Oleh Pena Suasa

 

Syed Hamid didesak berundur

 

KETUA konspirasi menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Aziz Shamsuddin dikatakan akan menjadi Menteri Luar setelah Dato’ Seri Syed Hamid Albar didesak berundur.

Aziz pada awalnya disebut-sebut akan menjadi Menteri Dalam Negeri, jawatan yang digilainya sejak sekian lama tetapi jika dia berjaya menyebabkan Syed Hamid berundur, Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad akan melantiknya mengambil tempat Syed Hamid.

Aziz, pakar menjatuhkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya dipercayai memainkan peranan paling ke depan dalam usaha mendesak Menteri Luar, Syed Hamid berundur.

Menurut satu sumber, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dr. Abd Latiff Ahmad sudah dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Abd Ghani Othman bahawa Syed Hamid sudah menghantar surat perletakan jawatan.

Bagaimana pun, Syed Hamid mengharapkan dia dipujuk supaya tidak berundur dan menarik balik surat perletakan jawatannya sebagaimana yang dilakukan oleh Presiden MCA, Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik sedikit waktu dahulu.

Bagaimana pun, rangkaian Aziz dikatakan memainkan peranan mendesak Perdana Menteri menerima perletakan jawatan Syed Hamid.

Tugas utama Aziz sebagai ‘pra’ Menteri Luar ialah menyambut pembebasan tawanan Pulau Jolo beberapa hari lalu. Syed Hamid yang berada di Bangkok khabarnya menjalankan tugas terakhirnya sekarang.

Beberapa pihak mahukan seorang pelapis dari Johor ditonjolkan bagi menggantikan tempat Syed Hamid, tetapi Perdana Menteri mahukan Aziz sebagai ‘ganjaran’ sebenar tugasnya menjatuhkan Anwar dengan mengepalai kumpulan penulis surat layang yang diilhamkan Umi Hafilda Ali.

Aziz juga merupakan pengedar buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM. Buku itu disimpan sebahagian di pejabat Aziz dan sebahagian di Pejabat Tengku Adnan Mansor di tingkat 38 Shahzan Tower. Proses pos juga dijalankan di pejabat Tengku Adnan.

Aziz sebenarnya memang mahu dilantik menjadi menteri penuh sebelum pilihan raya umum lalu menggantikan Sabbaruddin Chik tetapi beberapa pihak menasihatkan Perdana Menteri supaya tidak berbuat demikian demi pilihan raya umum.

Dr. Mahathir juga bercadang melantik Aziz sebagai menteri selepas pilihan raya tetapi disebabkan keputusan tidak begitu cemerlang, beberapa Senator terpaksa dilantik termasuk Dr. Abd Hamid Othman, Tan Sri Musa Mohamad selain Pandikar Amin Haji Mulia, maka cadangan itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

Walaupun sehari, Perdana Menteri tetap akan melantik Aziz sebagai menteri. Jasa Aziz amat besar terhadap Perdana Menteri. Kerja-kerja menjatuhkan Anwar berjaya dilaksanakan Aziz dengan lancar walaupun Umno hampir berkubur dikerjakan Aziz.

Bagi Dr. Mahathir, dia tahu bahawa dialah Perdana Menteri terakhir dari Umno menyebabkan dia tidak perlu risau apa akan jadi kepada parti terbesar umat Melayu itu.

Baginya, yang penting dia berjaya menjadikan anak-anaknya kaya-raya, Aziz Shamsuddin kaya-raya sebelum menjadi timbalan menteri dan paling akhir, dia mahu melihat Aziz yang tidak bertanding pilihan raya menjadi menteri. Maka, terbayarlah hutang budinya terhadap Aziz.

Syed Hamid yang kuat mengampu Dr. Mahathir merajuk. Dia bukan sahaja kalah Naib Presiden Umno buat kali kedua, malahan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor turut ditarik.

Dia tidak dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi dan khabarnya dia mahu memecat Setiausaha Politiknya, Dr. Ku Rahman yang didakwa tidak buat kerja dengan baik. Sebelum ini Syed Hamid mempunyai dua Setiausaha Politik yang tidak bertahan lama. Pertama, Syed Omar Syed Abdullah dan kedua, Saifuddin Nasution Ismail.

Syed Hamid juga kehilangan ramai setiausahanya termasuk Rani, Ibrahim Tamby Chik, Yassin dan beberapa pengawal pengiring.

Sikap bengisnya menyebabkan dia tidak boleh bekerja dengan sesiapa sahaja kecuali beberapa bhagal yang tidak ada tempat untuk beralih angin.

Kini, di tangan Aziz Shamsuddin, karier politiknya dipadamkan. Tulisan-tulisannya yang banyak mengampu Dr. Mahathir dan menyindir Anwar akhirnya tidak memberi kelebihan kepadanya.