Oleh Pena Suasa

 

Lagi keluar keADILan, silakan…

 

SEORANG yang bernama Abdul Rahman Mohamed, 50 tahun usianya mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan melepaskan jawatan yang kononnya disandang, Ketua Bahagian Kota Tinggi.

Dia sekaligus memohon berbanyak-banyak maaf dari seluruh rakyat Malaysia dan mengisytiharkan dirinya menyokong kepimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang berjaya membawa pembangunan negara kita Malaysia.

Abdul Rahman mencontohi langkah Jaafar Ahmad, Abdul Rahman Kation, Kamaruddin Hassan dan Zulbahari Abu Bakar yang bertindak meninggalkan keADILan Johor pada 25 November tahun lalu.

Seluruh ahli-ahli keADILan dari pelusuk negara perlu tahu, di Johor jumlah keahlian keADILan sebenarnya 100,000 . Hanya 10 peratus sahaja adalah bekas ahli Umno, yang lain-lain tidak pernah aktif dengan mana-mana parti.

Jadi, hairan apa yang kehilangan Abdul Rahman dari bahagian Kota Tinggi ini? Tahukah ahli-ahli keADILan semua bahawa di Johor, dari 20 kawasan Parlimen, hanya Labis sahaja yang tidak wujud keADILan. Bahagian-bahagian lain wujud dan insyaAllah boleh hidup dan bergerak walaupun seorang demi seorang bertindak meninggalkan parti.

Sebenarnya ada satu usaha dibuat untuk mengadakan majlis besar-besaran kononnya “mengisytiharkan” keluar keADILan dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin diundang untuk menjadi tetamu di majlis ini. Namun, Muhyiddin dikatakan tidak berminat dan rancangan itu mahu diteruskan dengan mencari siapakah “alat” dalam Umno yang boleh digunakan.

Antara nama yang disebut-sebut termasuk Menteri Besar Johor yang kalah dengan teruk kerusi Naib Presiden, Dato’ Abdul Ghani Othman dan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Mustapa Mohamed.

Abdul Rahman mencontohi Jaafar Ahmad dari Bahagian Ledang yang juga merupakan bekas Setiausaha Perhubungan keADILan Johor tetapi Abdul Rahman tidak tahu sebenarnya siapa Jaafar di kalangan masyarakat Muar dan Ledang. Dia adalah pembekal pita porno terkemuka suatu ketika dahulu dan pernah ditahan polis kerana disyaki menjalankan kegiatan mengambil gambar porno pekerja-pekerja kilang di Muar.

Abdul Rahman juga tidak tahu siapa sebenarnya Kamaruddin Hassan. Kamaruddin adalah bekas guru dan isterinya Hamidah adalah anak saudara Ketua Umno Bahagian Muar, Malek Munip. Dia memang masuk keADILan untuk menjadi calon pilihan raya. Bila dia terpilih, dia bercadang untuk menjual kerusinya itu kepada Malek. Malangnya, dia tidak terpilih mewakili keADILan manakala Malek juga tidak terpilih mewakili Umno.

Mereka lupa, walaupun mereka hebat merancang, rancangan Allah lebih hebat dari segala-galanya. Jika ada lagi yang mahu mengikut langkah Abdul Rahman ini…kita ramai-ramai kena ucapkan “silakan”. Jangan halang hasrat mereka itu kerana “mereka sudah bersedia mahu menjadi penyokong Dr. Mahathir” yang baru disedari oleh orang-orang seperti Abdul Rahman berjaya membawa pembangunan kepada Malaysia.

Apakah Abdul Rahman tidak tahu bahawa penentangan rakyat terhadap kepimpinan Dr. Mahathir bukan kerana pembangunan tetapi kezaliman dan sikapnya yang melindungi perasuah seperti Ali Abul Hassan Sulaiman, Rafidah Aziz dan kepala gengster, Abdul Rahim Noor “brain”.

Paling baru, kes rompakan senjata di Grik, mengapa Dr. Mahathir senyap seribu bahasa? Bukankah beliau manusia yang cukup sukakan publisiti.

Dengan keluarnya Abdul Rahman dari keADILan akan menyebabkan parti ini semakin bersih dari manusia yang tidak istiqamah dalam perjuangan. Usah dirisaukan dengan kehilangan manusia seperti Abdul Rahman ini kerana “dia tentunya sudah dibawa berbincang dengan seseorang” untuk membeli dirinya. Mustahil dia meninggalkan keADILan kerana dia mahu meninggalkan kecuali ada tawaran seperti yang berlaku pada Zuraidi Rahim (Kedah) dan Wan Indra Putra Ahmad dan “rakan-rakan yang sewaktu dengannya.”