang sumber itu sengaja mahu mengelirukan supaya “laporan kita” terus keliru. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini banyak memberikan maklumat sejak kes pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi, kekadang ada berita, laporan dan analisis dibuat sekadar “melepaskan batuk di tangga” atau dengan lain perkataan, asal ada sahaja.

Internet sebenarnya lambang kemajuan terknologi maklumat. Amat malang sekiranya kita yang tahu menggunakannya tidak mengambarkan yang kita benar-benar telah maju dalam soal-soal “menerima dan mendengar laporan”.

Dalam kes rompakan senjata di Grik, saya lihat cara laporan yang diberikan di dalam internet cukup tidak berhati-hati. Ini merugikan. Webmasters sepatutnya lebih berjaga-jaga kerana khuatir ia disediakan bahan-bahan “karut” oleh penulis.

Saya tidak berhasrat mengatakan semuanya tidak betul tetapi, nilaikanlah apa yang ada dalam laporan seminggu dua ini.

Begitu juga dalam laporan mengenai tangkapan JAIS terhadap pelawak Helmi dan penyanyi Azlina Abas. Sepatutnya ada penulis yang tahu benar-benar kisah itu supaya jangan bercelaru cara laporannya.

Selama hampir dua tahun saya mengikuti perkembangan laman-laman ini tanpa berhasrat untuk menyumbang apa-apa kerana saya percaya penulis yang ada cukup berwibawa walaupun bekerja tanpa sebarang habuan.

Cuma, baru sebulan ini, lebih kurang 30 hari saya terus menerus menulis dan menyalurkan maklumat. Kebanyakkan maklumat yang saya bekalkan adalah sahih dari sumber yang saya percayai. Banyak lagi maklumat yang saya terima tetapi jika saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya, saya tidak akan tuliskan di ruangan ini.

Saya tidak mahu pengunjung/pelayar halaman ini mendapat maklumat palsu. Malanglah bagi mereka yang mendapat maklumat palsu, apabila dipanjangkan kepada orang lain, nantinya dia akan berdosa kerana menceritakan perkara yang tidak betul dan kedua, ditertawakan orang lain yang tahu perkara itu palsu.

Para penyokong dan pendokong reformasi harus ingat, mereka berlawan dengan pelbagai bentuk propaganda kerajaan. Jika mereka mempunyai maklumat yang sahih, mereka boleh berhadapan dengan sesiapa sahaja tetapi jika mereka mempunyai maklumat “half true” nescaya mereka akan dipermainkan orang lain.

Para penyokong dan pendokong reformasi juga harus bercampur dengan ramai orang. Usah bergaul dengan kumpulan yang sealiran dengan kita sahaja. Jika ini dilakukan, kita tidak akan dapat menambah penyokong dan penentang kerajaan. Ada yang pihak kerajaan buat betul ,kita kena kata betul. Jika tidak, kita akan dianggap sebagai pembangkang yang tidak “bernilai” kerana yang baik sekalipun mesti dibangkang.

Begitu juga penulis di ruangan ini, dalam satu-satu tulisan, kalau ada yang baik katakan baik dan begitulah sebaliknya. Ada pelayar ke laman ini ingin melihat “rasional” kita sebagai penyokong dan pendokong reformasi.

Saya melihat dengan kacamata orangramai. Saya bergaul dengan ramai orang. Saya berbual dengan ramai bijak pandai. Saya lihat, jika kita tidak kena strategi, kita akan rugi pada jangka masa panjang. Banyak masa dan tenaga serta wang digunakan untuk “menginsafkan” rakyat tetapi dalam masa kita buat kerja-kerja itu, kita tidak fikirkan kesannya.

Ingatlah, sekali orang tidak percaya, cukup sukar untuk kita mengembalikan semula kepercayaan, keyakinan mereka kepada laman-laman yang kita pacu.

Saya sendiri seorang pengemar Utusan Malaysia yang maha dahsyat. Tetapi apabila sekali saya terdengar bagaimana Zainuddin Maidin (ZAM) bercakap dengan beberapa Senator di Parlimen bagaimana dia berbohong dan cuba mencorakkan pemikiran pembaca, saya tinggalkan akhbar itu sebelum seruan memboikot akhbar dijalankan oleh Barisan Alternatif (BA).

Saya lihat (maafkan saya kalau keterlaluan) ada penulis yang beguru “ke lutut”. Maknanya, dia pakai logika sendiri ketika menganalisis, melapor dan menulis sesuatu isu. Hentikan perbuatan ini kerana “berkata benar” amat bernilai walaupun ia pahit.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri “kecut” dengan serangan internet pro reformasi tetapi disebabkan kesan jangka panjangnya menguntungkan dia, maka dia “layan” dan menarik perkara itu sampai kita semua jemu.

Ini yang merisaukan. 2004 bukan sehari dua lagi. Anwar Ibrahim sudah merenkok begitu lama dalam penjara. Semangat pejuang-pejuang semakin “dingin” hanya kerana gas pemedih mata dan cotar pasukan polis. Jadi, minda pengikut dan penyokong usah didinginkan dengan laporan-laporan yang “half true”.

Satu hal lagi, kalau ada laporan mengenai krisis dalaman parti, usahlah dilaporkan mengikut perspektif sendiri. Kalau boleh dapatkan kenyataan dari Setiausaha Agung parti atau pun Presiden sendiri.

Saya khuatir, laporan kita akan menjadi punca kepada pertelagahan yang berpanjangan. Setiap penulis harus mencari bahan tulin dan kalau boleh biarlah datangnya dari sumber yang berautoriti.

Kalau kes Hajah Marina dan Dr. Chandra sungguh mengaibkan. Saya percaya Anwar juga sedih dengan apa yang melanda keADILan. Akhbar-akhbar arus perdana mengambil kesempatan memperbesar-besarkan isu itu. Walaupun ia tidak akan menarik perhatian para penyokong dan pendokong pro reformasi, tetapi ia menjauhkan bakal-bakal penyokong kita.

Ingat, semua ahli-ahli Umno hari ini adalah “potensial” menjadi penyokong pro reformasi. Jangan anggap mereka musuh. Dekati mereka dan bergaul dengan mereka. Tetapi, jangan sampai kita pula yang menjadi “potensial” penyokong Umno.

Di sinilah istiqamah penting. Walaupun kita tidak berlilit kepala, kita tidak berserban tidak berjanggut tetapi kita iatiqamah dalam menentang Umno/BN dan istiqamah bersama Barisan Alternatif. Usah beria-ia sangat dalam keADILan, PAS, PRM atau DAP tetapi, bila dipujuk dan dibujuk dengan sedikit habuan, kita akan belot dan meninggalkan perjuangan.

Nanti, sibuk kita mengutuk dan menuduh kawan-kawan yang pernah sebantal dengan kita, hanya kerana mahu mencari tempat dalam Umno yang nyata semakin tenat.

Khabar paling baru, perlantikan 10 MT tambahan cukup mengecewakan ahli-ahli Umno. Sudah ada yang mengaku mahu meninggalkan Umno kerana mereka merasakan Dr. Mahathir tidak langsung menghiraukan pergorbanan besar ahli-ahli veteran sebaliknya menerima “budak-budak” yang baru semalam masuk Umno sebagai anggota MT.

Kata mereka; “Tidak perlu bergelumang dalam Umno bermati-matian kerana yang mendapat jawatan mereka yang tidak serius dalam parti tetapi pandai mendekati pemimpin dengan apa cara sekali pun.”

Hari ini, anak bekas Perdana Menteri, anak bekas Menteri dan anak-anak bekas pemimpin parti itu yang menguasai Umno.

Anak penoreh getah, anak guru agama dan anak penarik beca tidak ada tempat dalam parti Umno. Mereka semua sedang mengira-ngira untuk menyertai kita, menyokong reformasi tajaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selamat berjuang.